Salah seorang wanita yang menikmati momen bersejarah itu ialah Fadya Basma yang bekerja di sebuah syarikat teksi online. Dia kini boleh menghantar penumpang lelaki tanpa ditemani mahramnya.

Perasaan yang sama dikongsi oleh Samar Almogren, seorang pengacara televisyen dan penulis. “Saya selalu yakin hari ini akan datang. Tetapi rupa-rupanya ia datang dengan cepat. Tiba-tiba saya berasa bebas seperti burung,” ujar Almogren seperti dipetik akhbar The Guardian.

Kebebasan memandu dijangka mengubah kehidupan kaum hawa di negara itu. Wanita kini tidak lagi perlu bergantung kepada pemandu peribadi atau harus menunggu saudara lelaki, bapa atau suami mereka untuk pergi ke mana-mana.

Sebenarnya tidak ada undang-undang rasmi kerajaan yang melarang wanita di Arab Saudi memandu kereta. Namun, larangan itu cuma berdasarkan budaya masyarakat selain fatwa ulama. Larangan wanita memandu itu antara lain berdasarkan prinsip ‘Sad al-Zarai’ iaitu menutup kemungkinan terjadinya hal-hal buruk kepada wanita.

Larangan itu telah menimbulkan banyak bantahan. Pada tahun 1990-an, seramai 47 wanita di Riyadh melakukan protes dengan memandu 17 buah kereta. Tetapi kesemuanya ditangkap. Sebahagiannya dibuang kerja. Malah, para suami dan anak-anak lelaki mereka turut ditahan kerana gagal mengawal isteri atau ibu masing-masing.

Namun, apa yang menghairankan, ujar pengkritik, adalah sikap ulama Arab Saudi berkait isu memandu kereta tersebut. Malah, para ulama kebelakangan ini dilihat seolah-olah berfungsi sebagai cap mohor bagi setiap keputusan kerajaan yang berisiko mendapat tentangan daripada masyarakat.

Sebagai contoh, tidak lama selepas Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud mengumumkan keputusan untuk membenarkan wanita memandu pada September tahun lalu, para ulama juga memberikan pendapat yang sama sekali gus menyediakan hujah-hujah yang menyokong langkah tersebut.

Apa yang dahulu dianggap haram tiba-tiba menjadi halal. Keputusan kerajaan itu juga dianggap sesuai dengan maslahah ajaran Islam.

Mengejutkan

Sesetengah pengkritik melihat situasi itu bukan sesuatu yang mengejutkan. Alasan ‘maslahah’ untuk membolehkan wanita memandu itu memang masuk akal. Selama ini, larangan itu menyebabkan rakyat terpaksa menanggung beban ekonomi dan sosial. Masyarakat Arab Saudi memerlukan khidmat pemandu yang hampir semuanya orang asing dalam jumlah yang besar. Ini tentunya menjadi masalah ketika situasi ekonomi Arab Saudi menurun secara drastik ekoran kejatuhan harga minyak.

Kebebasan itu, menurut Bloomberg, bukan semata-mata soal modernisasi atau persamaan hak gender, malah bakal menjana keuntungan besar kepada kewangan kerajaan. Ekonomi Arab Saudi diunjur melonjak sebanyak AS$90 (RM360) bilion pada tahun 2030.

Pengarah Gerakan Reformasi Islam, Sa’ad al-Faqih berkata, titah Raja Salman yang membenarkan kaum wanita memandu kenderaan sebagai ‘ujian yang akan mendedahkan siapa ulama sebenar dan siapa ulama penguasa’.

“Titah raja ini telah mengungkap siapa sebenarnya mufti dan ulama penguasa. Mereka menukar fatwa daripada haram wanita memandu kepada halal. Dahulu mereka mengharamkannya kerana mafsadah (keburukan) yang lebih besar, sekarang membolehkannya pula kerana maslahat lebih besar pada pandangan raja,” kata ulama Arab Saudi itu menerusi laman Twitter.

Tambah beliau, titah Raja Salman itu seharusnya membuat pihak istana berasa malu. Katanya, banyak putera diraja terpaksa menelan ludah sendiri. Contohnya, Nayif bin Abdulaziz yang pernah berkata: “Kaum wanita hanya akan memandu kenderaan jika sudah tidak ada lagi kaum lelaki.”

Para ulama, menurut al-Faqih, juga sepatutnya tersedar kerana dulu mereka berkeyakinan bahawa larangan kaum wanita memandu kenderaan adalah benteng terakhir bagi moral rakyat.

Pada umumnya tokoh di sebalik perubahan itu ialah Putera Mahkota Mohammed bin Salman.

Begitupun, masih banyak perkara yang tidak boleh dilakukan wanita negara itu. Mereka dilarang menghabiskan masa bersama lelaki yang tiada pertalian darah dengan mereka. Kebanyakan bangunan awam seperti pejabat, bank dan universiti mempunyai laluan yang berbeza mengikut jantina.

Pengangkutan awam, pantai dan taman tema juga dipisahkan antara lelaki dan wanita. Mereka yang melanggar peraturan tersebut boleh didakwa mengikut pertuduhan jenayah tetapi wanita biasanya berdepan hukuman yang lebih berat. Wanita tidak dibenarkan menggunakan kolam renang awam. Mereka hanya boleh memasuki kolam renang persendirian atau gimnasium dan spa yang dikhususkan untuk wanita.

Bagaimanapun, di bawah Mohamad Salman, Arab Saudi bakal membangunkan beberapa buah resort di sepanjang pantai Laut Merah, lapor The Atlantic.

“Kemudahan itu akan dibina mengikut ‘standard antarabangsa’ yang bermaksud ia akan membenarkan lelaki dan perempuan mandi-manda bersama malah memakai bikini dan mengambil alkohol,” lapor laman web tersebut.

Mungkinkah ulama Arab Saudi juga akan mengubah pendapat mereka daripada haram kepada halal andai kerajaan negara itu berhajat mengubah polisi pemisahan antara lelaki dan wanita di tempat awam berkenaan?