Menerusi Laporan Digital 2018 daripada Hotsuit serta We Are Sosial yang dikeluarkan sekitar Januari tahun ini, Malaysia menduduki tangga kesembilan dengan pelayar internet meningkat sehingga 25.08 juta atau sebanyak 79 peratus menggunakan laman sosial.

Kebanyakan daripada mereka memperuntukkan sehingga tiga jam sehari untuk berada dalam jalur alam maya dan angka pengguna aktif media sosial adalah sebanyak 24 juta daripada 31.83 juta populasi rakyat Malaysia.

Perangkaan tersebut secara tidak langsung menunjukkan kebanyakan daripada kita seperti tidak lagi bergantung kepada oksigen untuk hidup, sebaliknya meletakkan media sosial sebagai keperluan asas dalam kehidupan.

Dan, bagaimana ketaksuban menjadi pengguna media sosial atau dalam bahasa anak gaulnya kini socmed (singkatan social media) telah memberi implikasi yang beragam terhadap kehidupan kita terutama mengenai hak keperibadian atau privasi seseorang? Kebanyakannya ternyata buruk dan mengecewakan.

Pelapor

Privasi sebenarnya hampir tidak wujud selepas media sosial mengambil alih kehidupan kita. Setiap orang menjadi pelapor tidak bertauliah kepada sesiapa yang mereka inginkan tanpa perlu berkenalan atau mempunyai tali kepercayaan yang kukuh secara fizik di alam maya.

Menyampaikan sesuatu maklumat sama ada menerusi sekeping gambar atau sepotong informasi sepantas kilat menjadi salah satu agenda wajib kebanyakan pengguna media sosial sehingga mereka lupa bahawa setiap individu lain mempunyai hak kerahsiaan peribadi tersendiri.

Lihat sahaja bagaimana seorang pengguna media sosial dengan tidak amanah telah membelakangkan permintaan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa agar memberi sedikit privasi jangan mendedahkan wajah bayi perempuaan mereka yang lahir pada 19 Mac lalu.

Hanya dengan kuasa sekeping gambar, pelaku itu telah memusnahkan harapan Siti dan Datuk K untuk memberi sedikit privasi kepada anak sulung mereka selepas hampir 12 tahun menantikan zuriat untuk menyerikan rumah tangga mereka.

Bagaimanapun, oleh kerana privasi tidak mempunyai polisi kecuali rasa hormat terhadap permintaan individu lain, maka ada yang berasa bebas untuk melanggar permintaan tersebut.

Media sosial kemudian pula menjadi platform paling pantas untuk membunuh privasi seseorang apabila hak kerahsiaan itu dilanggar begitu sahaja. Sepatutnya privasi menjadi satu aspek keamanan buat seseorang.

Menurut peguam Ellia Zuraini Mat Zain, di Malaysia hak kerahsiaan peribadi atau privasi memang tidak termaktub dengan jelas dalam Perlembangaan Persekutuan seperti hak kebebasan bersuara atau hak untuk berhimpun.

“Bagaimanapun, mahkamah tetap mengiktiraf hak privasi seseorang kerana ia merupakan satu hak asasi yang perlu dijaga,” ujar Ellia.

Tambahnya lagi, terdapat perjanjian-perjanjian antarabangsa yang mengiktiraf hak peribadi seseorang seperti Article 12 of the Universal Declaration of Human Rights 1948 dan Article 8 of the European Convention on Human Rights 1950 yang menyentuh tentang hak privasi individu.

“Tindakan undang-undang boleh diambil kepada sesiapa yang melanggar hak kerahsiaan peribadi seseorang. Malah, mahkamah boleh memberikan ganti rugi jika seseorang atau selebriti, misalnya, telah mengalami kerugian berikutan pelanggaran hak privasi,” jelas peguam dari firma guaman Raja Riza & Associates itu.

Kes penularan tanpa izin sekali gus melanggar privasi wajah comel anak Siti yang diberi nama sementara Fatimah Az Zahra itu bagaimanapun tidak seburuk dan mencalarkan maruah kebanyakan selebriti lain yang terpaksa berhadapan dengan sikap ‘kurang siuman’ segelintir orang.

Ghairah

Bintang Barat seperti Jennifer Lawrence, misalnya, telah menjadi mangsa pelanggar hak privasi daripada orang tidak bertanggungjawab selepas akaun iCloud miliknya digodam yang menyebabkan satu dunia melihat pelbagai aksi bogelnya bersepah di alam maya.

Aktres itu menyifatkan masyarakat sebagai tidak sensitif serta tidak mempunyai simpati hanya kerana mereka selebriti. Walhal, mereka juga manusia biasa yang tidak kalah berperang dengan emosi sendiri.

Sementara itu, menurut editor akhbar Media Week, United Kingdom, Jeremy King, orang terkenal seperti selebriti memang sering diperhatikan oleh masyarakat.

Bagaimanapun, itu tidak bermakna mereka boleh dijadikan bahan keuntungan sehingga membelakangkan privasi mereka.

Katanya yang dipetik menerusi artikel yang disiarkan BBC: “Khalayak biasa akan teruja untuk menyebarkan maklumat yang pada mereka hebat serta luar biasa daripada barisan artis bertaraf A tetapi tanggunglah natijahnya kelak.”

Pada akhirnya, menurut seorang artis bebas yang pernah mempamerkan karyanya bertajuk Showroom Girls yang merujuk kepada implikasi penggunaan media sosial dan privasi sekitar tahun 2011 dahulu, Williem Popelier, tidak ada yang baik atau buruk tentang internet.

“Ia tetap di situ dan kita yang perlu berhadapan dengannya sehabis baik,” ujarnya.