Jika cadangan penggabungan tersebut mampu dilaksanakan dalam tempoh enam bulan seperti yang dimahukan, Gobind membayangkan kandungan berita boleh diperoleh daripada Bernama, manakala RTM pula menyiarkan program dan dokumentari untuk siaran Bernama News Channel (BNC).

Apabila cadangan tersebut terlaksana kelak, ia dijangka dapat meningkatkan produktiviti dalam menyalurkan maklumat kepada rakyat, khususnya yang berkaitan agenda dan aspirasi kerajaan.

Penjimatan tersebut seterusnya akan diterjemahkan kepada dana yang lebih untuk menghasilkan kandungan bersifat moden dan inovatif.

Cadangan tersebut disambut baik oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bernama, Datuk Zulkefli Salleh.

Zulkefli berkata, kedua-dua organisasi media itu mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing dengan Bernama menghasilkan berita manakala RTM dalam bidang penerbitan dokumentari dan program.

“BNC menghasilkan berita audio visual untuk RTM manakala RTM menyiarkan program dan dokumentari untuk siaran BNC. Bernama dan RTM masing-masing akan terus kekal tetapi kerjasama ini melibatkan sumber di kedua-dua agensi digabungkan untuk meningkatkan kualiti produk,” katanya selepas menyampaikan amanat sempena perhimpunan bulanan Bernama awal minggu ini.

Sebelum pergi lebih jauh mengenai polemik penggabungan Bernama dan RTM yang tentunya telah mengundang pelbagai reaksi secara pro dan kontra, ringkasnya, ini asas yang perlu difahami.

Bernama ialah sebuah badan berkanun atau agensi yang ditubuhkan di bawah Akta Parlimen 1967. Ia telah mula beroperasi pada 26 Mei 1968 dan sepanjang tahun bergulir, Bernama yang pada awalnya hanya menyalurkan berita dalam bentuk teks telah melalui transformasi sehingga memiliki unit audio-visual atau dikenali sebagai Bernama TV yang dibuka sejak September 1998.

Kemudian, pada 28 Februari 2008, saluran berita Malaysia 24 jam, Bernama TV, dilancarkan melalui saluran 502 Astro, yang dibuka setahun selepas mereka memiliki Radio24, stesen radio berkonsepkan berita yang pertama di Malaysia yang beroperasi secara 24 jam sehari.

Selain banyak akhbar dan media elektronik di Malaysia menggunakan berita daripada Bernama, terdapat agensi-agensi berita asing merupakan pelanggan Bernama.

RTM pula adalah stesen penyiaran awam milik kerajaan Malaysia yang memiliki dan mengendalikan beberapa saluran radio dan saluran televisyen yang ditubuhkan pada 1 April 1946. Mereka terlebih dahulu memperkenalkan siaran radio manakala siaran televisyen mula beroperasi pada 28 Disember 1963. Beribu pejabat di Angkasapuri, kini, RTM mengendalikan lapan saluran radio nasional, 24 saluran radio negeri dan saluran radio daerah serta tiga saluran televisyen.

RTM yang baru menyambut ulang tahun ke-72 pada 1 April lalu juga mempunyai orkestra simfoninya sendiri iaitu Orkestra RTM.

Menerusi RTM, masyarakat tahu ini medium bukan sekadar berita, tetapi platform memperoleh hiburan sama ada dalam bentuk filem, drama atau program seperti dokumentari daripada dalam dan luar negara.

Pada kebanyakan generasi masa kini, RTM dilihat agak ketinggalan daripada pengisian dan persembahan bahan yang mahu ‘dijual’ kepada umum berbanding stesen televisyen lain. RTM juga dilihat begitu ‘kerajaan’ dan ‘tua’.

Pelaporan

Ironi pada masa kini, generasi baharu lebih mempercayai bahan berita yang diperoleh menerusi media sosial, malah kita semua telah menjadi wartawan rakyat, sehingga membelakangkan sumber maklumat sahih dan punya autoriti. Pemberitaan dan pelaporan bukan lagi menjadi hak eksklusif mana-mana agensi berita seperti Bernama atau stesen seperti RTM.

Justeru, bagaimanakah penggabungan sebuah agensi yang menjadi kepercayaan dan bebas menyalurkan berita untuk diguna pakai agensi berita dari seluruh dunia kelak, ‘berkahwin’ dengan sebuah stesen televisyen awam milik kerajaan, yang pada kasarnya sudah dilihat sebagai pasti perlu ‘mengikut telunjuk’.

Bagaimana acuan baharu yang akan ditampilkan oleh mereka di bawah satu bumbung?

Mantan Ketua Pengarang Utusan Melayu dan Pengerusi Media Prima Berhad, Tan Sri Johan Jaaffar berpendapat, cadangan penggabungan RTM dan Bernama adalah tidak realistik.

Beliau menjelaskan, walaupun kedua-duanya milik kerajaan tetapi ia mempunyai fungsi yang sama sekali berbeza. Model Bernama banyak terdapat di negara-negara Asia Pasifik termasuk di Indonesia di mana terdapatnya Antara. Baik Bernama atau Antara, kedua-duanya menjadi sumber rasmi dan ada peranan khusus untuk dipetik oleh media antarabangsa atau unit komunikasi mana-mana negara.

“Pada pendapat saya, Bernama harus dikekalkan, malah diperkasakan. Bernama boleh membuat penyesuaian dalam soal model bisnesnya bagi membolehkannya berdiri sendiri.

“Keutamaan kementerian seharusnya adalah untuk memperkukuh Bernama dan memperbaiki RTM1 dan RTM2 serta sekian banyak stesen radio di bawahnya.

“RTM1 dan RTM2 juga harus melalui proses transformasi bagi menyesuaikan dirinya dengan tuntutan semasa dan bagi menjadikannya lebih kompetitif untuk menghadapi saingan stesen swasta dan pelbagai bentuk stesen TV melalui talian. Begitu juga stesen radio di bawahnya.

“Sekiranya berlaku sebarang pertindihan dalam konteks penggumpulan berita di antara Bernama dan unit berita di RTM1 atau RTM2 maka itu tidak dapat dielakkan. Tetapi angle pemberitaan dan laporan tentunya berbeza,” ujar Johan kepada Jurnal.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith menegaskan, penggabungan RTM dan Bernama adalah satu keperluan yang akan melengkapi cabaran dalam era digital baharu.

“Kita akan meneliti formula terbaik untuk melakukan pembaharuan, terutamanya berkaitan era digital yang mungkin tergendala sebelum ini. Walaupun perkara ini (gabung) masih dalam peringkat kajian, saya yakin ini untuk kebaikan kepada golongan sasar,” katanya selepas menghadiri taklimat dan perjumpaan bersama pengurusan RTM di Angkasapuri baru-baru ini.

Untuk rekod, sudah lebih 10 tahun RTM cuba mendepani era digital dengan melakukan pelbagai pembaharuan yang sesuai termasuk cuba melancarkan saluran definisi tinggi (HD) iaitu untuk TV1 HD dan TV2 HD.

Penggabungan RTM dan Bernama adalah satu keperluan yang akan melengkapi cabaran dalam era digital baharu