Apabila ia seringkali berlaku pada setiap kali Pilihan Raya Negeri (PRN) ataupun Pilihan Raya Umum (PRU), orang ramai terutama penduduk Sabah seperti sudah tiada hairan hingga melontarkan kata-kata: “Biasalah, di Sabah, setiap kali pilihan raya memang selalu macam itu, lompat sana, lompat sini, tiada apa yang mustahil.”

Pada PRU-14 baru-baru ini, Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal telah dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah selepas mengharungi onak dan duri. Urutan peristiwa yang direntas oleh Mohd. Shafie dan Warisan yang membentuk kerajaan negeri sebenarnya bukan satu perkara baharu di Negeri di Bawah Bayu itu.

Ia persis ‘insiden’ tahun 1994 apabila Parti Bersatu Sabah (PBS), setelah memerintah selama 10 tahun jatuh selepas wakil rakyatnya satu persatu melompat ke dalam UMNO.
Berbanding Barisan Nasional (BN) Sabah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman yang tumbang dalam tempoh 36 jam baru-baru ini, PBS pula jatuh pada tahun 1994 dalam tempoh tiga minggu.

Penangan PBS

Historiografi PBS sangat panjang. PBS yang dilahirkan pada tahun 1985 merupakan serpihan daripada parti Berjaya pimpinan Datuk Harris Salleh selaku Ketua Menteri Sabah ketika itu.
PBS yang ditunjangi Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang terdiri daripada pelbagai kaum di Sabah didokong oleh ramai pemimpin muda daripada etnik Kadazandusun.
Penangan PBS cukup hebat. Hanya 40 hari selepas penubuhannya, PRN Sabah yang berlangsung pada 10 April 1985 menyaksikan PBS berjaya memperoleh 25 daripada 48 kerusi sekali gus menumbangkan Berjaya yang disokong kerajaan Persekutuan.
PRN Sabah pada tahun 1986 dan 1990 turut didominasi oleh PBS walaupun diwarnai dengan drama keluar masuk PBS ke dalam BN.

 Ketika PRN Sabah pada tahun 1994, sejarah yang tertulis adalah berbeza apabila Pairin hanya berkesempatan menjadi Ketua Menteri dalam tempoh singkat.
Keadaan turut diburukkan apabila pemimpin-pemimpin kanan PBS seperti Datuk Mark Koding bertindak menubuhkan Angkatan Keadilan Rakyat (AKAR) dan Datuk Yong Teck Lee  mengasaskan Parti Maju Sabah (SAPP).
Keputusan pilihan raya tahun itu bagaimanapun menyaksikan PBS berjaya meraih kemenangan tipis iaitu 25 kerusi berbanding gabungan UMNO, AKAR, SAPP dan Parti Liberal Demokratik (LDP) yang mendapat 23 kerusi.  
Kejayaan itu dari awal lagi telah menampakkan rintangan apabila Pairin terpaksa menunggu 36 jam di luar Istana Negeri sebelum dapat mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri.

Pun begitu, kerajaan dimilikinya amat rapuh. Pairin hanya mampu melihat satu demi satu wakil rakyat melompat ke BN dengan dimulai Datuk Lajim Ukim, Datuk Rubin Balang dan Zaini Mat Isa.
Drama lompat itu juga berlaku kepada adik Joseph Pairin, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan yang beralih arah ke AKAR manakala Tan Sri Bernard Dompok dan Tan Sri Joseph Kurup masing-masing menubuhkan UPKO dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
Apa yang tinggal pada PBS hanyalah Joseph Pairin dan dua wakil rakyat yang lain, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili dan Datuk Datu Amirkahar Datu Mustapha.
Kehilangan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah memaksa Pairin melepaskan jawatan Ketua Menteri yang hanya mampu dipegangnya selama dua minggu.
Drama lompat-melompat parti pada tahun 1994 itu kemudiannya menyaksikan Tun Sakaran Dandai daripada UMNO menjadi Ketua Menteri Sabah.

Penggiliran

Maka bermulalah era penggiliran Ketua Menteri Sabah setiap dua tahun yang telah meliputi pelbagai parti di negeri itu termasuk SAPP, Parti Demokratik Sabah (PDS) dan LDP.
Penggiliran itu berakhir pada tahun 2003 selepas Musa memegang jawatan tersebut secara berterusan sehingga ‘kerajaannya’ tumbang pada 12 Mei lalu.
Warisan yang dipimpin Mohd. Shafie telah mengimbau kembali detik-detik debaran politik pada tahun 1994, yang mana sebuah kerajaan negeri dan ketua menteri telah tumbang berikutan tindakan melompat parti.

Daripada kedudukan seri terikat 29 kerusi, BN pada mulanya dilihat mendapat kelebihan apabila Parti Solidariti (STAR) yang mendapat dua kerusi memilih untuk memihak kepada BN.
Begitupun, enam wakil rakyat daripada BN (empat UMNO, dua UPKO) telah mengubah segalanya apabila melompat masuk menyertai Warisan yang mempunyai pakatan dengan DAP dan PKR.

Meskipun terdapat banyak kritikan terhadap perbuatan melompat parti, namun pada masa yang sama, landskap politik negara juga jauh berubah berikutan kejatuhan BN selepas 61 tahun selaku kerajaan Persekutuan.
Rakyat Sabah sudah pun menyaksikan mandat yang diberikan bertukar ganti. Namun, dalam amalan demokrasi tidak ada penyelesaian yang berbentuk kekal. Hakikatnya, dalam dunia politik, dahulunya mungkin lawan tapi kini barangkali boleh jadi kawan.