Pada 27 Ogos lalu, maruah Orang Asli suku Temiar sekali lagi dipermainkan apabila pagar yang dibina bagi menghalang aktiviti pembalakan di Pos Tohoi, Kampung Depak, Gua Musang, Kelantan itu telah dirobohkan oleh Jabatan Perhutanan atas alasan telah mendapat kelulusan pihak atasan.

Drama tersebut berlangsung dengan penuh emosi dan air mata masyarakat pribumi itu apabila melihat satu demi satu halangan yang dibina daripada batang pokok itu dimusnahkan demi menghalalkan kerakusan ke atas bumi yang mereka sayangi.

Walaupun sedih bercampur marah melihat tanah mereka dirampas, namun suku kaum yang hidup di dalam hutan tebal itu dilihat lebih profesional dan matang kerana sedar amukan dan rusuhan bukanlah jalan yang terbaik untuk menuntut hak mereka yang dicuri.

Bagaimanapun, sampai bilakah isu itu akan terus bermain atau kuasa mahkamah manakah yang diperlukan dalam penentuan pemilikan tanah tersebut?