Ketika itu mereka merupakan pelajar kejuruteraan di Massachusetts Institute of Technology (MIT), Amerika Syarikat. Akhirnya, pada 3 Mei tahun ini, selepas bergelar graduan MIT, Farid dan rakan-rakannya menguburkan kekecewaan tersebut dengan melancarkan restoran mereka sendiri dikenali sebagai Spyce di Boston.

Menawarkan makanan dalam mangkuk dengan menu Latin, Mediterranean dan Asia setiap satunya dijual pada harga permulaan serendah AS$7.90 serta disediakan dalam masa tiga minit atau kurang, ia sebaliknya bukan dimasak oleh manusia tetapi robot!

Selamat datang ke restoran masa depan yang mana manusia tidak lagi diperlukan untuk menjadi cef.

Mengaplikasikan kepakaran mereka dalam kejuruteraan, empat graduan MIT itu telah mencipta teknologi dapur robotik untuk Spyce melakar sejarah sebagai restoran pertama di dunia menggunakan inovatif moden dan canggih tersebut.

“Setiap kali pesanan makanan dibuat, sistem penyampaian bahan akan mengumpulnya dari peti sejuk. Bahan-bahan tersebut dimasukkan ke dalam saiz yang betul dan kemudian dihantar ke kuali robotik atau wok untuk dimasak.

“Apabila prosesnya selesai, wok menuang dan meletakkan makanan ke dalam mangkuk dan ia tersedia untuk dihidangkan,” jelas Farid.

Restoran tanpa jiwa

Dapur robotik Spyce mempunyai tujuh buah wok yang berkebolehan membersihkan dirinya sendiri setiap kali pesanan baharu diterima.

Namun begitu, bagi memastikan Spyce tidak menjadi sebuah restoran tanpa jiwa, ia turut melantik empat petugas daripada kalangan manusia bagi melayan pengunjung yang datang tetapi mereka langsung tidak terlibat dalam tugasan memasak.

“Kami turut melantik pekerja daripada kalangan manusia khususnya bagi menyambut kedatangan pengunjung di Spyce. Kami memastikan Spyce bukan sebuah restoran yang seratus peratus dikendalikan robot tetapi ia diimbangi sentuhan manusia,” ujar Knight pula.

“Biarpun kami menjangka orang ramai mengunjungi Spyce kerana tarikan dapur robotik rekaan kami, namun apa yang paling penting ialah kami mahu menyediakan juadah yang lazat serta menepati cita rasa semua tetapi masih boleh dijual pada harga rendah,” ujar Knight pula.

Sehubungan itu, bagi memastikan mutu kelazatan makanan yang dijual terjamin, Spyce turut melantik cef terkemuka, Daniel Boulud sebagai penasihat dan cef Sam Benson untuk jawatan cef eksekutif.

“Cef Daniel Boulud dan cef Sam Benson memastikan setiap resipi menu yang dijual di restoran ini terjamin mutu dan kelazatannya yang akan ditingkatkan dari masa ke masa,” tambahnya.