Ia direkodkan sebagai bayi pertama di dunia dilahirkan hasil tumbesaran di dalam uterus yang didermakan.

Wanita berkenaan sebelum ini menghidap penyakit kanser pangkal rahim menyebabkan dia gagal hamil.

Biarpun penyelidikan tentang pemindahan rahim masih di peringkat awal, umum melihat ia sebagai suatu sumbangan yang bermakna ke arah kejayaan masa depan teknologi bioperubatan tersebut, khususnya dalam membantu golongan wanita yang tidak dapat melahirkan zuriat sendiri disebabkan ketiadaan atau kegagalan fungsi rahim.

Kes wanita yang tidak mempunyai rahim bukan senario baharu di Sweden.

Dianggarkan di negara itu sahaja, terdapat antara 2,000 hingga 3,000 wanita yang tidak dapat mengandung disebabkan ketiadaan rahim, sama ada ia berpunca daripada masalah kesihatan atau sememangnya wanita-wanita berkenaan dilahirkan tanpa rahim.

Dalam pada itu, penyelidik di sebuah institusi pengajian tinggi di negara tersebut iaitu Universiti Linkoping telah mengkaji pemindahan rahim daripada aspek etika.

Sebenarnya, beberapa projek penyelidikan mengenai pemindahan rahim sedang diusahakan di seluruh dunia.

Setakat ini, teknologi tersebut berjaya membantu kelahiran sepuluh orang bayi selepas menjalani tumbesaran di dalam rahim yang didermakan dengan lapan daripada mereka adalah di Sweden.

Keupayaan memindahkan rahim daripada seorang wanita normal kepada wanita yang tidak normal (dari segi ketiadaan atau kegagalan fungsi rahim) bagi membantu kelahiran bayi adalah dilihat sebagai suatu kejayaan dalam pengertian perubatan.

Bagaimanapun, di Sweden terdapat perbahasan dari segi etika.

“Jika teknologi pemindahan rahim muncul sebagai langkah percubaan untuk menjadi kenyataan dalam sistem penjagaan kesihatan di Sweden, sudah pasti wujud perdebatan dari sudut etika mengenai prosedur tersebut.

Penyewaan rahim

“Kajian kami tidak sampai kepada pendapat sama ada pemindahan rahim harus diterima sebagai sesuatu yang wajib diguna pakai dalam sistem perubatan di negara ini,” ujar penyelidik dari Universiti Linkoping, Lisa Guntram.

“Ini kerana orang ramai perlu sedar perbezaan antara pemindahan rahim dengan penyewaan rahim atau dikenali sebagai surrogacy altruistic yang dalam bahasa mudahnya, ibu tumpang,” jelasnya.

Pada tahun 2016, ketetapan dari segi undang-undang telah dirangka bahawa penyewaan rahim adalah tidak dibenarkan sama sekali di Sweden.

Dengan menjadikan ketetapan tersebut sebagai titik permulaan, Guntram membuat analisis bahawa memperkenalkan teknologi pemindahan rahim sebagai kurang menimbulkan isu atau dilema etika berbanding penyewaan rahim.

Penyelidikannya bersama Nicola Jane Williams dari Lancaster University, Britain telah disiarkan dalam jurnal Bioethics bertarikh 26 September 2018.

Hasil penyelidikan Guntram dan Williams itu jelas menunjukkan bahawa banyak perbahasan terhadap penyewaan rahim boleh turut diaplikasikan kepada pemindahan rahim apabila ia digunakan sebagai rawatan.

“Isu etika yang timbul dalam prosedur pemindahan rahim antaranya adakah penderma rahim itu mendermakannya secara sukarela dan bukan akibat tekanan, misalnya jika penderma rahim adalah dari kalangan ahli keluarga sendiri,” ujar Guntram.

Katanya lagi, isu etika juga timbul adakah pemindahan rahim menyebabkan eksploitasi terhadap tubuh wanita yang mana mungkin terdapat perjanjian pampasan wang secara rahsia dibuat antara penderma dan penerima rahim.

“Risiko juga timbul adakah rahim wanita akan menjadi seperti organ manusia yang lain misalnya, buah pinggang yang dijual dengan harga yang mahal di pasaran gelap.

“Isu seterusnya adalah bahawa penyelidikan mengenai risiko dari segi fizikal dan psikologi bayi yang lahir hasil pemindahan rahim masih belum mencukupi buat masa ini,” ujarnya.