Gerhana bulan penuh atau peristiwa bulan berdarah yang berlangsung selama satu jam 43 minit itu berlaku pada hari yang sama planet Marikh menghampiri Bumi pada jarak cuma 57.7 juta kilometer.

Selepas ini, Marikh hanya boleh dilihat sehampir itu pada tahun 2287.

Sebagai manusia, peristiwa-peristiwa ini seharusnya dilihat sebagai bukti kebesaran Allah yang menciptakan alam semesta ini yang cukup agam.

Jika seluruh sarwajagat ini mampu ditadbir Allah dan Bumi mungkin hanya setitik di cakerawala, apatah lagi diri kita yang terlalu kerdil. Pastinya ia begitu mudah untuk ditadbir Allah.

Bagi menginsafi kejadian ini juga, umat Islam digalakkan untuk menunaikan solat sunat gerhana bulan atau khusuf.

Memahami kejadian gerhana bulan penuh, ia berlaku apabila Bumi berada sebaris di antara Bulan dan Matahari, sekali gus menghalang sinaran Matahari lalu menjadikan Bulan tidak bercahaya seperti biasa.

Kejadian ini, tidak lain tidak bukan mengingatkan tentang kebenaran kitab al-Quran. Allah berfirman di dalam surah Yunus, ayat 5: “Dialah yang menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya dan Dialah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu pada tempat-tempat peredaran masing-masing supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa.”

Di mata manusia di Bumi, kedua-duanya dilihat sebagai bercahaya, namun ayat-ayat ini menggunakan dua istilah berbeza untuk kedua-duanya iaitu ‘sinar’ (dhiya’) untuk Matahari dan ‘cahaya’ (nuur) untuk Bulan.

Matahari disebut dhiya’ atau siraaj bagi memaksudkan ia berfungsi dengan mengeluarkan cahayanya sendiri manakala istilah nuur untuk menggambarkan sifat bulan yang bercahaya, namun bukan kerana cahaya yang dikeluarkan sendiri sebaliknya kerana memantul sinar Matahari.

Peringatan

Justeru, apabila Bumi menjadi penghalang antara keduanya ketika gerhana, maka Bulan tidak lagi bercahaya putih kekuningan, sekali gus menjadi gelap.

Maka, benarlah bahawa bulan itu bercahaya kerana matahari yang menyinarinya.

Kejadian gerhana bulan yang berlaku sesekali itu ibarat Allah memberi peringatan kepada manusia tentang kebenaran firman-Nya bahawa Bulan itu bercahaya kerana pantulan sinar Matahari.

Menyentuh tentang Marikh, ia mengingatkan kita tentang planet-planet dalam sistem suria.

Selama ini, para saintis berdebat bilangan planet yang dimiliki sistem suria.

Di sekolah dahulu, kita hanya mempelajari kewujudan sembilan planet iaitu Utarid, Zuhrah, Bumi, Marikh, Musytari, Zuhal, Uranus, Neptune dan Pluto.

Sedangkan al-Quran sudah lebih dahulu menyentuh mengenai planet yang disebut kaukab di dalam surah Yusuf, ayat 4: “Ketika Nabi Yusuf berkata kepada bapanya: “Wahai ayahku! Sesungguhnya aku mimpi melihat sebelas planet, matahari serta bulan; aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku.”

Menakjubkan, bermula Ogos 2006, National Geographic menerusi pakar astronormi, David Aguilar telah mengeluarkan sebuah buku sebagai pandangan terbaharu mengenai sistem suria.

Buku itu yang menyatakan pengkategorian baharu planet menegaskan terdapat 11 planet iaitu meliputi lapan planet utama Utarid, Zuhrah, Bumi, Marikh, Musytari, Zuhal, Uranus, Neptune dan tiga planet kerdil Pluto, Ceres dan Eris.

Ketua Unit Falak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP), Khairul Anuar Yazid menerusi perkongsian Bayan Linnas Siri ke-143 di laman web PMWP menyifatkan fenomena gerhana bulan sebagai bukti kekuasaan dan kebesaran Allah.

“Peristiwa gerhana adalah antara peristiwa-peristiwa yang berlaku bukan secara kebetulan tetapi ia suatu sunnatullah yang telah diaturkan oleh Allah Taala.

“Kekuasaan Allah tidak dapat diukur oleh kemampuan manusia secara khususnya dan pada makhluk secara umumnya. Peristiwa-peristiwa alam yang begitu banyak dan mengagumkan, tiada yang lain hanya merupakan sebahagian daripada bukti-bukti kekuasaan Allah yang diperlihatkan kepada makhluk-makhluk-Nya,” jelasnya.