Dalam menjaga keamanan dan prestij sesebuah empayar pada zaman silam, peranan Temenggung sangat signifikan. Pada era pemerintahan Portugis (1511), gelaran Temenggung ditukar kepada kapitan. Ketika era Belanda (1641), British sentiasa dianggap sebagai ancaman besar hingga memaksa pemerintah membentuk satu pasukan polis dinamakan Burgher Guard.

Organisasi polis moden di Tanah Melayu bermula pada 25 Mac 1807 di Pulau Pinang yang membawa kepada penubuhan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini. Ia diketuai oleh seorang rakyat Inggeris, James Carnegy dan dianggotai sepenuhnya rakyat tempatan.

Melaka merupakan negeri kedua yang mewujudkan pasukan polisnya sendiri pada tahun 1827. Pulau Pinang dan Melaka kemudian disatukan menjadi Polis Negeri-negeri Selat. Pentadbirannya berpusat di Singapura.

Perkembangan pasukan keselamatan negara maju setapak lagi apabila pasukan polis bagi Negeri-negeri Melayu Bersekutu diwujudkan pada 2 Jun 1899. Ia disusuli Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu iaitu pasukan polis Johor (1882), Kedah dan Kelantan (1909) serta Terengganu (1914).

Bagi negeri Sarawak, pasukan polis ditubuhkan pada tahun 1862 dengan 120 anggota. Mejar William Henry Rodway dilantik sebagai pengarah. Kira-kira 20 tahun kemudian, pasukan polis Sabah ditubuhkan.

Menjelang tahun 1948, seluruh pasukan polis di Tanah Melayu disatukan dan dikenali sebagai PDRM. Sebagai sebuah negara yang dijajah, ketuanya ditunjangi oleh rakyat asing sebelum proses Malayanisasi. Ketua Polis negara pertama ialah seorang rakyat United Kingdom, Tan Sri Sir Claude Fenner (18 September 1958 hingga 1966). Selepas penggal Fenner berakhir, barulah anak tempatan mengisi posisi itu.

Melihat kepada historiografi pasukan polis dari zaman dahulu kala hingga sekarang, perbezaan cuma terletak pada pakaian, kelengkapan senjata, teknologi, kenderaan dan skala bilangan anggota. Jika masa dahulu, Temenggung segak berbaju Melayu dengan keris atau tombak menjadi pertahanan, anggota era baharu mengalami transisi uniform yang lebih ketrampilan di samping senjata yang lebih canggih.

Apa pun perbezaan, titik persamaannya ialah tanggungjawab mereka tetap sama iaitu menjaga keselamatan dan mencegah jenayah. Bayangkan, jika tiada polis, sesebuah negara itu akan kucar-kacir.