Perdebatan dan penghujahan ahli Parlimen pada sidang Dewan Rakyat kali ini tentunya menuntut kesabaran dan toleransi lebih tinggi memandangkan banyak yang menjurus kepada ala kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai tugas dan tanggungjawab Yang Dipertua Dewan Rakyat, wartawan Jurnal menemu bual Tan Sri Pandikar Amin Mulia di pejabat beliau di Bangunan Parlimen baru-baru ini.

Jurnal: Sebelum ini Tan Sri ada mengingatkan supaya ahli Parlimen menyimpan geram mereka sehingga PRU-14. Bagaimanakah Tan Sri menggambarkan tingkah laku wakil-wakil rakyat kita?

Pandikar Amin: Sepanjang 10 tahun menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat, saya melihat ahli Parlimen lebih mengutamakan kepentingan politik mereka sendiri atau parti yang mereka dokong sehingga membelakangkan atau tidak ambil peduli etika sebagai ahli Parlimen.

Lebih pelik lagi, kebanyakan ahli Parlimen adalah pengamal undang-undang yang mengetahui dan faham undang-undang, namun tidak mahu mematuhi peraturan mesyuarat sebaliknya menuduh Yang Dipertua Dewan Rakyat sebagai tidak adil dan kemudian membuat kenyataan akhbar di luar dewan.

Sekiranya, kerusi Yang Dipertua Dewan Rakyat itu tidak diberi penghormatan, tidak ada mesyuarat yang boleh dilaksanakan dalam keadaan yang beretika. Melemparkan tuduhan atau menyindir Yang Dipertua Dewan Rakyat adalah melanggar peraturan mesyuarat dan dianggap sebagai satu penghinaan.

Pada pandangan Tan Sri, adakah insiden ahli Parlimen bertumbuk seperti yang berlaku di luar negara boleh terjadi di Malaysia?

Pandikar: Ia akan terjadi sekiranya ahli Parlimen tidak dapat membendung emosi masing-masing. Saya faham setiap ahli Parlimen mempunyai perjuangan tertentu untuk diperjuangkan demi kepentingan rakyat tetapi bergaduh secara fizikal dalam Dewan Rakyat bukan untuk kepentingan rakyat.

Jika dibandingkan dengan pemimpin-pemimpin politik terdahulu, mereka juga berjuang untuk rakyat tetapi mereka boleh membendung perasaan dan tidak sampai memaki hamun.

Sejauh manakah gelagat ahli Parlimen mengganggu emosi Tan Sri, adakah emosi itu terbawa-bawa sampai ke luar Dewan atau ke rumah?

Pandikar: Pada tiga tahun pertama saya menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat adalah peringkat kritikal kerana apa yang berlaku di dalam dewan saya terbawa-bawa sampai ke rumah sehingga menyebabkan saya sakit.

Akibat terlalu stres saya mendapat penyakit darah tinggi dan sakit jantung sehingga masuk ke hospital beberapa kali.

Namun, selepas beberapa tahun, saya terpaksa ubah pendirian dan berfikir kenapa saya perlu menyakitkan diri sendiri untuk melayan kerenah orang lain. Saya belajar untuk lebih bersabar dan bertolak ansur ketika sidang Dewan Rakyat berlangsung.

Selepas saya memahami kebanyakan ahli Parlimen ‘berlakon’ ketika di dalam Dewan maka saya ikut rentak mereka. Pada ketika itu walaupun saya tidak marah, saya terpaksa berpura-pura marah dan menunjukkan ekspresi muka bengis kepada mereka.

Sepanjang 10 tahun menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat, apakah pengalaman paling berharga yang Tan Sri perolehi?

Pandikar: Menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat telah mengajar saya erti kesabaran yang sebenar. Di Dewan Rakyat saya dapat melihat sikap serta gelagat manusia yang pelbagai kerenah. Saya lihat apa yang dizahirkan menerusi perkataan tidak semestinya sama dengan pemikiran dan hati mereka.

Saya mengharapkan ahli Parlimen memahami peraturan mesyuarat secara menyeluruh daripada terma tersurat dan tersirat.

Boleh Tan Sri kongsi apa yang berlaku selepas Parlimen dibubarkan dan siapa yang menerajui kerajaan?

Pandikar: Apabila Parlimen dibubarkan, kerajaan sedia ada masih menjalankan tugas mereka kerana ia dipanggil sebagai kerajaan sementara atau caretaker. Tugas mereka berakhir apabila kerajaan baharu ditubuhkan dan upacara mengangkat sumpah dilaksanakan.

Ke manakah agaknya Tan Sri selepas PRU-14 akan datang?

Pandikar: Saya tidak fikir lagi mengenai hal itu buat masa ini. Bagaimanapun, satu hari nanti apabila saya tidak lagi menggalas jawatan ini, saya akan menulis buku mengenai pengalaman sepanjang saya menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Apakah yang dilakukan oleh Tan Sri bagi meredakan tekanan kerja dan mengisi masa lapang?

Pandikar: Saya akan berasa tidak selesa jika tidak memancing. Sekiranya keadaan cuaca baik saya akan melakukan aktiviti itu tidak kira di mana jua saya pergi di dunia. Selain itu, saya juga boleh meluangkan masa sehingga berjam-jam lamanya di dalam kedai buku.