Empat wanita berusia antara 40-an hingga 50-an itu boleh dianggap sebagai khazanah kaum Bidayuh Biatah kerana masih mengekalkan tradisi memakai gegelang tembaga yang dipercayai sudah diamalkan sejak 400 tahun lalu.

Mereka mula memakai perhiasan itu sejak berusia 10 tahun dan ia bergantung kepada kemampuan ekonomi keluarga.

Pada zaman dahulu wanita di Kampung Semban memakai gegelang tembaga bagi menarik perhatian lelaki kerana ia merupakan lambang status yang menentukan taraf seseorang wanita itu pada mata para lelaki Bidayuh.

Apa yang menarik gelang tembaga berkenaan tidak seperti aksesori wanita biasa tetapi ia memakan masa kira-kira empat hari untuk dipakai pada kedua-dua belah tangan dan kaki mereka. Gegelang berbentuk seperti spring dan agak padat itu mempunyai berat kira-kira dua kilogram setiap satu dan perlu dipakai sepanjang masa sehingga wanita Bidayuh meningkat dewasa.

Gegelang yang dipakai pada tangan dikenali sebagai ruyang manakala pada kaki disebut rasung.

Biarpun aksesori berkenaan agak ganjil, ia sama sekali tidak mengekang aktiviti harian wanita tersebut termasuklah menangkap ikan, menari dan memasak.

Keunikan pemakaian aksesori gegelang tembaga itu tidak lenyap akibat peredaran zaman moden dan terus dilestari hingga kini.