Di laman sosial, dengan jumlah pengikut satu juta di Instagram dan lebih 500,000 di Twitter, beliau dianggap calon paling poular untuk menyandang jawatan tersebut selain Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil yang merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Tuah ternyata menyebelahi Syed Saddiq yang dianggap lebih menjuarai suara kumpulan anak muda dalam era Malaysia baharu.

Pelantikan Syed Saddiq yang berusia 25 tahun sebagai Menteri Belia dan Sukan mencipta sejarah tersendiri apabila beliau menjadi menteri penuh termuda di Malaysia, sekali gus memadam rekod pemimpin paling muda dalam Kabinet yang disandang bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebagai rekod, Najib berusia 25 tahun ketika dilantik sebagai Timbalan Menteri Tenaga, Telekomunikasi dan Pos pada 1978 sebelum memegang jawatan Menteri Belia dan Sukan semasa berumur 33 tahun.

Persona Syed Saddiq bukan sahaja terletak pada ketampanan wajah dan susuk fizikal tegap yang dimilikinya. Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu turut mencerminkan karisma tinggi dalam kepimpinan menerusi lontaran idea-idea segar dan kepetahannya berpidato.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Syed Saddiq tidak berhadapan masalah untuk memenangi kerusi Parlimen Muar di Johor apabila menang dengan majoriti sebanyak 6,953 undi.

Pada pertandingan di kerusi tersebut, Syed Saddiq memperoleh sebanyak 22,341 undi menewaskan wakil Barisan Nasional, Datuk Seri Razali Ibrahim (15,388 undi) yang jauh lebih berpengalaman dan calon Pas, Abdul Aziz Talib (4,354 undi).

Angin perubahan

Di sebalik agenda pemerkasaan sukan dan belia yang mahu ditawarkan oleh Syed Saddiq, tidak dinafikan timbul keraguan dalam kalangan sesetengah pihak terhadap kemampuannya menggalas tanggungjawab sebagai menteri dan Ahli Parlimen pada usia semuda itu.

Bagai sudah lali, Syed Saddiq berkata, keraguan sama turut timbul sebelum ini ketika beliau mula-mula bergiat dalam bidang perbahasan selain semasa dilantik sebagai ketua pemuda PPBM dan calon kerusi Parlimen Muar pada PRU-14 lepas.

Menurutnya, kematangan seseorang sewajarnya tidak patut diukur berlandaskan faktor usia dan pandangan itu perlu diubah.

Dalam PRU-14 lalu, kita lihat ramai calon muda diketengahkan oleh parti politik masing-masing, malah dalam barisan Kabinet baharu ini, pemimpin seperti Yeo Bee Yin, 35, dan Steven Sim, 36, masing-masing diberi kepercayaan untuk menjadi Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

“Di luar negara seperti Austria misalnya, Sebastian Kurz menjadi Menteri Luar pada usia 26 tahun sebelum dilantik menjadi Canselor pada umur 31 tahun manakala Emmanuel Macron dipilih sebagai Presiden Perancis pada umur 39 tahun.

“Oleh itu, kita perlu memecahkan siling-siling kaca bagi membuktikan bahawa golongan muda juga mampu menggalas tanggungjawab dalam bidang masing-masing ke arah membawa perubahan yang baik kepada negara,” katanya kepada Jurnal baru-baru ini.

Syed Saddiq juga mahu membawa angin perubahan dalam landskap politik negara dengan membawa lebih banyak suara anak muda melalui pergerakan belia yang proaktif dan neutral.

Katanya, pergerakan belia di negara ini sepatutnya bersatu dan bebas daripada pengaruh parti dan individu yang terbabit dalam politik.

“Dalam konteks ini, ia bermakna di sebalik sokongan yang diberikan, mereka tidak patut tunduk kepada mana-mana parti dan ahli politik selain berani menyuarakan kritikan.

“Apabila tiada ketaasuban politik, mereka akan lebih fokus kepada dasar-dasar yang ingin dibawa dan bukan menjadi pak turut semata-mata,” katanya.

Melihat kepercayaan yang diberikan Mahathir kepada Syed Saddiq untuk menerajui Kementerian Belia dan Sukan (KBS), pendebat terbaik tiga tahun berturut-turut Asia itu dilihat memiliki perjalanan politik yang panjang untuk tahun-tahun mendatang.

Bahkan ada yang berpendapat, Syed Saddiq mungkin akan mengikut jejak langkah Mahathir selaku mentornya untuk menyandang jawatan Perdana Menteri suatu hari nanti.

Di atas kertas, pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa itu diakui antara pemimpin pelapis yang berbakat untuk digilap ke peringkat tertinggi lebih-lebih lagi beliau disifatkan masih ‘suci’ atau belum terpalit sebarang isu berkaitan kepimpinan dan moral buat masa ini.

Begitu pun, dalam sepak terajang dunia politik, semuanya terletak di atas bahu Syed Saddiq sendiri untuk membuktikan kredibiliti dan keupayaannya menerajui kepimpinan negara seterusnya memanjat mata tangga untuk menyandang jawatan nombor satu dalam negara suatu hari nanti.

Pakar Geostrategi, Azmi Hassan menyifatkan penilaian penuh sama ada Syed Saddiq mampu menjadi Perdana Menteri adalah bergantung kepada sejauh mana kemampuannya melaksanakan tugas sebagai menteri di KBS.

Mengambil Najib sebagai analogi, Azmi berkata, Syed Saddiq dilihat ada kebarangkalian untuk maju ke hadapan dalam karier politik hingga ke jawatan nombor satu negara manakala dari sudut analogi Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang turut dikatakan memiliki potensi menjadi Perdana Menteri suatu ketika dahulu, ia menunjukkan selok-belok politik sukar diramal.

“Beliau perlu digilap daripada KBS sebelum berpindah ke kementerian yang lebih kritikal, namun semuanya bergantung kepada keupayaan melaksanakan tugas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Program Sains Politik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Muhammad Takiyuddin Ismail berpendapat, kemampuan Syed Saddiq bergantung kepada sejauh mana beliau boleh membuktikan keupayaan dan bertahan dalam permainan politik yang lasak dan penuh licik.

“Syed Saddiq kelihatan penuh dengan idealisme tetapi dalam realiti politik, idealisme adakalanya boleh dihanyutkan oleh realiti politik sebenar.

“Kita telah menyaksikan perkara ini terjadi kepada beberapa pemimpin seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mungkin juga Khairy yang terpaksa ‘mengikut’ atau ‘dihanyutkan’ oleh arus yang lebih besar dalam sesuatu sistem,” katanya.

Suara penyatu

Muhammad Takiyuddin berkata, cabaran pertama Syed Saddiq sebagai menteri adalah membawa agenda baharu untuk golongan belia dan anak muda di negara dengan menjadikan masalah seperti peluang pekerjaan, perumahan dan gejala sosial sebagai perkara utama dalam pertimbangannya.

“Syed Saddiq juga akan berdepan cabaran mengendalikan birokrat, agensi dan persatuan sukan yang dinaungi oleh orang lama dan lebih berpengalaman yang diketahui mempunyai politiking cukup tebal.

“Bahkan, Khairy sendiri pun dilaporkan menghadapi halangan yang bukan sedikit untuk menguruskan cabaran seperti ini. Jadi, selain daripada keperluan untuk banyak belajar, saya melihat beliau perlu banyak berbincang dengan mereka yang lebih berpengalaman sama ada dalam sistem atau di luar sistem KBS,” jelasnya.

Selain itu, Syed Saddiq perlu memikirkan bagaimana beliau harus memainkan peranan sebagai suara penyatu terhadap golongan belia yang berbeza ideologi atau fahaman politik.

Azmi berkata, portfolio KBS dianggap landasan paling efektif untuk menarik perhatian anak muda berlainan idealisme.

“Jika ditinjau kenyataan Syed Saddiq sebelum dilantik banyak menjurus kepada bebas ideologi politik dan tidak mengamalkan politik dendam yang dilihat sangat kritikal untuk penyatuan anak-anak muda berlainan bangsa,” katanya.

Kenyataan itu turut disokong Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Sains Malaysia, Dr. Azmil Tayeb yang menyifatkan Syed Saddiq boleh menunjukkan kepimpinan melalui teladan bagi menyatukan golongan belia berlainan ideologi politik.

“Beliau boleh menganjurkan lebih banyak program sukan dan riadah yang telah dibuktikan boleh menyatukan masyarakat berbilang kaum dan ideologi politik sekali gus meningkatkan semangat patriotisme,” katanya.

Menurutnya, jika Syed Saddiq terus menunjukkan prestasi cemerlang dalam portfolio berkenaan dan membuktikan kemampuan serta pengetahuan dalam pelbagai bidang pemerintahan, beliau berupaya menjadi Perdana Menteri suatu hari nanti.

Agenda belia

“Beliau mempunyai banyak waktu dan yang penting, beliau perlu sentiasa merendahkan diri dan tidak segan belajar daripada individu yang lebih berpengalaman,” ujarnya.

Dari sudut lain, Syed Saddiq juga perlu bekerja keras untuk mencapai dan mengekalkan standard yang diletakkan Khairy sebagai penanda aras terhadap kesinambungan pentadbirannya.

Muhammad Takiyuddin berpendapat, Syed Saddiq boleh menambah baik elemen kepimpinannya antara lain dengan melebihkan isi dan mengurangkan aspek penampilan seperti yang dibuat Khairy Jamaluddin sebelum ini.

“Ini merupakan antara kritikan yang kedengaran terhadap Khairy kerana ada ketika beliau dilihat lebih menonjolkan personaliti.

“Saya kira walaupun Khairy mungkin merupakan antara menteri KBS popular, Syed Saddiq boleh mencari jalan dan identiti sendiri untuk keluar daripada reputasi beliau. Bahkan, kedua-dua pemimpin ini boleh menggunakan back channel untuk bekerjasama demi kepentingan belia dan sukan di negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Belia Islam Nasional, Muhammad Azam Asri berkata, beliau yakin Syed Saddiq berkebolehan memimpin KBS dengan baik berdasarkan rekod cemerlang ahli politik itu.

Bahkan cadangan awal Syed Saddiq untuk merombak kepimpinan majlis dan pertubuhan belia di negara ini dengan meletakkan syarat umur maksimum 35 tahun adalah usaha baik yang mencerminkan agendanya untuk memperkasakan anak muda.

“Ia akan memberi peluang kepada generasi muda yang benar-benar menjiwai permasalahan golongan belia untuk membina kepimpinan dan kredibiliti diri dari awal,” katanya.

Tambahnya, sebagai menteri, Syed Saddiq boleh memainkan peranan untuk menyeru generasi muda agar bersifat patriotik dengan cara menghormati perlembagaan dan rukun negara.