Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan bencana itu merupakan gempa bumi paling kuat pada abad ke-20. Ia turut dikenali sebagai Great Chilean Earthquake dan 1960 Valdivia Earthquake.

Gempa kuat itu mengakibatkan berlakunya tsunami di selatan Chile, Hawaii, Jepun, Filipina, timur New Zealand, tenggara Australia dan Kepulauan Aleutian.

Pusat gempa terletak berhampiran Lumaco, kira-kira 570 kilometer (km) di selatan Santiago, dengan bandar Valdivia paling teruk terjejas. Tsunami yang membawa gelombang setinggi 25 meter (m) telah memusnahkan pantai Chile selain melintasi Lautan Pasifik dan menghancurkan Hilo di Hawaii.

Malah, gelombang setinggi 10.7m direkodkan berlaku sejauh 10,000km dari pusat gempa hingga ke Jepun dan Filipina. Walaupun ia merupakan gempa paling kuat direkodkan, jumlah kematian antara 1,000 hingga 7,000 orang sahaja.

Gempa bumi merupakan hasil tenaga yang dilepaskan secara mengejut disebabkan perubahan dalam kerak bumi. Perubahan itu menyebabkan tanah bergegar dan menghasilkan gegaran yang bergerak keluar daripada titik tumpu gempa. Titik tumpu merupakan lokasi ‘punca’ di dalam tanah yang mana tenaga gempa bumi dibebaskan. Lokasi di atas tanah pada titik tumpu gempa bumi dikenali sebagai epicenter atau pusat gempa.

Kajian sains mengenai gempa bumi dan gelombangnya dikenali sebagai seismologi. Ia berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud menggoncang. Kekuatan sesuatu gempa itu diukur menggunakan alat yang dipanggil Skala Richter atau Skala Magnitud.

Menurut laporan dalam Program Bahaya Gempa USGS, saintis tidak mungkin dapat meramalkan bila berlakunya gempa bumi walaupun mereka telah mencuba pelbagai cara untuk melakukannya.

Mengulas mengenai persoalan adakah haiwan boleh meramalkan berlakunya gempa bumi, saintis USGS mengatakan, rujukan terawal yang diperoleh berhubung kelakuan luar biasa haiwan sebelum bencana itu adalah pada tahun 373 Sebelum Masihi di Greece.

“Ketika itu, dikatakan tikus, ular, lipan, ikan, burung dan reptilia menunjukkan tingkah laku aneh di mana-mana sahaja dalam tempoh beberapa minggu hingga beberapa saat sebelum gempa bumi berlaku. Bagaimanapun, tingkah laku konsisten dan boleh dipercayai sebelum peristiwa seismik serta satu mekanisme yang menerangkan bagaimana ia boleh berfungsi masih belum difahami,” tulis mereka di laman web berkenaan.

Kepercayaan

Dalam Jurnal Usuluddin, bertarikh Julai-Disember 2012, dinukilkan bahawa dalam al-Quran terdapat empat istilah yang berkaitan dengan bencana gempa bumi iaitu al-Zalzalah, al-Rajfah, al-Khasaf dan al-Sayhah.

Artikel Pengurusan Bencana Gempa Bumi Menurut Perspektif Al-Quran dan Sains Moden itu juga disebutkan bahawa pada zaman kuno, apabila kejadian gempa bumi berlaku, terdapat pelbagai tanggapan serta kepercayaan berkaitan gempa bumi muncul berdasarkan pegangan agama dan kepercayaan masing-masing.

Sebagai contoh orang-orang purba Maya mempunyai Dewa Ribut Petir yang dinamakan Hurakan (Hurricane) manakala tuhan gempa bumi pula dinamakan Pillan.

Sebelum kedatangan Islam, terdapat juga kepercayaan apabila iblis menghampiri ikan dan memberitahu akan kehebatan serta kekuasaan ikan, maka ikan berbangga dengan dirinya lalu ia bergerak. Pergerakan tersebut menyebabkan berlaku gempa bumi.

Antara kawasan yang kerap mengalami gempa bumi adalah negara yang terletak dalam radius Lingkaran Api Pasifik. Ia merujuk kepada kawasan yang terletak mengelilingi Lautan Pasifik yang mana kerak buminya pecah dan bergeser atau apa yang dikenali sebagai plat tektonik.

Kawasan itu berbentuk seperti ladam kuda dan merangkumi wilayah sepanjang 40,000km. Kawasan itu juga sering disebut sebagai plat gempa Pasifik.

Hampir 90 peratus daripada gempa bumi yang terjadi dan 81 peratus daripada gempa bumi terbesar terjadi di sepanjang Lingkaran Api Pasifik ini. Daerah gempa berikutnya iaitu lima hingga enam peratus dari seluruh gempa dan 17 peratus dari gempa terbesar adalah plat Alpide yang merentangi Jawa ke Sumatera, Himalaya, Mediterranean hingga ke Atlantik.

Dalam aspek ukuran kekuatan gempa pula, terma Skala Richter yang digunakan bermula pada tahun 1935 apabila seorang ahli seismologi dan fizik, Charles F. Richter daripada Institut Teknologi California (Caltech) mengumumkan, beliau berjaya mencipta alat yang mampu mengukur saiz gempa bumi berdasarkan perkiraan Matematik.

Daripada kajian itulah, Richter dan rakannya, Beno Guternberg berjaya menghasilkan alat yang mereka namakan Magnitud Scale (ML) atau Skala Magnitud tempatan. ML diperkenalkan untuk mengukur bacaan daripada seismograf kepada unit magnitud bergantung kepada kekuatan gegaran serta jarak seismograf itu dari lokasi gegaran.

Berdasarkan statistik, tiga gempa bumi yang paling banyak mengorbankan nyawa berlaku di China. Pada 23 Januari 1556, gempa bumi di Shaanxi, utara China atau dikenali sebagai Jiajing Great Earthquake yang berlaku pada waktu pagi telah menyebabkan hampir 830,000 orang terbunuh.

Bencana yang berlaku ketika pemerintahan Dinasti Ming itu dianggarkan sekuat 7.9 ML. Walaupun ia hanya berlaku beberapa saat tetapi kemusnahannya terlalu besar hingga meratakan gunung, mengubah laluan sungai, menyebabkan banjir besar dan mencetuskan kebakaran.

Pada 16 Disember 1920 pula, gempa bumi Haiyuan di wilayah Ningxia dengan kekuatan 7.8ML telah mengorbankan antara 234,000 hingga 314,000 nyawa.

Pada 28 Julai 1976, gempa bumi Tangshan sekuat 7.8ML di wilayah Hebei, sebuah bandar industri yang didiami lebih satu juta penduduk telah menyebabkan kehilangan nyawa antara 240,000 hingga 650,000 orang.

Sebagaimana firman Allah dalam surah Hud, ayat 94 yang bermaksud:

“Dan ketika datang (masa pelaksanaan) perintah Kami, Kami selamatkan Nabi Syuaib berserta dengan umatnya yang beriman, dengan rahmat dari Kami; dan orang-orang yang zalim itu dibinasakan oleh letusan suara yang menggemparkan bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat masing-masing.”