Banyak pihak menjangka Parlimen bakal dibubarkan sama ada sebelum sidang Dewan Rakyat ini berakhir pada 5 April depan atau selepas itu sekali gus memberikan laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Selagi Parlimen tidak dibubarkan, ahli-ahli politik serta rakyat menanti dengan penuh debaran.

Jika ahli parlimen mempunyai isu yang perlu dibangkitkan, inilah peluang terakhir untuk mereka kemukakan kepada Dewan Rakyat.

Mungkin ada antara mereka tidak lagi dicalonkan pada PRU-14 dan jika dicalonkan semula nasib mereka bakal ditentukan oleh sejauh mana kekuatan jentera parti serta penerimaan pengundi. Maka sudah tentu sidang Dewan Rakyat kali ini merupakan masa terbaik untuk mereka menampilkan perbahasan yang berkualiti. Tiada lagi ruang untuk wakil rakyat ponteng melainkan kerana keuzuran yang tidak dapat dielakkan.

Lebih 14.9 juta pengundi berdaftar bakal menilai prestasi wakil rakyat masing-masing di Dewan Rakyat dan khidmat mereka di lapangan.

Dalam pada itu, usul persempadanan semula kawasan pilihan raya dikatakan bakal menjadi topik utama.

Namun timbul persoalan adakah usul tersebut masih sempat dibawa pada sidang Dewan Rakyat kali ini?

Suruhanjaya Pilihan Raya sudah melengkapkan laporan berkenaan dan dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam sebelum pihak kerajaan membawanya ke Parlimen.

Meskipun usul itu tidak melibatkan pertambahan kawasan Parlimen yang pada masa ini berjumlah 222 kerusi dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri, kedua-duanya penting demi memastikan wakil rakyat yang bakal dipilih mampu berkhidmat dengan lebih berkesan.

Begitu juga dengan Rang Undang-Undang berkaitan berita palsu seharusnya diterima baik oleh semua ahli parlimen memandangkan ia mampu memastikan perjalanan kempen pilihan raya umum kali ini berlangsung dengan baik.

PRU-14 bakal ditentukan oleh perang siber. Kedua-dua pihak parti kerajaan dan pembangkang terdedah kepada sabotaj melalui ruang maya.

Sebarang berita palsu boleh menjejaskan keselamatan negara jika ia melibatkan isu-isu sensitif. Soal keselamatan adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromi.