Perkara tersebut secara tidak langsung menepis dakwaan segelintir pihak selama ini bahawa suruhanjaya tersebut mengambil sikap pilih kasih dalam mengambil tindakan.

Malangnya, persoalan dakwaan rasuah menjadi senjata golongan ahli politik untuk menjatuhkan lawan berbanding SPRM yang perlu membuat penelitian tentang sesuatu kes di luar kerangka kepentingan politik di samping hanya bertindak dalam lingkungan bidang kuasa perundangan yang dimilikinya.

Ahli politik boleh membentuk persepsi negatif terhadap lawannya sehingga menjadi pendapat umum. Namun SPRM tidak boleh bertindak atas persepsi semata-mata sebaliknya berdasarkan fakta kes siasatan.

Mungkin kerajaan negeri seperti Pulau Pinang yang diterajui pakatan pembangkang rasa tertekan dengan siasatan berkaitan projek terowong dasar laut manakala di Selangor melibatkan siasatan penjualan tanah di Ijok.

Namun pemimpin parti pembangkang perlu juga mengimbas kembali bagaimana kerajaan negeri Johor diterajui BN turut menghadapi situasi sama apabila salah seorang Exconya menghadapi pendakwaan atas tuduhan rasuah.

Tekanan tidak sewajarnya diletakkan pada bahu SPRM untuk segera membuat sesuatu tangkapan atau pendakwaan. Kerana dalam kes terowong dasar laut Pulau Pinang, Seng Kuan berkata, maklumat yang banyak disiar dalam media bukan merupakan dokumen siasatan SPRM.

“SPRM menjalankan siasatan terhadap mana-mana individu atas sebarang kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 dengan bebas, telus dan profesional serta sentiasa memelihara kerahsiaan sesuatu maklumat atau siasatan sesuatu kes,” kata menteri yang menjaga portfolio tadbir urus dan integriti itu.

Dalam hal ini, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki dipetik sebagai berkata, sebenarnya tidak semua ahli politik yang disiasat akan menghadapi pendakwaan di bawah Akta SPRM.

Beliau menyatakan antara tahun 2010 hingga Mac tahun ini, SPRM merekodkan sebanyak 1,242 kertas siasatan dibuka dengan sejumlah 537 tangkapan manakala hanya 317 individu berjaya didakwa di mahkamah.

Terbaharu, SPRM mahu menubuhkan pasukan petugas khas yang turut dianggotai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia bagi memantau salah guna kuasa dan rasuah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Cabaran buat SPRM ialah bagaimana untuk membuktikan pemberian wang dikaitkan dengan perbuatan rasuah semasa kempen pilihan raya termasuklah membabitkan kegiatan membeli undi.

Pasukan petugas khas tersebut hanya bertindak memantau kesalahan yang dikuatkuasakan di bawah Akta Suruhanjaya Pilihan Raya 1954.

Siasatan di bawah Akta SPRM 2009 yang tidak meliputi jenayah politik wang sekali gus tidak membolehkan suruhanjaya tersebut membuka kertas siasatan membabitkan perkara berkenaan.

Buat masa ini cadangan penggubalan rang undang-undang berkaitan sumbangan dana politik masih dalam penelitian jawatankuasa perundingan yang diketuai oleh Seng Kuan. Ia tidak mungkin dapat dibentangkan di Parlimen sebelum PRU-14.

Apa yang harus dilakukan sekarang ialah seluruh ahli politik dan orang ramai perlu menganggap tugas membasmi rasuah adalah tanggungjawab bersama.

Selain itu, satu peraturan berkaitan kebebasan maklumat perlu dirangka bagi membolehkan pendedahan mengenai rasuah dapat dilakukan termasuklah pihak media tanpa sekatan. Usaha memperkasakan SPRM juga harus diteruskan antaranya dengan mewujudkan suruhanjaya perkhidmatannya sendiri.