Ditubuhkan di bawah Akta PTPTN 1997 (Akta 566) yang berkuat kuasa pada 1 Julai 1997 dan peranan agensi tersebut merangkumi pengurusan pinjaman bagi tujuan pendidikan dan mengutipnya semula selain menyediakan skim simpanan dan menguruskan deposit untuk tujuan pendidikan tinggi.


Sejak memulakan operasinya pada 1 November 1997 di Kuala Lumpur, lebih 2.8 juta rakyat Malaysia telah menerima manfaat PTPTN. Di sebalik tujuan murni pembentukannya, PTPTN juga berdepan dengan masalah kegagalan sebilangan peminjam untuk melunaskan pinjaman. Dilaporkan, jumlah hutang PTPTN sehingga Mac lalu mencecah RM52.84 bilion.


Pelbagai langkah telah diambil oleh PTPTN untuk mengutip semula pinjaman termasuk menyenarai nama peminjam yang gagal membayar di bawah Sistem Maklumat Kredit Pusat (CCRIS) dan disenarai hitam untuk perjalanan di bawah Jabatan Imigresen Malaysia.


Berdasarkan rekod imigresen, terdapat 433,709 individu yang gagal membayar pinjaman PTPTN telah disenarai hitam dari tahun 2000 hingga Mei lalu. Dalam pada itu mengikut laporan akhbar tempatan hutang PTPTN yang direkodkan pada tahun 2016 sebanyak RM3.43 bilion sebelum meningkat kepada RM3.98 bilion pada tahun 2017.


Dalam masa sama, dilaporkan badan itu mengalami penyusutan dalam kutipan PTPTN bermula tahun ini. Dikatakan pada tahun 2017, purata kutipan pinjaman badan itu melebihi RM300 juta sebulan tetapi bermula Januari 2018, kutipan bulanan pinjaman badan tersebut turun kepada RM200.45 juta pada bulan Mei.


Difahamkan, antara faktor yang mempengaruhi penurunan kutipan hutan adalah sikap tunggu dan lihat peminjam terhadap janji kerajaan Pakatan Harapan dalam manifestonya untuk membenarkan penangguhan pembayaran semula oleh graduan yang berpendapatan bulanan kurang daripada RM4,000 dan ke bawah.


Di bawah kerajaan baharu, peminjam kini diberi tempoh penangguhan pembayaran semula pinjaman pendidikan itu selama setahun setelah tamat pengajian berbanding enam bulan sebelum ini. 


Terbaharu,  429,945 peminjam PTPTN telah dikeluarkan daripada senarai hitam Jabatan Imigresen Malaysia.


Bagi Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia, Dr. Mohd. Yusof Saari, peminjam seharusnya menerapkan sikap tanggungjawab untuk melangsaikan hutang mereka sungguhpun kelonggaran telah diberikan kerajaan.


“Dalam konteks semasa, Tabung Harapan Malaysia ditubuhkan bagi membolehkan orang ramai memulihkan hutang negara, maka adalah wajar peminjam juga melihat contoh itu dan melunaskan pinjaman pendidikan mereka.


“Sungguhpun demikian, PTPTN juga perlu fleksible dan mencari mekanisme yang sesuai bagi menggalakkan dan merangsang peminjam untuk terus membayar pinjaman itu,” kata beliau ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.


Menurut beliau, kos sara hidup yang semakin meningkat dan pergerakan gaji yang perlahan serta pengangguran belia merupakan antara faktor yang menyebabkan segelintir peminjam liat untuk membayar.


“Antara cara yang boleh diambil adalah menghapuskan kadar faedah yang dikenakan dan membolehkan peminjam membayar hutang mereka pada angka pokok serta menyediakan amaun pembayaran pada kadar yang bersesuaian dengan kemampuan peminjam.


“Fleksibiliti dalam jumlah amaun pembayaran semula itu dilihat mengambil kira taraf kehidupan semasa graduan agar tidak membebankan mereka, khasnya bagi golongan yang gajinya masih rendah,” jelasnya.


Mohd. Yusof menambah, paling penting pada masa ini kerajaan dan badan tersebut harus mencari satu kaedah yang benar-benar menarik  peminjam membayar semula pinjaman pendidikan tersebut.


“Salah satu alternatif menggunakan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tapi kaedah pembayaran harus dibuat secara bulanan dan bukan bagi pembayaran penuh pinjaman PTPTN.


“Ini kerana fungsi KWSP yang lebih besar ialah menyediakan sumber kewangan bagi menampung kehidupan ketika persaraan, selain tujuan lain termasuk pengeluaran bagi tujuan kesihatan,” ujarnya.


Menurut statistik KWSP, pengeluaran bagi menyelesaikan baki pinjaman PTPTN untuk tempoh Januari hingga Mac 2018 melibatkan 40,670 permohonan yang diluluskan dengan amaun sebanyak RM214.99 juta.