dinasaur
GELANG kesihatan generasi masa akan
datang ini dilengkapi dengan teknologi
biosensor.

Cukup dengan hanya memakai gelang tangan, sambil data mengenainya boleh terus didapati menerusi paparan telefon pintar anda.

Lebih hebat, gelang tangan tersebut tidak perlu disambungkan menerusi sebarang wayar untuk menghantar data kesihatan yang diperoleh dari tubuh anda ke telefon pintar kerana ia boleh berfungsi secara wayarles.

Ia kedengaran seperti informasi mengenai gelang kesihatan sedia ada di pasaran seperti Fitbit dan Helo, tetapi percayalah ciptaan terbaharu saintis di Rutgers University - New Brunswick, Amerika Syarikat ini sebenarnya bertaraf masa hadapan.

Sebagai gajet yang dihasilkan khusus untuk kesihatan dan kecergasan manusia sebelum ini, Fitbit yang sudah diperkenalkan di pasaran sejak tahun 2010 berkebolehan mengukur kandungan kalori dalam tubuh manusia selain pergerakan dan jarak larian.

Produk Fitbit yang diperkenalkan pada tahun lepas, Fitbic Ionic pula boleh membuat anggaran terhadap jumlah kandungan oksigen dalam darah manusia selain dilengkapi sistem pengesanan degupan jantung.

Pada tahun lepas juga, gelang kesihatan Helo diperkenalkan di pasaran termasuk Malaysia.

“Ia berkebolehan mengesan masalah kesihatan berkaitan penyakit jantung dan serangan penyakit lain dalam tempoh 40 saat.

Helo juga mampu memeriksa kadar pernafasan, tekanan darah dan pemeriksaan elektrokardiogram (ECG) yang secara umum menjadi rujukan berguna dalam mengenal pasti keadaan ketidaktentuan jantung daripada pelbagai sudut yang dikaitkan dengan pelbagai jenis penyakit kritikal.

Justeru, apakah pembaharuan yang dibawa oleh gelang pintar hasil kajian saintifik saintis di Rutgers University-New Brunswick yang mana perincian mengenainya telah disiarkan dalam jurnal Microsystems & Nanoengineering bertarikh 6 Ogos, 2018 itu?

Selamat datang gelombang baharu dalam penghasilan teknologi peranti bagi memantau kesihatan manusia.

 

Teknologi biosensor

Menerusi teknologi dikenali sebagai biosensor yang diaplikasi kepada jam tangan atau peranti jenis lain yang boleh dipakai di tangan, ia boleh digunakan bagi mengukur kadar pergerakan jantung dan aktiviti fizikal lainnya.

Tambahan daripada itu, ia juga boleh memantau kandungan udara di alam sekitar.

“Ia seperti Fitbit tetapi dilengkapi teknologi biosensor yang boleh mengira zarah-zarah termasuk sel darah dalam tubuh manusia serta bakteria dan zarah organik atau bukan organik yang terdapat di udara,” ujar pengarang kanan kajian di Jabatan Elektrik dan Komputer Kejuruteraan di Sekolah Kejuruteraan Rutgers University, Mehdi Javanmard.

“Gelang kesihatan sedia ada di pasaran hanya boleh mengukur beberapa parameter fizikal seperti denyutan jantung dan aktiviti senaman,” tambahnya.

“Namun peranti ciptaan kami ini berkebolehan memantau jumlah sel yang berbeza di dalam aliran darah manusia dan ini akan membawa teknologi pemantauan kesihatan tubuh manusia ke peringkat yang lebih tinggi,” ujarnya.

“Peranti itu merupakan gelang plastik yang dibina daripada papan litar fleksibel dilengkapi biosensor dengan saluran atau paip lebih nipis daripada diameter rambut manusia yang tertanam elektrod emas di dalamnya.

“Ia mempunyai litar untuk memproses isyarat elektrik, pengawal mikro untuk mendigitalkan data dan modul bluetooth bagi menghantar data secara wayarles,” jelas Javanmard.

Menurutnya lagi, sampel darah diperoleh melalui bukaan kecil pada kulit dengan darah disalurkan melalui penyalur khas dan jumlah sel darah tersebut kemudian dihitung.

“Data dihantar secara wayerles ke telefon pintar Android dengan aplikasi yang memproses dan memaparkan data, dan teknologi itu juga boleh berfungsi di iPhone atau mana-mana telefon pintar jenis lain.

“Dengan itu baik di pejabat dan hospital, para profesional bidang kesihatan boleh mendapatkan keputusan ujian darah daripada pesakit tanpa memerlukan peralatan berasaskan ujian makmal melibatkan kos yang mahal.

“Pengiraan sel darah boleh digunakan untuk mendiagnosis penyakit, sebagai contoh, bilangan sel darah merah yang rendah boleh menunjukkan berlaku pendarahan dalaman.

“Terdapat pelbagai penyakit yang mana jumlah sel darah sangat penting sebagai rujukan.

“Jumlah sel darah putih yang tinggi atau rendah adalah petunjuk kepada penyakit kanser tertentu seperti leukemia sebagai contohnya,” ujarnya lagi.

Menurutnya, gelang kesihatan generasi akan datang itu boleh digunakan dalam pelbagai aplikasi bioperubatan dan alam sekitar.

“Orang ramai mampu memantau dan menghantar keputusan kesihatan mereka kepada doktor dari jauh, misalnya ketika berada di tempat kerja masing-masing.

“Ia sangat penting terutamanya bagi individu yang terdedah kepada pencemaran udara dan mahu mengukur jumlah zarah kecil atau habuk yang mereka sedut dari hari ke hari seperti mereka yang bekerja sebagai pelombong di lombong arang batu dan yang seumpamanya,” katanya.