HAMPIR 15 juta pengundi berdaftar perlu menunaikan tanggungjawab
HAMPIR 15 juta pengundi berdaftar perlu menunaikan tanggungjawab pada PRU-14 yang akan datang.

Kempen Undi Rosak menjadi tular dalam laman sosial sejak penghujung tahun lalu. Kempen tanpa organisasi itu giat menyebarkan mesej dengan tanda pagar #UndiRosak atau #SpoiltVote, dan #ProtesPRU.

Ia bertujuan mengajak pengundi berdaftar merosakkan undi masing-masing pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) disebabkan kecewa dengan pilihan yang ada antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan yang kononnya tidak cukup bagus. Salah seorang aktivis kempen itu mengatakan kempen tersebut wujud kerana pengundi tidak perlu memilih “salah satu daripada pilihan yang kurang teruk”.

Kempen itu mengundang kecaman daripada pemimpin pembangkang dan kerajaan, walaupun sekumpulan anak muda menyifatkan kempen itu tidak akan memberi kesan kepada keputusan pilihan raya.

Undi rosak berlaku apabila pengundi memilih lebih daripada seorang calon pada kertas undi, menulis sesuatu di atas kertas undi, atau menyerahkan kertas undi yang tidak bertanda atau ditanda di luar kotak yang disediakan.

Dalam reaksinya terhadap kempen tersebut, Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, hukum merosakkan undi adalah haram kerana dalam konteks fiqh siyasah di Malaysia, pelantikan wakil rakyat, menteri dan kerajaan melalui proses pilihan raya adalah wajib.

Pengundi berdaftar tetapi tidak mengundi dan rakyat Malaysia beragama Islam yang layak mengundi tetapi tidak mendaftarkan sebagai pengundi hukumnya juga haram dari sudut syarak, kata Zulkifli dalam laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada Februari lalu.

Beliau turut mengingatkan rakyat negara ini supaya melaksanakan tanggungjawab dan amanah dengan mengundi calon yang diyakini dapat menjaga kepentingan lima keperluan utama iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Daripada 32 juta rakyat Malaysia, hampir 15 juta pengundi berdaftar layak mengundi pada PRU-14 yang akan datang bagi memilih 222 ahli Parlimen dan 505 Ahli Dewan Undangan Negeri.

Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Othman pula berkata, tanggungjawab untuk mengundi pada pilihan raya umum bagi memilih sebuah kerajaan merupakan tuntutan Islam dalam usaha menegakkan agama dan perkembangan duniawi.

Dengan mengambil kira pandangan ulama seperti Ibnu Taimiyyah, beliau berkata, menunaikan tanggungjawab untuk memilih sebuah kerajaan menerusi pilihan raya juga merupakan satu ibadah.

“Umat Islam wajib mengundi untuk memilih mereka yang bertanggungjawab dan dapat menggalas amanah,” katanya.

Dalam pada itu, Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berpendapat rakyat negara ini tidak wajar melakukan atau berkempen untuk merosakkan undi, tidak mendaftar sebagai pengundi atau sengaja tidak keluar mengundi.

Ulil amri

“Negara kita mengamalkan sistem demokrasi berperlembagaan. Sekiranya kita memboikot dan merosakkan undi, sistem tidak akan berjalan dengan sempurna. Ini juga melanggar arahan pemerintah iaitu ulil amri yang harus dipatuhi. Lagipun mengundi tidak melanggar perintah agama dan bukan perkara kemaksiatan.

“Kita telah melihat jatuhnya beberapa pemimpin negara Arab akibat relovusi Arab Spring beberapa tahun lalu. Tindakan menjatuhkan pemimpin dengan cara yang ganas itu lebih buruk kesannya. Memang demokrasi ada kelemahannya namun, setakat ini sistem ini adalah yang terbaik,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, Mohd. Asri memberitahu undian seseorang mempunyai nilai dosa dan pahala di sisi Allah berdasarkan kesan yang mungkin berlaku disebabkan undi yang diberikan.

“Jika ia membawa kesan yang baik untuk rakyat dan negara, dan itulah tujuan individu yang mengundi tersebut, maka undi itu mendapat pahala. Jika dia tahu undinya itu boleh memberikan kesan yang buruk, tetapi dia terus mengundi juga, maka dia mendapat dosa,” kata beliau.

Mohd. Asri turut menyebut beberapa langkah atau panduan penting bagi seseorang pengundi Muslim sekali gus menyanggah propaganda Kempen Undi Rosak. Antaranya, kata beliau, pengundi muslim wajib memilih calon yang paling layak dari sudut quwwah (kemampuan) dan amanah.

“Jika kesemua calon mempunyai ciri-ciri kelayakan, maka kita hendaklah memilih calon yang paling berkesan untuk jawatan tersebut. Ini boleh dilihat kepada pelbagai faktor, seperti program dan manifesto partinya, kekuatan akar umbinya, serta ciri-ciri keistimewaan yang lain,” ujarnya.

Dalam pada itu, jika kesemua calon didapati tidak mempunyai ciri-ciri yang layak untuk memegang kerusi tersebut, maka pilihlah calon yang paling kurang mudarat atau bahayanya terhadap rakyat dan umat dibandingkan yang lain. Ini berasaskan kaedah syarak “memilih bahaya yang paling ringan”.

“Jika bertembung antara calon yang baik dan partinya yang buruk, sementara calon yang buruk partinya baik, maka pada asasnya kita mendahului peribadi calon. Kecuali jika kita dapati pengaruh buruk parti itu lebih menguasai jawatan tersebut dibanding kebaikan yang ada pada peribadi calon, ketika itu calon yang kelihatan baik itu tidak perlu diundi,” katanya lagi.

Apa yang penting, ujar beliau, undilah calon yang berkelayakan dan memberikan kesan yang baik kepada negara dan rakyat.