Mod pembayaran berteknologi juga semakin diterima dalam kalangan peruncit dan institusi kewangan sekali gus membawa ke arah masyarakat tanpa tunai.

Malah, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam satu temu ramah bersama Channel NewsAsia pada Jun lalu menyatakan kerajaan sedang mempertimbangkan penggantian not-not tunai atau ke arah tanpa tunai bagi menangani rasuah.

Tentunya langkah negara ke arah masyarakat tanpa tunai telah dimulakan beberapa tahun lalu, khususnya apabila Bank Negara Malaysia (BNM) menerbitkan Pelan Sektor Kewangan 2011-2020 bagi melakar hala tuju masa depan sistem kewangan negara bagi tempoh sehingga tahun 2020.

Mulai 1 Julai lalu pula, fi pemindahan dana segera antara bank (IBFT) sebanyak 50 sen untuk nilai RM5,000 bagi individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dikecualikan, sejajar dengan polisi BNM ke arah mewujudkan masyarakat tanpa tunai.

Selain itu, fi pemprosesan cek dinaikkan daripada 50 sen kepada RM1 mulai 2 Januari 2021 bagi menggambarkan kos pemprosesan.

Dilaporkan jumlah volum cek telah menurun sebanyak 43 peratus daripada 205 juta pada 2011 kepada 120 juta pada tahun lalu, manakala pemindahan dana elektronik meningkat daripada 66 juta transaksi pada 2011 kepada anggaran 329 juta pada 2017.

Pengurus Negara Mastercard Malaysia dan Brunei, Perry Ong berkata, data Mastercard menunjukkan peningkatan penggunaan pembayaran elektronik tanpa sentuh terutamanya bagi item-item kecil.

Pembelian

“Sama ada untuk pembayaran sajian selera, petrol atau pembelian di kedai, kami melihat semakin ramai rakyat Malaysia dapat menyesuaikan diri dengan teknologi pembayaran terkini dan yakin menggunakan kaedah tanpa sentuh bagi pembelian.

“Transaksi tanpa sentuh Mastercard telah berkembang sebanyak 195 peratus dari Januari hingga Mac 2018 berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Peningkatan penggunaan kaedah pembayaran ini juga disebabkan oleh minat komuniti perniagaan yang melihat nilai sebenar pengalaman pembayaran yang lebih mudah dan segera ini dalam memperkukuh jualan mereka,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Mastercard di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pengasas Fave, Joel Neoh pula menyatakan keyakinan beliau bahawa Malaysia mampu menjadi negara tanpa tunai tetapi persoalannya bila?

“Sekiranya anda melihat negara seperti China yang mencatatkan transaksi pembayaran mudah alih bernilai AS$15 trilion (RM60.7 trilion) pada tahun lalu, didapati ramai yang tidak membawa tunai dan ini telah mengubah sikap pengguna secara signifikan.

“Pada masa yang sama, ia turut membawa kepada inovasi perniagaan,” ujarnya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Menerusi FavePay iaitu sebuah platform pembayaran mudah alih dengan elemen ganjaran kesetiaan, Neoh berkata, pihaknya berharap untuk terus memperluas platform sedia ada kepada peruncit luar talian dan pengguna di seluruh negara.

“Namun, menuju ke arah masyarakat tanpa tunai, Fave tidak boleh berusaha secara bersendirian, kami perlu bekerjasama dengan pihak-pihak lain seperti kerajaan, BNM dan penyedia e-dompet untuk membantu mengembangkan ekosistem tanpa tunai,” katanya.

Bagi Timbalan Dekan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Mohamad Fazli Sabri, dalam usaha negara mengikuti perubahan teknologi pembayaran dan ekonomi digital, penyediaan kemudahan serta pendidikan pengguna harus dipertingkatkan.

“Selain itu, rangkuman kewangan juga harus meliputi mereka yang kurang mendapat liputan, golongan kurang berkemampuan dan warga emas yang tidak celik teknologi.

“Masyarakat kita perlu didedahkan dan dididik tentang ilmu digital serta bahayanya seperti penipuan dan serangan siber, selain pengurusan wang yang baik memandangkan teknologi pembayaran berteknologi ini juga memberi kelebihan dalam mengawasi dana yang ada,” katanya.

Tambah beliau, pengguna juga perlu berubah seiring dengan peredaran masa dan peka teknologi kewangan bagi mengelak daripada ditindas dan ditipu.

Mohd. Fazli berkata, sehubungan itu, agensi-agensi relevan perlu membantu mewujudkan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap perubahan ekosistem semasa itu.