Biasa digelar Gipsi Laut, komuniti ini kebanyakannya berada di kawasan Pantai Timur Sabah seperti Semporna dan Lahad Datu. Mereka tidak mempunyai pengenalan diri, tidak berwarganegara Malaysia mahupun Filipina sebaliknya kewujudan mereka dilindungi Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC).

Penulis berpeluang mendekati etnik Pala’u apabila mengikuti Program Eksplorasi Borneo 4.0 anjuran bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Yayasan Al Khalifah serta Pertubuhan Kebajikan Insan Selangor serta Imam Response and Relief Team (IMARET) ke beberapa buah pulau di Taman Marin Tun Sakaran, Semporna, baru-baru ini.

Antara perkampungan yang kami lawati ialah perkampungan atas air Kampung Bangau Bangau, Kampung Hujung Air, Pulau Bum Bum, Pulau Bohey Dulang, Pulau Maiga dan Pulau Mabul.

Pulau Maiga yang merupakan sebuah pulau karang yang terletak dalam Taman Marin Tun Sakaran misalnya, terdapat dua penempatan etnik tersebut.

Uzur

Salah satu penempatan dibina di kawasan pulau, ia dihuni oleh 20 buah keluarga, manakala 15 keluarga lain menghuni di penempatan atas air dengan membina pondok atas air atau menginap di dalam bot yang dinamakan Lepa Lepa.

Etnik Pala’u ini juga dikatakan hidup berpindah-randah dan hanya naik ke darat untuk membeli barang keperluan.

Bagaimanapun, kehidupan etnik tersebut serba kekurangan apabila banyak perahu telah uzur dan tidak mampu menampung keluarga yang ramai.

Oleh itu, terdapat segelintir mereka kini ditemui tidur di kaki lima bangunan.

Mereka juga tidak mempunyai asas pendidikan dan majoriti adalah beragama Islam. Mereka secara tradisinya merupakan nelayan dan penyelam yang hebat.

Eksplorasi itu bertujuan melakukan misi kemanusiaan termasuk menyampaikan sumbangan seperti makanan, kain pelekat, telekung, sejadah dan sebagainya.

Turut diadakan program mengajar anak-anak etnik yang tidak pernah bersekolah untuk mengenal huruf, benda dan haiwan.

Komuniti Pala’u dipercayai berasal dari Kepulauan Lingga kira-kira 300 tahun lalu dan berhijrah ke Selatan Filipina dan Utara Kepulauan Borneo kira-kira 100 tahun lalu selepas kejatuhan empayar Melaka.