Beralih daripada pengangkutan persendirian kepada pengangkutan awam merupakan satu kaedah yang efektif untuk mengurangkan pendedahan terhadap kemalangan. Ia dipanggil sebagai strategi pengawalan pendedahan terhadap risiko.

Negara seperti Jepun, United Kingdom, Finland dan Sweden adalah antara negara yang mempunyai rangkaian pengangkutan awam rel yang baik.

Hasilnya, mereka mencatat angka kemalangan dan kematian jalan raya yang jauh rendah berbanding negara lain.

Justeru, pengangkutan rel adalah jauh lebih selamat berbanding dengan mana-mana mod pengangkutan awam lain dan kenderaan persendirian.

Kelajuan

Rakyat Malaysia seharusnya mula beralih secara beransur-ansur daripada pengangkutan persendirian kepada pengangkutan awam bagi membantu mengurangkan angka kemalangan jalan raya di negara ini.

Dengan pengurangan bilangan kenderaan persendirian di atas jalan raya, bilangan kemalangan dapat dikurangkan.

Bukan semua perjalanan memerlukan kita menggunakan kenderaan persendirian. Sudah tentu ada sesetengah perjalanan yang memungkinkan kita menggunakan pengangkutan awam.

Oleh itu, pada setiap masa sama ada musim perayaan atau tidak, kita wajar berjinak-jinak dengan pengangkutan awam demi keselamatan diri kita sendiri.

Selain itu, pengurangan kelajuan ialah strategi yang paling berkesan dalam mengurangkan kemalangan dan kecederaan jalan raya.

Jika kita dapat kurangkan kelajuan kenderaan, kita mampu mengawal kenderaan dengan lebih baik.

Kita akan mempunyai masa dan jarak yang mencukupi untuk bertindak balas dan ini akan membantu mengelakkan kemalangan.

Pengurangan kelajuan memberikan kita kelebihan untuk bertindak balas. Semakin tinggi kelajuan, semakin jauh jarak diperlukan untuk membolehkan kenderaan berhenti.

Ini akan meningkatkan risiko kemalangan jika ada objek di hadapan kita, kerana kemungkinan kita tidak sempat untuk memberhentikan kenderaan dengan serta-merta dalam situasi kecemasan.

Kelajuan boleh menyebabkan kecederaan kerana ia membawa bersama tenaga.

Sekali lagi, semakin tinggi kelajuan kenderaan, semakin tinggi pemindahan tenaga yang akan berlaku.

Bagi seorang dewasa dalam keadaan terbuka iaitu berada di luar kenderaan seperti pejalan kaki dan penunggang basikal, pemindahan tenaga maksimum yang mampu diserap oleh mereka ialah setakat 30 kilometer sejam (kmj) sahaja.

Jika lebih, maka kemungkinan besar ia akan menjadi kemalangan maut.

Bagi seorang yang berada dalam keadaan tertutup seperti di dalam kereta, pemindahan tenaga maksimum yang mampu diserap ialah sehingga 50kmj. Ini dipanggil sebagai Had Toleransi Badan.

Bagi mendapatkan bayangan tahap keparahan kecederaan dalam suatu kemalangan, ilustrasi yang mudah adalah bagi kemalangan pada 90kmj, impaknya sama dengan jatuh dari tingkat sepuluh sebuah bangunan.

Cuba bayangkan kebarangkalian untuk selamat. Jika kita tahu kebarangkalian untuk selamat adalah kurang dan tipis, maka kita tidak boleh terlibat dalam kemalangan pada 90kmj.

Seterusnya, jika kemalangan berlaku pada 70kmj, impaknya sama dengan jatuh dari tingkat enam, kemalangan pada kelajuan 50kmj, jatuh dari tingkat tiga dan kemalangan pada kelajuan 30kmj sama dengan jatuh dari tingkat satu impaknya.

Jimat masa

Ada yang berpendapat jika memandu dengan laju, kita dapat jimat masa yang banyak, tetapi sebenarnya tidak.

Kajian menunjukkan bagi perjalanan sejauh 50km dengan papan tanda had laju 90kmj, jika kita bawa melebihi had laju pada 110kmj iaitu amalan yang berisiko, kita hanya mampu menjimatkan selama enam minit.

Adakah penjimatan sebanyak enam minit ini berbaloi memandangkan kita mengambil risiko tambahan untuk perjalanan sejauh 50km?

Apa salahnya jika kita bergerak awal 10 minit, maka kita tidak perlu bertaruh nyawa untuk penjimatan enam minit itu yang tidak signifikan.

Strategi pencegahan dan pengawalan kecederaan yang baik pula adalah menggunakan segala produk keselamatan yang ada di dalam kenderaan.

Apabila kita membeli kereta, ia didatangkan bersama tali pinggang keledar. Setiap pengguna kereta termasuk pemandu, penumpang depan dan belakang perlu memakai tali pinggang keledar untuk keselamatan.

Kecederaan

Tali pinggang keledar mampu mengurangkan kebarangkalian terbunuh sebanyak 40 hingga 50 peratus bagi pemandu dan penumpang depan serta lebih kurang 25 peratus bagi penumpang belakang. Justeru, setiap pengguna kereta harus menggunakan tali pinggang keledar.

Bagi pengguna motosikal, produk keselamatan yang terbaik yang kita ada buat masa ini untuk menyelamatkan mereka daripada kecederaan ialah topi keledar.

Topi keledar mampu mengurangkan risiko kematian sebanyak 40 peratus dan 70 peratus risiko kecederaan. Jadi, semua pengguna motosikal disaran menggunakan topi keledar berlabel SIRIM mengikut saiz yang bersesuaian untuk individu dewasa dan kanak-kanak.

Untuk keselamatan kanak-kanak di dalam kereta, mereka harus ditempatkan di tempat duduk belakang dan bukannya di depan. Kemudahan beg udara di kerusi depan tidak sesuai untuk kanak-kanak. Beg udara adalah produk keselamatan yang sesuai untuk orang dewasa.

Kanak-kanak di tempat duduk belakang pula harus menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak yang dikhaskan untuk mereka kerana ketinggian mereka mungkin belum sesuai untuk menggunakan tali pinggang keledar yang sedia ada.