Perasaan gementar Saging sangat berbeza kali ini apabila dia menunggu ketibaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg.

Penghulu masyarakat di Uma Belor, Sungai Asap tersebut merupakan antara puluhan ketua masyarakat di Parlimen Hulu Rejang yang tidak sabar menyaksikan detik-detik bersejarah tercipta di Empangan Hidrolektrik pada 5 April lalu.

Malah, dia kelihatan tidak senang duduk sebaik detik bersejarah dirakamkan semasa majlis penyerahan rasmi Empangan hidroelektrik Bakun daripada kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri menerusi Sarawak Energy Berhad (SEB). Apabila didekati oleh kru Jurnal, perkataan pertama yang keluar dari mulutnya ialah ‘Terima Kasih PM’.

Saging menyifatkan penyerahan Empangan Hidroelektrik Bakun kepada Sarawak merupakan ‘hadiah’ terbesar yang diberikan oleh kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri ini. Katanya, masyarakat setempat perlu berpandangan jauh dengan menyokong usaha pengambilalihan empangan yang sangat strategik itu.

“Sejak 1996, kami menyambut baik projek empangan ini memandangkan ia akan menguntungkan masa depan kami,” katanya.

Saging menambah, penduduk setempat di situ pada peringkat awal menyedari sepenuhnya bahawa mereka terpaksa menanggung ketidakselesaan dan kepayahan untuk menempatkan semula rumah serta punca pendapatan mereka.

Bagaimanapun, katanya, kira-kira 11,000 penduduk dari kaum peribumi Orang Ulu yang menetap di hulu dan hilir Sungai Balui telah melakukan pengorbanan demi kemajuan masyarakat serta negara pada masa depan.

“Ini kerana kami yakin semua projek pembangunan yang dirancang oleh kerajaan telah dikaji secara mendalam,” ujar Saging lagi.

Seorang penduduk dari Kampung Sekapan, Belaga, Tovoh Salek, 77, juga tidak mahu melepaskan peluang untuk menyaksikan detik-detik bersejarah penyerahan empangan tersebut kepada kepimpinan negeri ini.

Ujarnya, penantian sejak lebih 20 tahun untuk melihat empangan terbesar di negara ini beroperasi akhirnya menjadi realiti dengan hak miliknya kini berpindah tangan kepada kerajaan negeri.

“Jadi, saya berharap menerusi pengambilalihan empangan hidroelektrik ini, semua kawasan penempatan di Sarawak khususnya di luar bandar dan pedalaman akan menerima bekalan elektrik selama 24 jam,” katanya.

Sementara itu, Abang Johari memberitahu, kerajaan Sarawak telah mencapai persetujuan dengan Kementerian Kewangan (MoF) dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan untuk mengambil alih kesemua pegangan ekuiti Sarawak Hidro Sdn. Bhd. (SHSB), pemilik dan pengendali Stesen Hidroelektrik (HEP) Bakun.

Menurut beliau, pengambilalihan itu dilakukan oleh syarikat milik penuh kerajaan negeri, SEB iaitu syarikat utiliti elektrik bersepadu dan pembangunan tenaga yang mengendali tiga lagi empangan hidroelektrik di Batang Ai, Murum dan Baleh.

“Langkah pengambilalihan empangan yang memiliki kapasiti janaan tenaga elektrik sebanyak 2,400 megawatt itu menyebabkan kerajaan negeri membelanjakan RM2.5 bilion. Ini satu konsesi besar Putrajaya. Saya ingin berterima kasih kepada Perdana Menteri (Najib) untuk ini,” katanya.