PH yang bertanding menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) berjaya memperoleh majoriti mudah apabila memenangi 113 kerusi Parlimen termasuk DAP di Sabah dan Sarawak selain kerjasama dengan Parti Warisan Sabah (lapan kerusi). Kempen PRU-14 yang bermula pada 28 April lalu menyaksikan pelbagai warni-warni yang melambangkan demokrasi subur di Malaysia. Pertandingan sengit berlaku apabila rata-rata kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara BN, PKR dan Pas selain calon Bebas. Seramai 12.9 juta pengundi atau 82 peratus daripada 14.9 juta pemilih berdaftar telah keluar mengundi. Secara keseluruhannya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berjaya melaksanakan proses PRU-14 yang melibatkan kempen selama 11 hari dengan lancar dan aman.