Beliau yang memakai baju Melayu hitam dan bersamping songket hitam keemasan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ketujuh di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara pada pukul 9.55 malam.

Istiadat mengangkat sumpah jawatan Dr. Mahathir sebelum ini menimbulkan pelbagai spekulasi selepas beliau gagal berbuat demikian pada awal pagi 10 Mei. Upacara itu kemudian ditunda pada sebelah petang tetapi hanya menjadi kenyataan pada sebelah malam.

Berumur 92 tahun, Dr. Mahathir merupakan Perdana Menteri tertua di dunia ketika ini. Beliau kembali ke pejabat Perdana Menteri di Putrajaya setelah 15 tahun bersara daripada politik.

Pada PRU-14 yang berlangsung Rabu lalu, Pakatan Harapan memenangi 113 daripada 222 kerusi Parlimen bagi membentuk  kerajaan Persekutuan yang baharu.

Dr. Mahathir yang bertanding atas tiket PKR memenangi kerusi Parlimen Langkawi dengan majoriti 8,893 undi menewaskan calon BN dan Pas.