Kejatuhan Putrajaya kepada Pakatan Harapan (PH) yang diketuai Tun Dr. Mahathir Mohamad sememangnya mengejutkan kepimpinan tertinggi BN.

Bayangkan, BN yang gah memerintah sejak kemerdekaan negara pada tahun 1957 bakal menjadi pembangkang di Dewan Rakyat buat kali pertama.

Lebih mengejutkan, BN yang sebelum ini terdiri daripada 13 parti dalam gabungan yang berikrar untuk taat dan setia bersama kini menjadi mangsa pengkhianatan.

Kurang dua bulan selepas kekalahannya, BN kini hanya tinggal kepada tiga parti iaitu UMNO, MCA dan MIC.

Tidak hairanlah, ramai yang melihat hala tuju BN yang diasaskan oleh Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein pada tahun 1973 kini semakin kelam. 

Gabungan
Gabungan yang dahulunya bertujuan menyatukan pemerintah dan pembangkang untuk memulihkan perpaduan negara selepas peristiwa 13 Mei 1969, kini seolah-olah berada di persimpangan jalan. 

Sabah misalnya, BN kini hanya ditunjangi oleh UMNO sebagai parti tunggal selepas parti komponennya iaitu Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti
Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) mengambil keputusan untuk keluar daripada gabungan tersebut.

Situasi sama juga berlaku di Sarawak, kebimbangan akan kehilangan kuasa politik menyebabkan empat komponen utama iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti
Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik (PDP) mengikut jejak rakan-rakan mereka di Sabah dengan menubuhkan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Terbaharu, BN turut menerima tamparan hebat selepas parti Gerakan sebulat suara memutuskan untuk keluar daripada gabungan tersebut pada 23 Jun lalu.

Menerusi satu kenyataan, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan ahli-ahli akar umbi selain dilihat selari dengan usaha untuk memperkukuhkan semula parti selepas PRU-14.

Penganalisis Sosiopolitik dan Sosiobudaya Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi menyifatkan langkah komponen BN keluar daripada gabungan itu sebagai politik terdesak.

Katanya, semasa kesemua parti berkenaan berada dalam kerajaan dahulu ia telah menikmati pelbagai keistimewaan termasuk kuasa politik, jawatan-jawatan tertinggi, peluang perniagaan dan sebagainya.

“Bagaimanapun, apabila BN tewas pada PRU-14 semua keistimewaan dan ganjaran yang dinikmati itu hilang dalam sekelip mata.

“Justeru, demi survival politik terutama kalangan pemimpin mereka langkah terbaik ialah keluar daripada BN malah ada kalangan parti ini dilihat cuba berbaik-baik dengan kerajaan baharu.

“Apa pun, tiada istilah kesetiaan dalam politik kerana tiada kawan atau musuh yang akan kekal selama-lamanya,” katanya ketika dihubungi Jurnal baru-baru ini.

Tambah Awang Azman, biarpun BN kini hanya dianggotai UMNO, MCA dan MIC namun tidak bermakna parti itu akan terus berkubur dalam kancah politik tempatan.

“Sebenarnya, inilah masa terbaik untuk BN merapatkan kembali semua kepimpinan parti dan jentera bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat.

“Hakikatnya, peluang untuk BN kembali sebagai kerajaan masih wujud kerana kita tidak tahu sejauh mana PH akan kekal berkuasa atau tidak pada masa hadapan,” ujarnya.

Pucuk pimpinan BN juga perlu berubah dengan memberi peluang kepada kepimpinan baharu yang lebih proaktif untuk memacu hala tujunya sebagai pembangkang yang kuat di Dewan Rakyat kelak.

“Perlu diingat, penolakan rakyat terhadap BN bukan disebabkan parti itu lemah tetapi disebabkan pelbagai skandal dan kontroversi yang melibatkan para pemimpinnya, ketiadaan tadbir urus yang baik serta kegagalan
menangani isu-isu seperti kenaikan harga barang, peningkatan kos sara hidup dan sebagainya.

“Justeru, perubahan total perlu dilakukan oleh setiap komponen termasuk menyingkirkan para pemimpin korup, membuang imej elit dan bangsawan yang berakar umbi selain kembali semula kepada perjuangan asalnya iaitu membela nasib dan kebajikan rakyat

“Kita lihat UMNO sudah memulakannya pada Pemilihan UMNO 2018 yang sedang berlangsung sekarang dan kita harap langkah sama akan turut dilakukan oleh MCA dan MIC,” katanya.

Kepimpinan 
Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Prof. Dr. Sivamurugan Pandian berkata, kekalahan BN berupaya membuka landskap baharu dalam iklim politik negara.

Katanya, sebelum ini modul BN lebih terarah kepada politik berasaskan kaum dan etnik yang ditunjangi komponen-komponen yang bernaung di bawahnya.

“Sebelum ini setiap parti ada kepentingan terhadap kaum-kaum tertentu sekali gus membentuk dominasi kaum tersebut dalam parti berkenaan.

“Bagaimanapun, dalam konteks politik semasa tidak mustahil BN akan berubah kerana agenda nasional perlu menjadi keutamaan dan bukannya kaum atau etnik.

“Apatah lagi dengan ketiadaan parti-parti komponen dari Sabah dan Sarawak. Jika BN mahu terus meraih sokongan dan melebarkan sayapnya di sana kemungkinan ia akan lebih bersifat terbuka dan menerima keahlian daripada pelbagai bangsa atau etnik berbanding sebelum ini,” katanya.

Berdasarkan keputusan PRU-14, fahaman politik berasaskan kaum dan etnik yang diamalkan BN juga dilihat sudah tidak relevan dalam kalangan rakyat.

“Ini mungkin kelebihan yang dimiliki oleh PH sekali gus membawa kepada kemenangannya. Berdasarkan senario politik terbaharu, rakyat tidak lagi mahu terikat kepada politik kepartian.

“Mereka hanya mahu memerhati, mengundi dan kemudiannya melihat apa yang bakal dilakukan oleh parti yang dipilih.

“Justeru, perlu ada mekanisme baharu dalam strategi BN selepas ini bagi menarik semula sokongan rakyat,” ujarnya.