Usaha berterusan sejak berpuluh tahun lalu itu diterjemahkan melalui peti-peti undi di seluruh negara yang menyaksikan lebih 50 peratus daripada 14.9 juta pemilih berdaftar berusia antara 21 hingga 50 tahun membuat keputusan untuk menukar kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah memerintah selama 61 tahun sejak 1957.

Segala jerih payah dan perancangan untuk memajukan negara yang dilakukan UMNO dan sekutunya kini telah berpindah tangan kepada satu gabungan parti politik yang dahulunya membangkang dasar-dasar kerajaan.

Kini, segalanya telah berubah. Ia ibarat gelombang tsunami yang membadai bumi Malaysia bermula dari Johor hinggalah ke Sabah. BN hanya membentuk kerajaan di Pahang, Perlis, Perak, Sabah dan Sarawak
manakala Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Pulau Pinang dikuasai PH.

Pas pula kekal berkuasa di Kelantan dan membentuk kerajaan baharu di Terengganu.

Mimpi
Bagaikan mimpi apabila BN yang diketuai Datuk Seri Najib Tun Razak bakal memimpin blok pembangkang di Malaysia yang sebelum ini dipacu untuk menuju ke status negara maju. Itulah hakikat pahit yang perlu ditelan.

Segala macam janji pilihan raya seperti penambahan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), peruntukan berbilion ringgit untuk pembangunan di beberapa tempat seperti Bagan Datuk dan Langkawi, tawaran lima hari tol percuma sempena hari raya, kenaikan berganda gaji penjawat awam, cuti dua hari awal Ramadan dan lain-lain nampaknya tidak berjaya memancing undi.

PH yang dibarisi ahli politik daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Rakyat (Amanah) kini menggalas mandat yang diberikan rakyat untuk membawa Malaysia ke arah yang lebih baik.

Keputusan rakyat Malaysia yang terdiri daripada 14,940,624 pemilih berdaftar menaikkan PH dan menumbangkan BN sebenarnya didorong oleh banyak faktor yang telah dipendam lama.

Meningkatnya cukai barang dan perkhidmatan (GST), harga petrol yang tidak menentu, isu-isu nasional seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB), skandal wang derma RM2.6 bilion dan kapal mewah Equanimity milik Jho Low menjadi antara sebab rakyat bertindak menukar kerajaan.

Ironinya, PH sebelum penyertaan Tun Dr. Mahathir Mohamad serta Tan Sri Muhyiddin Yassin selain didokong oleh tiga veteran UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz, Tun Daim Zainuddin dan Datuk Seri Rais Yatim sentiasa gagal untuk menumbangkan BN meskipun membawa pelbagai isu sepanjang kempen pilihan raya.

Kubu
PH hanya dapat menawan Pulau Pinang dan Selangor sejak PRU-12 dan langsung tiada peluang untuk merobek kubu kuat BN terutamanya di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Pahang, Kedah, Perlis, Sarawak dan Sabah.

Namun segalanya berubah apabila Mahathir menyertai PH pada 2016 sekali gus menguatkan lagi jentera pembangkang bagi membawa gelombang perubahan menyingkirkan BN.

Ironinya, walaupun Mahathir pernah menjadi Pengerusi BN selama 22 tahun sepanjang menjawat jawatan Perdana Menteri keempat, beliau dengan yakin telah bekerjasama dengan PH untuk menumbangkan pula parti yang telah mengangkatnya sebagai negarawan sepanjang berkecimpung dalam arena politik.

Perjalanan karier politik Mahathir bermula pada tahun 1945 selepas tamatnya pendudukan Jepun di Tanah Melayu apabila beliau mengambil bahagian dalam kempen menentang Malayan Union.

Apabila UMNO ditubuhkan pada 1946 untuk mendesak kerajaan British menghapuskan Malayan Union, beliau adalah antara orang Melayu yang pertama mendaftar sebagai ahli UMNO.

Pembabitan Mahathir secara langsung dalam politik adalah dalam Pilihan Raya Umum 1964 selepas bertanding dan memenangi kerusi Parlimen Kota Setar.

Pada tahun 1965, Mahathir dipilih menjadi ahli Majlis Tertinggi UMNO manakala pada Pilihan Raya 1969, beliau bertanding untuk pemilihan semula, tetapi ditewaskan oleh wakil Pas.

Mahathir pernah dipecat keahliannya daripada UMNO oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman kerana mengkritik pendekatan ekonomi ketika itu yang didakwa mengetepikan orang Melayu daripada menikmati hasil pembangunan negara disebabkan oleh dominasi kaum Cina.

Menyertai semula
Pada tahun 1972, permohonan Mahathir untuk menyertai semula UMNO telah diterima. Beliau dilantik sebagai senator pada tahun 1973 di bawah pentadbiran Tun Abdul Razak Hussein.

Dalam Pilihan Raya Umum 1974, Mahathir memenangi kerusi Parlimen Kubang Pasu tanpa bertanding sebelum dilantik sebagai Menteri Pendidikan.

Pada tahun 1976, Mahathir dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan dua tahun kemudian, beliau mengambil alih jawatan Menteri Perdagangan dan Industri. Beliau memimpin beberapa misi mempromosi pelaburan.

Pada tahun 1981, setelah Tun Hussein Onn meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ketiga atas sebab kesihatan, Mahathir menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri keempat Malaysia.

Setelah mengetuai BN untuk mencapai kejayaan dalam pilihan raya tahun 1981, 1986, 1990, 1995 dan 1999, beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 31 Oktober 2003.

Pada tahun 2016, Mahathir keluar daripada UMNO sebagai protes terhadap kepimpinan Perdana Menteri Malaysia keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Selain mengkritik isu 1MDB dan dana RM2.6 bilion yang didakwa masuk ke akaun bank Najib, Mahathir turut tidak berpuas hati di atas kekalahan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bagi jawatan Naib Presiden UMNO pada 21 Oktober 2013.

Beliau kemudian menubuhkan parti politik baharu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada September 2016 sebelum menyertai PH.

Mengulas mengenai senario politik Malaysia pasca PRU-14, Ketua Satu Gabungan Persa­tuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Datuk Zainal Abidin Borhan memberikan empat sebab mengapa PH berjaya membentuk kerajaan Persekutuan kali ini.

“Pertama, ia disebabkan kemunculan semula Tun Mahathir yang memberikan segala kekuatan dan kepercayaan rakyat untuk mengubah landskap politik Malaysia. PH berjaya mempertemukan Tun Mahathir dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan pengasas PKR untuk saling bermaafan.

“Kekuatan itu digabungkan pula dengan pemimpin PKR, Datuk Seri Azmin Ali, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng (DAP) selain pemimpin Amanah, Mat Sabu dan Parti Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal,” katanya ketika dihubungi Jurnal semalam.

Tambahnya, gabungan itu telah berjaya mempengaruhi rakyat sehingga membuatkan mereka terpukau dengan kekuatan baharu tersebut walaupun semua tahu bahawa Mahathir dan Anwar bermusuh pada satu ketika dahulu.

Menurut Zainal Abidin, faktor kedua ialah gabungan penyatuan Mahathir dan PH sejak 2016 telah mula memainkan isu-isu sensasi seperti 1MDB, GST, kejatuhan ekonomi dan ringgit, integriti, negara bankrap dan lain-lain. Skrip jalan cerita tersebut, katanya, telah diolah dengan baik sehinggakan rakyat percaya hanya dengan menukar kerajaan akan menyelamatkan Malaysia.

“Ketiga, lebih 50 peratus daripada 14.9 juta pemilih berdaftar berusia antara 21 hingga 50 tahun telah memainkan peranan utama dalam mewujudkan tsunami rakyat ini. Sosiologi ciptaan semula ini diperkukuhkan melalui pelbagai medium sehingga ke saat akhir PRU-14.

“Yang terakhir saya melihat BN tidak mempunyai jentera yang kuat untuk melawan arus yang dicipta itu kerana silap strategi. Mereka barangkali tidak menyangka atau perasan terdapat satu tenaga penolakan yang dahsyat sedang melanda negara,” katanya.

Ujar Zainal Abidin, apa yang terjadi kepada BN itu sama dengan kata-kata Saidina Ali iaitu, “Kita mungkin kuat tetapi kalah dari segi strategi.”

Katanya, BN menggunakan jentera kerajaan seperti media dan kuasa namun PH mencipta jentera rakyat yang lebih kuat untuk berlawan ditambah pula dengan campur tangan media asing untuk meruntuhkan BN.

“Bagaimanapun, Alhamdulillah peralihan kuasa telah berjalan dengan lancar tanpa sebarang keganasan yang berlaku seperti di beberapa negara lain seperti Mesir dan Indonesia. Ketika ini, semua pihak perlu berlapang dada dan menerima ujian Allah ini untuk mereka,” katanya.

Matang
Menurut Zainal Abidin, apa yang diharapkan kali ini ialah tiada lagi maki hamun dan pertengkaran yang akan berlaku di Parlimen dan semua pihak perlu berhujah dengan bijak dan tidak perlu terjerit-jerit.

“Apabila pemimpin matang, secara automatik penyokong juga akan matang dalam berpolitik,” katanya.

Sementara itu, ahli akademik, Prof. Datuk Seri Dr. Syed Arabi Idid berkata, BN diyakini mampu menjadi pembangkang yang efektif berdasarkan pengetahuan dalam corak pentadbiran sebelum ini.

“Rakyat kini lebih matang dalam berpolitik dan dunia akan menyaksikan perubahan senario politik di Malaysia apabila negeri dan Persekutuan kini diperintah oleh tiga gabungan parti politik iaitu PH, BN dan Gagasan Sejahtera (Pas),” katanya.

Bagaimanapun, menurut Syed Arabi, masih terlalu awal untuk menilai prestasi PH dalam mentadbir negara kerana mereka baru sahaja memegang tampuk pemerintahan dan ia dapat dilihat berdasarkan kepada pembentukan Kabinet dan kementerian yang bakal ditubuhkan.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin dalam satu kenyataan berkata, BN perlu membuat pembaharuan dengan lebih berkesan untuk menjadi pembangkang yang berbisa.

“Bagi merealisasikan hasrat itu, BN perlu kepada perubahan kepimpinan dan pendekatan dan tidak akan berjaya selagi kepimpinan dan cara mengurus yang ada pada hari ini.

“Pemuda Kedah yang konsisten mempertahankan Presiden selama ini memohon agar beliau segera mengatur proses peralihan kuasa demi menyelamatkan BN kerana beliau telah gagal mentadbir dan
mempertahankan kuasa yang telah dipegang selama 61 tahun demi kelangsungan parti,” katanya.