Ia direkodkan sebagai dron pertama beroperasi yang dikawal di luar pusat militari Amerika Syarikat.

Sejak itu, pelbagai jenis dron yang mengapilaksikan konsep ‘robot terbang’ telah dibina dalam pelbagai saiz. 

Ia termasuklah yang bersaiz mikro seperti serangga, namun kesemuanya hanya sekadar berfungsi di atas tanah, belum ada yang mampu terbang di udara dan jika ada pun, masih memerlukan sistem alat kawalan jauh.

Kini buat pertama kalinya, sekumpulan saintis di jabatan kejuruteraan mekanikal Universiti Washington terdiri daripada Sawyer Fuller, Yogesh Chukewad, Vikram Iyer, Shyam Gollakota dan Johannes James telah mencipta dron atau robot mikro yang boleh terbang tanpa dikawal alat kawalan jauh atau secara wayarles. 

“Sebelum ini, konsep robot terbang bersaiz serangga wayarles hanya sekadar sains fiksyen,” ujar Fuller. 

Robot mikro dikenali sebagai RoboFly itu telah diperkenalkan kepada umum menerusi International Conference on Robotics and Automation 2018 di Brisbane pada 23 Mei lepas.

“RoboFly wayarles ini hampir menyerupai serangga dalam kehidupan sebenar,” tambahnya.

Sebelum ini Fuller telah mencipta robot mikro dikenali sebagai RoboBee, juga bersaiz serangga yang berkeupayaan untuk terbang tetapi ia mempunyai kekurangan kerana hanya boleh beroperasi menerusi alat kawalan jauh.

Cabaran untuk merealisasikan RoboFly adalah dalam menghasilkan sepasang sayap yang berkeupayaan menampung berat badannya.

“Pergerakan sayap merupakan proses yang menggunakan tenaga yang banyak. 

“Kedua-dua sumber tenaga dan alat kawalan yang mengawal pergerakan sayap robot mikro rekaan saya sebelum ini iaitu RoboBee agak besar dan berat untuk ditampung oleh badannya

“Sebab itu RoboBee hanya boleh terbang dengan menggunakan alat kawalan jauh,” jelasnya.

Namun robot terbang perlu berkeupayaan untuk beroperasi dengan sendiri. Justeru, sinaran laser yang tidak kelihatan digunakan untuk membekalkan tenaga elektrik kepada RoboFly.

“Sinaran laser dipancarkan ke sel solar yang terletak di bahagian atas ‘badan’ RoboFly. Sel solar itu disambung kepada badan RoboFly menerusi dua wayar khas bagi menukar sinaran laser kepada tenaga elektrik,” jelas Iyer pula.

Tambahnya, bagi membolehkan RoboFly beroperasi secara wayarles, badan RoboFly dibina sebagai suatu litar fleksibel seberat 106 miligram dilengkapi dengan penukar rangsangan yang terdiri daripada gegelung tembaga dan kotak berwarna hitam.

“Ia adalah bagi meningkatkan tenaga elektik berjumlah tujuh volt yang dibekalkan sel solar kepada 240 volt yang diperlukan untuk RoboFly melakukan penerbangan. Litar fleksibel tersebut  juga mempunyai ‘otak’ kawalan  mikro iaitu kotak hitam yang membolehkan RoboFly mengawal pergerakan kedua-dua sayapnya itu,” jelasnya.

Bagaimanapun, buat masa ini, RoboFly hanya berkebolehan terbang dan mendarat tetapi ia masih belum mampu untuk berlegar di ruang udara.

“Kami kini sedang berusaha bagi membolehkan RoboFly terbang berlegar di udara. Jika usaha itu berjaya kelak, RoboFly mempunyai manfaat yang besar terutama dalam membuat pemantauan terhadap pertumbuhan tanaman di ladang-ladang besar atau bagi mengesan kebocoran gas khususnya metana yang kini mengancam cuaca dunia,” katanya.