Ia bukan sahaja melibatkan pengamal media malah menarik perhatian pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang melihat tindakan Guan Eng itu boleh menjuruskan kepada usaha pengabaian terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan untuk kegunaan rasmi kerajaan.

Setelah menerima kritikan, Guan Eng telah memberikan jaminan bahawa Kementerian Kewangan sentiasa mengutamakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
Beliau menjelaskan, dakwaan bahawa bahasa Mandarin telah menggantikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di kementeriannya adalah tidak benar. 
Beliau menyatakan, kenyataan rasmi dalam bahasa Melayu hanya akan diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris untuk kegunaan media antarabangsa dan sekali-sekala diterjemah ke dalam bahasa Mandarin jika ada keperluan terutama apabila melibatkan terma-terma teknikal.

Susulan isu berkenaan, semalam lebih 50 anggota NGO Melayu diketuai Penasihat Majlis Perundingan Melayu (MPM), Tun Hanif Omar menyerahkan Memorandum Mendaulatkan Bahasa Melayu Dalam Pentadbiran Kerajaan Malaysia kepada Guan Eng di Kementerian Kewangan, Putrajaya.

Setiausaha Bahagian Strategi Korporat dan Komunikasi Kementerian Kewangan, Suhaili Ahmad menerima memorandum tersebut.

Terdahulu kumpulan NGO tersebut berhimpun secara aman bagi menyatakan bantahan mengenai tindakan Guan Eng tersebut di pekarangan Masjid Putra, Putrajaya selepas solat Jumaat dan ia turut disertai beberapa tokoh ternama antaranya bekas Pengerusi MAS, Tan Sri Abd. Aziz Abd. Rahman dan bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Dr. Awang Sariyan.

Memohon maaf

Hanif yang merupakan bekas Ketua Polis Negara dalam ucapannya menuntut Guan Eng supaya memohon maaf atas tindakannya menggunakan bahasa selain bahasa kebangsaan dalam kenyataan rasmi Kementerian Kewangan.

Beliau berkata, permohonan maaf itu perlu kerana Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga mengakui perbuatan tersebut sebagai satu kesilapan yang perlu dielakkan.

Hanif berkata, sebagai menteri, Guan Eng perlu menjadi contoh kepada kaum bukan Melayu lain dalam memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan yang diakui telah menyatupadukan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

“Kalau menteri langgar, itu harus ditentang, dia telah mengangkat sumpah untuk mempertahankan perlembagaan negara. Kita kena bantah supaya dia sedar dan kembali ke pangkal jalan,” katanya pada perhimpunan tersebut.

Beliau berkata, pihaknya mahu bahasa Melayu digunakan dalam semua urusan rasmi pentadbiran kerajaan sama ada dalam bentuk penulisan mahupun pengucapan.

Kumpulan NGO tersebut mendesak supaya semua dokumen yang telah ditulis dalam bahasa Mandarin atau lain-lain bahasa sebagai dokumen rasmi kerajaan ditarik balik.

Memorandum empat muka surat yang ditandatangani oleh Hanif bersama Ketua Dua Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Amiruddin Md. Ali Hanafiah dan Setiausaha MPM, Datuk Dr. Hassan Mad itu antara lain mendesak agar Guan Eng menggunakan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi pentadbiran kerajaan.

Memorandum itu menuntut Kementerian Kewangan menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan menjadi contoh kepimpinan yang mengutamakan bahasa Melayu.

Pendirian yang dikemukakan oleh kumpulan NGO tersebut adalah berasaskan kepada pertimbangan tentang kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan natijahnya terhadap kreativiti kesusasteraan, daya cipta kebudayaan dan perantaraan pendidikan, penggunaan umum serta pelaksanaanya dalam kehidupan warganegara ini.

Ikrar

Dalam memorandum tersebut, NGO berkenaan mahu kerajaan memenuhi ikrar dan tangggungjawab selepas menerima perlantikan daripada Yang di-Pertuan Agong untuk memastikan pelaksanaan mutlak semua peruntukan perundangan terhadap kedudukan dan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Bahasa kebangsaan perlu dimartabatkan dalam pentadbiran negara, perundangan, urusan ekonomi, sains dan teknologi serta penciptaan ilmu.

Ia juga melibatkan pergaulan dalam kalangan seluruh warganegara di segenap lapisan dan tahap kelompok sosiobudaya demi mencapai perpaduan menyeluruh dan kemajuan sama rata.

Dalam pada itu, memorandum tersebut mengingatkan bahawa Akta Pendidikan 1966 adalah tahap perkembangan terakhir bagi sistem pendidikan kebangsaan di negara ini.

Selama 61 tahun sistem itu berjaya membangun sebuah bangsa Malaysia berlandaskan bahasa kebangsaan, kandungan kurikulum kebangsaan dan pembinaan ilmu dalam teks kebangsaan serta perpaduan kebangsaan.

“Gagasan lain yang diperkenalkan dalam pendidikan membawa natijah yang parah dan kegagalan terutamanya dalam kalangan pelajar bumiputera serta luar bandar,” kata memorandum tersebut.

Sementara itu, kumpulan NGO tersebut menyatakan bahasa-bahasa ibunda patut digalakkan untuk membina sahsiah awal dalam kalangan kanak-kanak dan memperkayakan pengalaman para pelajar serta warganegara dalam sistem kebudayaan yang amat beragam.

Penegasan yang ditunjukkan oleh kumpulan NGO tersebut memberikan satu isyarat jelas, bukan sahaja kepada Guan Eng malah keseluruhan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan agar mempertahankan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.