Siapa yang mereka suka, ‘berpaling tadah’ atau tidak terhadap kerajaan mahupun pembangkang, itu adalah hak peribadi. Tidak ada sesiapa yang sepatutnya menyelar atau melemparkan kata-kata kesat kepada selebriti yang juga punya perasaan kasih dan sayang terhadap seseorang pemimpin atau negara.

Sama seperti selebriti, rakyat jelata juga mempunyai hak untuk menjadi ‘lalang’ atau tidak, jika itulah persepsi luar yang dilihat kebanyakan daripada kita hanya kerana mengucapkan tahniah kepada pucuk pimpinan baharu.

Jika aktres seperti Rozita Che Wan atau Erra Fazira menyatakan mereka sayangkan Perdana Menteri Malaysia yang baharu, Tun Dr. Mahathir Mohamad, itu hak mereka. Mahathir yang menjadi perdana menteri buat kali kedua selepas menang besar dalam Pilihan Raya Umum 14 (PRU-14) baru-baru ini disayangi hampir kebanyakan rakyat. Beliau disifatkan sebagai hero dan penyelamat Malaysia Baharu.

Ironi, bukan selepas kemenangan gabungan parti politik Pakatan Harapan (PH) yang diterajui Mahathir pada PRU-14 itu sahaja Che Ta menyokong beliau. Sebaliknya, pada tahun 2015, pelakon itu sudah dengan terbuka menulis dalam Instagramnya bahawa dia akan sentiasa menyokong Mahathir walaupun pada ketika itu figura tersebut tidak langsung mempunyai sebarang kepentingan kepada negara.

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza pula melihat kemenangan PH sebagai satu sejarah dunia. Siti, 39, turut melahirkan rasa kagumnya terhadap Mahathir yang pernah bersara dan kembali menjadi pemimpin negara pada usianya 92 tahun.

“PRU-14 kali ini menjadi satu sejarah. Bagi saya, ia sejarah dunia dan luar biasa. Seorang legenda politik negera kembali mentadbir,” ujarnya memberi sedikit komen tentang kerajaan baharu.

Menurut Pakar Sosial dan Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran, masyarakat perlu berhati-hati meletak label atau konotasi negatif terhadap sikap ‘lalang’ selebriti kerana ia barangkali hanya dilihat secara luaran atau individu, bukan holistik.

Taat setia

“Saya ambil contoh penjawat awam. Mereka perlu taat setia kepada tampuk pemerintahan atau kerajaan pada ketika itu. Jadi, begitu juga selebriti dan seharusnya ia tidak menjadi satu isu kerana kita perlu ikut realiti kehidupan serta akur dengan kerajaan baharu.

“Justeru, jangan mudah melabel, sebaliknya lihatlah ia dalam keseluruhan senario. Ini bukan soal individu tetapi lebih kepada negara serta mahu melihat Malaysia baharu yang lebih cemerlang. Sesiapa sahaja berhak menyokong dalam demokrasi tidak kira sama ada selebriti atau golongan petani,” ujarnya yang juga menyifatkan negara mampu mencapai kecemerlangan bukan hanya atas dasar gerakan ahli politik atau pemimpin, sebaliknya juga kerana kerjasama dan bulat suara rakyat.

Khalayak juga barangkali lupa. Selebriti atau artis adalah peniaga. Selebriti berdagang bakat dan apabila kerajaan lama atau pembangkang membayar khidmat, mereka akan keluar bekerja. Semudah itu sifirnya, jadi jangan pantas semberono jika seseorang selebriti dilihat tampil menyanyi atau berada dalam sebuah majlis milik mana-mana parti politik, itu bukan bermaksud parti tersebut memiliki ‘hati’ mereka.

Malah, dasar keterbukaan menyokong atau mengkritik seseorang politikus itu merupakan satu hal yang biasa di Hollywood. Banyak bintang sama ada duduk dalam kelompok kelas A atau tidak, lantang bercakap tentang politik. Bintang terkenal seperti Morgan Freeman, John Legend atau Oprah Winfrey juga secara terang-terangan mengkritik, mencemuh atau menunjukkan cara protes terhadap Presiden Amerika Syarikat (AS) dan cara pentadbiran, Donald Trump. Tidak hanya bercakap kepada media, kebanyakannya dengan berani mengaitkan tag nama Trump dalam kebanyakan muat naik status termasuk dalam laman Twitter.

Aktres terkenal Jennifer Lawrence, misalnya, mengambil pendekatan songsang. Merupakan mantan penyokong Hillary Clinton yang tewas bertanding jawatan presiden AS pada tahun 2016, dia bagaimanapun mengaku kecewa di atas tindakan wanita itu mengkritik pengikut Trump.

“Adalah hal yang menjijikkan apabila melihat dia menyerang penyokong Trump. Walaupun dikritik, mereka tetap akan mengundi dan menyokong Trump,” katanya.

Bagaimanapun, sebagai seorang selebriti Lawrence mengaku tidak mahu kehilangan peminat hanya kerana sibuk dan lantang bersuara tentang politik.

“Bukan hal yang baik untuk menunjukkan kepada peminat siapa yang kita sokong dan apa pegangan politik kerana saya mahu mereka keluar menonton karya saya. Saya tidak mahu peminat ‘terpecah’ kerana fahaman politik yang tidak sama,” ujar bintang yang juga pernah mengeluarkan kenyataan dunia akan berakhir sekiranya Trump memerintah AS pada tahun 2015.