“Saya okey walaupun hanya mendapat satu undi. Walaupun hilang wang pertaruhan, itu duit saya. Bukan duit anda,” ujar Azwan Ali yang ikut bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dengan menjadi calon bebas di DUN Bukit Antarabangsa.

Janji Azwan, kalau menang, antara misi utama yang mahu dilaksanakan termasuklah selesaikan masalah air di Selangor dan kerap memberi sedekah kepada rakyat.

Banyak yang geleng kepala dan tepuk dahi mendengar pengumuman Azwan, selebriti yang suka meledakkan sensasi baik dalam dunia hiburan atau kehidupan peribadinya untuk ikut bertanding dalam PRU pada kali ini. Lebih membuat banyak orang ternganga dan berasa Azwan, 52, merapu, adalah asas penglibatannya dalam pertandingan pada kali ini bersifat peribadi. Adakah dia fikir arena politik seperti sinetron atau program Cit Cat Azwan yang pernah popular sekitar 14 tahun lalu?

Menggunakan logo Gajah sebagai ‘tunggangannya’ selepas sempat menjadi bahan lelucon kerana memilih pisang sebagai simbol perwakilannya, dia mahu menentang abangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang disifatkan sebagai pengkhianat bangsa serta penipu besar.

Walhal, Azmin bukan calang-calang orang dalam kancah politik. Beliau merupakan Menteri Besar Selangor yang ke-15, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan kini kekal bertanding untuk DUN Bukit Antarabangsa, kawasan yang dimenanginya dengan 16,502 undi menewaskan calon Barisan Nasioanal (BN), Mohamad Nazim Ibrahim pada PRU-13.

Azwan hakikatnya bukan seorang individu yang tolol. Terkenal dengan imej cermin mata hitam dan kipas tangan, Azwan merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Malaya. Dia kemudian memilih terjun dalam bidang seni dan pernah mencetak banyak sejarah tersendiri dalam profil seninya.

Dalam kalangan keluarganya juga, bukan Azmin sahaja yang terlibat dalam dunia politik, tetapi adiknya, Ummi Hafilda juga aktif berpolitik. Jadi secara kasarnya, Azwan tahu selok-belok, permainan serta risiko menjadi seorang politikus dan ‘berenang’ dalam lembah politik.

Popular, dibenci

Hanya, apa sebenarnya yang diinginkan pelaku seni apabila mereka memilih untuk menjadi politikus? Adakah dengan tiket populariti dan sudah punya peminat dalam bidang seni, mereka menggunakan tangga opurtunis untuk meraih kepercayaan dan pengaruh dalam bidang politik.

Tidakkah mereka sedar, menjadi pelaku seni, mereka popular dan diminati peminat, berbeza dengan menyandang status sebagai politikus yang terkenal tetapi dibenci kerana label korupsi dan ketidaktelusan mereka dalam bekerja.

Malah, biar banyak pelaku seni yang ikut turun padang bertanding termasuk penyanyi senior Herman Tino yang mewakili calon bebas pada PRU-13 di Parlimen Tanjung Karang tetapi tewas di tangan calon BN iaitu Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar dengan hanya meraih 340 undi berbanding BN (20,548 undi), perjuangan mereka tidak jelas tetapi lebih bersifat peribadi.

Sekurang-kurangnya itu yang diakui Herman yang mendedahkan dia bertanding kerana marah dengan UMNO, bukan ada misi untuk membentuk sesuatu yang baharu terhadap manifesto kerajaan.

Penyanyi Aishah pula dilihat sudah tiga kali lompat parti. Pernah menjadi ahli UMNO, sebelum bertukar angin menyertai parti Pas pada tahun 2011 atas alasan ia lebih Islamik, namun sejak 2015, anak kelahiran Negeri Sembilan itu kini bersama Parti Amanah Negara atau PAN yang diasaskan oleh tokoh politikus Mohamad Sabu.

Pendirian dan misi pelaku seni Malaysia dalam dunia politik dilihat agak berbeza dengan iltizam bintang dari Indonesia. Mereka nampak lebih radikal dan jelas dengan perjuangan masing-masing.

Dalam lambakan pelaku seni Indonesia sukses menduduki kerusi gabenor dan mengepalai parti masing-masing sejak sekian lama, kini seorang lagi pejuang muzik menurunkan bendera kumpulannya untuk menyertai kancah politik. Dia ialah vokalis band terkenal Nidji, Giring Ganesha yang membekukan aktiviti seninya apabila memberi fokus sebagai calon anggota Legislatif (Caleg) dari Parti Solidaritas Indonesia (PSI).

Alasan Giring yang menjadikan sosok Presiden Joko Widodo (Jokowi) sebagai inspirasi untuk ikut serta jadi politikus jelas.

Katanya: “Alasan saya terjun di dunia politik kerana mencintai bangsa Indonesia, juga mencintai keluarga saya. Saya ingin negara saya bebas daripada korupsi, menjunjung toleransi dan keberagamannya serta menghargai karya orang. Spirit itu ada semua dalam PSI.”

Politik itu sendiri diambil daripada bahasa Yunani iaitu Politikos yang merupakan proses pembentukan dan pembahagian kekuasaan dalam masyarakat yang antara lain berwujud proses pembuatan keputusan, khususnya dalam negara. Ia merupakan seni dan ilmu untuk meraih kekuasaan.

Jadi sekiranya pelaku seni menjadi politikus ia bukan tindakan yang salah, apa lagi dengan populariti dan kuasa barangkali mampu memberi anjakan pada masa hadapan.

Hanya kalau masuk politik untuk tujuan peribadi, di manakah pengaliran pembahagian kuasa dalam masyarakat kepada negara.