Kumpulan pertama 13 orang menteri berkenaan mengangkat sumpah pada 21 Mei 2018 manakala bakinya 13 orang lagi bersama 23 Timbalan Menteri mengangkat sumpah jawatan pada Isnin lalu.
Dari segi komposisi, bilangan kerusi menteri dan timbalan menteri tidak diagihkan mengikut jumlah kerusi Parlimen yang dimenangi parti-parti komponen PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei 2018. Tidak ada satu parti dalam gabungan PH yang mendominasi Kabinet Persekutuan secara mutlak.
Malah parti yang mempunyai bilangan kerusi yang kecil di Dewan Rakyat seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) mempunyai perwakilan yang baik di peringkat menteri dan timbalan menteri. 
Kabinet Persekutuan yang diumumkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad kali ini mengambil masa 50 hari pasca PRU ke-14 untuk dibentuk sepenuhnya kerana pelantikan para menteri memerlukan rundingan yang rumit dan berpanjangan dalam kalangan pemimpin empat parti politik dalam PH.

Agihan kerusi

Sekiranya bilangan kerusi yang dimiliki di Dewan Rakyat dijadikan penentuan untuk mengagihkan kedudukan dalam Jemaah Menteri maka Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memenangi 49 kerusi Parlimen dalam PRU tersebut berhak mendapat kerusi terbanyak dalam Kabinet diikuti di tempat kedua oleh DAP yang mempunyai 42 kerusi Parlimen. 
Jika formula itu digunakan maka PPBM dan Amanah yang masing-masing mempunyai 12 dan 10 kerusi Dewan Rakyat akan mempunyai representasi paling kecil dalam Kabinet. Parti Warisan yang mengikrarkan sokongan lapan ahli Parlimennya kepada PH barangkali hanya layak diwakili pada peringkat timbalan menteri dalam Kabinet Persekutuan.
Nampaknya dalam menubuhkan Kabinet Persekutuan PH ini formula yang diguna pakai ialah keempat-empat buah parti politik tersebut tanpa mengira kerusi yang dimenangi telah membantu secara kolektif satu sama lain untuk menewaskan Barisan Nasional (BN) dalam PRU ke-14. Lupakan jumlah kerusi yang dimenangi secara individu oleh setiap parti.
Penerimaan ekspedien politik ini adalah budaya politik baharu yang pertama kali diamalkan di negara ini. Sebelum itu, mengikut formula BN dan juga demokrasi parti politik yang dominan dalam gabungan politik membolot bukan sahaja jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri tetapi juga sebahagian besar kedudukan penting dalam Kabinet Persekutuan.
Tetapi pasca PRU ke-14, formula lama mengagih-agihkan jawatan dalam kerajaan berdasarkan kerusi yang dimenangi dalam PRU telah ditulis semula oleh PH. 
Malah penulisan semula formula itu bermula sebelum PRU itu sendiri apabila ia secara konsensus menamakan pemimpin sebuah parti kecil dan baharu saja ditubuhkan iaitu PPBM sebagai calon Perdana Menteri.
Apa yang menarik ialah selepas menang PRU ke-14, para pemimpin PH tidak tamak haloba. PH melaksanakan segala janji sebelum turun gelanggang untuk melawan BN. Mahathir sebagai peneraju PPBM yang hanya memenangi 12 kerusi Parlimen dipersetujui sebagai Perdana Menteri.

Terima hakikat

Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PKR yang mempunyai 49 kerusi Parlimen tidak menghalang Mahathir untuk memegang kedudukan nombor satu dalam pentadbiran negara bagi kali kedua itu walaupun mengikut perjanjiannya cuma dua tahun. 
Sekiranya mahu sebagai parti yang memiliki kerusi terbanyak di Dewan Rakyat, berbanding tiga parti lain dalam PH, Wan Azizah boleh sahaja menuntut jawatan Perdana Menteri.
Boleh dikatakan setelah dilantik sebagai Perdana Menteri, setiap pemimpin parti komponen PH menerima hakikat bahawa Mahathir mempunyai kuasa prerogatif untuk melantik anggota Jemaah Menteri. 
Para pemimpin komponen PH sekadar bersetuju menyerahkan nama daripada parti masing-masing untuk diberi kedudukan sebagai menteri atau timbalan menteri dan berunding bagi mendapat kedudukan tertentu yang mereka fikir strategik dalam Jemaah Menteri untuk calon masing-masing. 
Mereka menyerahkan kepada Perdana Menteri untuk melantik atau tidak melantik nama-nama diberi. Tidak ada tuntutan terbuka meminta jawatan menteri itu dan ini. Perundingan dilakukan di balik tabir.
Dengan kata lain, para pemimpin parti komponen PH tidak lagi melihat pemberian jawatan Kabinet sebagai zero sum game dalam erti kata sekiranya ada antara nama yang dikemukakan ditolak oleh Perdana Menteri, mereka tidak teragak-agak untuk menarik sokongan yang diberikan oleh parti kepada penubuhan kerajaan PH.
Misalnya, umum tahu bahawa Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng kecewa kerana salah seorang calonnya untuk jawatan menteri iaitu Nga Kor Ming, Pengerusi DAP Perak ditolak oleh Mahathir. Tetapi kekecewaan itu tidaklah sampai mereka memutuskan untuk menarik keluar DAP daripada PH. 
Hal tersebut tidak dilakukan kerana setelah berasa nikmat kuasa sebagai Menteri Kewangan, Guan Eng ingin kekal pada kedudukan tersebut. Guan Eng dan para pemimpin DAP yang lain amat menyedari bahawa sekiranya parti keluar daripada PH hanya kerana Kor Ming tidak dilantik sebagai menteri, maka PH akan tumbang. 
Pada waktu yang sama mereka tahu jika PH menjadi sejarah, maka satu gabungan politik baharu berkemungkinan muncul untuk membentuk kerajaan menggantikan PH tanpa DAP.  
Buat waktu ini, nikmat kuasa akan menjadi satu ekspedien politik yang mengikat empat parti komponen PH untuk menyokong satu sama lain sekiranya ingin kekal berkuasa sehingga PRU ke-15.