Baekeland yang ketika itu melakukan uji kaji untuk mencari alternatif murah kepada syelek, sejenis pengilat, sebaliknya telah menghasilkan polimer plastik daripada campuran fenol dan formaldehid. Sebatian tersebut mendorong perkembangan di sektor industri dan perdagangan global, namun, paling utama, plastik menjadikan kehidupan manusia jauh lebih mudah.

Keistimewaan sebatian ini adalah ia boleh dibentuk mengikut pelbagai acuan, lasak dan tahan lama. Kegunaannya begitu meluas sehingga mengatasi kebanyakan bahan lain buatan manusia melainkan besi, bata dan simen.

Plastik digunakan antaranya untuk menghasilkan botol minuman, beg beli-belah, pinggang mangkuk, komponen kenderaan, pembungkusan, bahan penebat elektrik dan banyak lagi.

Bagaimanapun, keistimewaan plastik itu juga kelemahannya sehingga mendatangkan masalah besar kepada kebersihan persekitaran dunia. Tiada satu pun plastik untuk kegunaan biasa dapat diuraikan dengan bantuan mikroorganisma seperti bakteria atau dalam bahasa mudah, secara semula jadi.

Satu-satunya jalan selamat untuk memusnahkan sampah plastik adalah dengan membakarnya menerusi proses penguraian kimia dinamakan pirolisis. Sekiranya ditanam , plastik akan mengambil masa yang amat panjang untuk terurai iaitu sekitar 1,000 tahun dan sekiranya dibakar melalui kaedah biasa pula, bahan kimia di dalamnya mencemarkan udara.

 

Pencemaran

Satu kajian diterbitkan dalam jurnal Science Advances pada tahun 2017 menganggarkan penghasilan plastik di seluruh dunia telah mencecah 8 bilion metrik tan, angka yang sukar untuk dibayangkan oleh minda manusia.

Sebagai perbandingan, jumlah tersebut menyamai berat 56,000 buah kapal pengangkut pesawat berkuasa nuklear Nimitz, 55 juta pesawat jumbo Boeing 747, satu bilion ekor gajah atau lebih mudah lagi, bilangan plastik yang dihasilkan oleh manusia dalam tempoh 65 tahun sahaja adalah mencukupi untuk menutup negara sebesar Argentina atau lapan kali saiz Malaysia.

Lebih membimbangkan, 70 peratus plastik yang dihasilkan itu akhirnya mengisi tapak-tapak pembuangan sampah di seluruh dunia dan banyak juga terbiar menjadi sampah yang dibiarkan mengotorkan persekitaran termasuk lautan.

“Kita sedang menuju ke arah menjadikan Bumi sebagai planet plastik. Jika kita tidak mahu tinggal di dunia kotor seperti itu, kita perlu menilai semula bagaimana kita menggunakan sesetengah bahan termasuk plastik,” kata pensyarah Universiti California, Dr. Roland Geyer dalam satu temu bual bersama Perbadanan Penyiaran British (BBC) lewat tahun lalu.

Walaupun kempen kitar semula rancak dilaksanakan, malah bukan lagi konsep asing pada masa kini, saintis-saintis menyatakan bahawa hanya 9 peratus daripada sampah plastik dunia telah dikitar semula, manakala 12 peratus lagi dilupuskan melalui kaedah pembakaran dan selebihnya mengisi tempat-tempat pembuangan sampah.

Berdasarkan trend penggunaan plastik semasa pula, bilangan sampah plastik dijangka meningkat kepada 12 bilion tan menjelang tahun 2050.

Pengeluaran plastik juga dijangka meningkat kerana bahan itu murah untuk dihasilkan.

Saintis-saintis juga menyatakan, sejumlah 8 juta tan sampah plastik mengalir ke lautan di dunia pada setiap tahun. Situasi ini lebih membimbangkan kerana sebahagian bahan buangan tersebut masuk ke dalam rantaian makanan seperti ikan, sementara hidupan marin kecil memakan bahan berbahaya seperti serpihan halus polimer. Haiwan ini pula dimakan hidupan laut lebih besar dan akhirnya bahan berbahaya itu sampai kepada manusia apabila mereka memakan ikan tercemar.

Kejadian haiwan marin mati akibat memakan plastik yang dibuang ke dalam laut juga kerap menjadi paparan berita. Baru-baru ini, seekor paus pilot ditemui mati dalam keadaan terapung di sebuah terusan di wilayah Songkhla, selatan Thailand. Bedah siasat mendapati perut mamalia itu mengandungi 7 kilogram sampah plastik.

Menurut laman web alam sekitar Trending, negara yang menghasilkan bahan buangan plastik terbesar di dunia termasuk China, Indonesia, United Kingdom, Filipina, Thailand, Vietnam dan Rusia.

 

Bahaya

Kebanyakan plastik yang digunakan dalam kehidupan seharian manusia menerusi pelbagai produk di pasaran sebenarnya mengandungi bahan kimia seperti Polivinil Klorida, Polistirena, Polikarbonat, polietilena dan Polipropilena dengan sesetengahnya boleh meresap ke dalam makanan apabila bekas plastik dihangatkan.

Bahan kimia tersebut juga boleh mengundang masalah kesihatan seperti risiko mendapat penyakit kanser, berbahaya kepada bayi dan anak kecil dan menjejaskan keseimbangan hormon manusia.

Pakar alam sekitar marin daripada Universiti Utrecht di Belanda, Dr. Erik van Sebille berkata, dunia kini memerlukan perubahan radikal dalam cara menguruskan sampah plastik.

Beliau berkata, jika trend sekarang berlarutan, masa sehingga tahun 2060 diperlukan untuk lebih banyak plastik dikitar semula berbanding dilonggokkan di tapak-tapak pelupusan sampah.

Lebih teruk, sejumlah 90 peratus plastik yang dikitar semula atau kira-kira 600 juta tan hanya dikitar semula sekali. Kaedah tersebut sama sekali tidak efisien berbanding bahan kitar semula yang lain.

“Kita berdepan tsunami sampah plastik dan kita mesti mencari kaedah untuk menanganinya,” kata pakar berkenaan.