Cukai dilaksanakan untuk memenuhi perbelanjaan bagi keperluan kerajaan, rakyat dan negara.

Pada masa ini, struktur percukaian negara menetapkan golongan yang dikenakan cukai terdiri daripada perbadanan dan perseorangan, individu, pengeksport dan pengimport, pengilang dan penjudi.

Hasil Kerajaan Persekutuan antara lain turut disumbangkan oleh hasil cukai langsung, seperti Cukai Korporat, Pendapatan Individu serta Keuntungan dan Duti Setem, yang ditadbir dan dipungut oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Sementara cukai tidak langsung yang di bawah bidang kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia merangkumi Duti Kastam dan Eksais, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta Levi Keuntungan Luar Biasa.

SST bukan merupakan sistem percukaian baharu di Malaysia, malah dilaksanakan sejak tahun 1970-an sebelum digantikan dengan GST yang berkuat kuasa pada 1 April 2015 bagi menangani kelemahan yang wujud dalam sistem sebelumnya.

Ia termasuk kesan cukai bertindih atau berganda, pemindahan harga dan nilai, tidak menggalakkan integrasi menegak, kerenah birokrasi dan isu-isu klasifikasi. Namun demikian, rejim percukaian negara sekali lagi akan mengalami perubahan dengan pemansuhan GST kepada SST, berkuat kuasa 1 September ini.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia, Dr. Mohd. Yusof Saari menegaskan, ekoran pengumuman mengenai pelaksanaan semula SST, terdapat kekeliruan dan salah tafsir mengenai GST yang memerlukan penjelasan.

“Secara teknikal, cukai GST adalah lebih murah berbanding SST kerana ia dikenakan ke atas nilai tambah atau bahasa mudahnya, margin keuntungan setiap rantaian bekalan.

“Walaupun ia dikenakan pada setiap rantaian bekalan, ia lebih kecil kerana dikenakan pada penjanaan nilai ditambah, sementara SST pula adalah cukai yang dikenakan ke atas harga jualan barangan akhir barangan,” ujarnya.

Beliau menambah, apabila kos pengeluaran lebih rendah, harga barangan cenderung untuk turun.

“Secara praktikalnya, penurunan harga tidak berlaku selepas tiga tahun pelaksanaan GST,” ujarnya.

Mohd. Yusof menjelaskan, kajian menunjukkan terdapat empat faktor mengapa harga terus meningkat selepas pelaksanaan GST.

“Pertama, kadar kepatuhan firma kepada sistem GST masih rendah, malah tidak sampai 50 peratus daripada perniagaan yang mendaftar di bawah sistem berkenaan sedangkan andaian yang digunakan bila GST dilaksanakan adalah kepatuhan 100 peratus.

“Kedua, penguatkuasaan yang lemah daripada pihak berwajib menyebabkan manipulasi harga di pasaran dan ketiga, pemahaman terhadap GST yang masih rendah oleh firma, pengguna dan pihak berwajib,” katanya.

Faktor keempat, beliau berkata, faktor tekanan harga bukan GST seperti kadar mata wang ringgit yang lemah menyebabkan import barangan menjadi mahal, upah minimum yang meningkatkan kos buruh dan struktur pasaran yang bersifat monopoli.

“Faktor pertama hingga ketiga tidak lagi relevan apabila GST dihapuskan tetapi faktor keempat masih relevan.

“Impak ke atas harga akibat penghapusan GST mungkin tidak terkesan ataupun hanya minimum kerana pengeluar masih terbeban oleh peningkatan kos pengeluaran akibat kos import bahan mentah dan buruh.

“Malah, rakyat dapat melihat walaupun tiada sebarang cukai dikenakan, sama ada GST mahupun SST, pada masa ini, harga barangan di pasaran tidak menunjukkan trend yang menurun,” katanya.

Oleh itu, Mohd. Yusof menekankan bahawa menganggap GST sebagai punca kenaikan harga adalah tidak tepat.