Pengumuman secara langsung itu dibuat selepas Perdana Menteri mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Langkah itu bakal diikuti ketua-ketua kerajaan negeri untuk menghadap ketua negeri masing-masing bagi mendapat perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya pilihan raya umum dapat dijalankan secara serentak.

Kini, tumpuan terletak kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan mesyuarat khas dalam tempoh terdekat bagi menentukan tarikh penamaan calon dan pengundian PRU-14.

Felo Penyelidik di Institut Kajian Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia, Dr. Achmad Dzariean Mohd. Nazri berkata, pembubaran Parlimen dan DUN merupakan proses biasa yang termaktub dalam perlembagaan Persekutuan.

“Undang-undang menetapkan pilihan raya umum perlu diadakan dalam tempoh 60 hari namun mengikut amalan semasa, tempoh pembubaran Parlimen hingga hari mengundi biasanya berlangsung dalam tempoh 29 hari.

“Jika SPR mengikut amalan tersebut, pengundian bagi PRU-14 dijangka diadakan dalam minggu pertama bulan Mei,” katanya ketika dihubungi Jurnal baru-baru ini.

Tambah Achmad Dzariean,  semua parti yang bertanding sama ada Barisan Nasional (BN) atau pembangkang seperti Pas dan Pakatan Harapan (PH) sudah bersiap sedia menghadapi pilihan raya tersebut.

“Malah, Pas dan PH sudah mengumumkan manifesto masing-masing dan memperkenalkan beberapa calon mereka. BN pula mengumumkan manifestonya pada hari ini dan senarai calon dalam tempoh terdekat.

“Sebenarnya, gerak kerja dan kempen semua parti politik terlibat sudah bermula sejak berakhirnya PRU-13 lagi dan dijangka bertambah agresif menjelang tempoh berkempen sehingga pengundian PRU-14 selesai,” ujarnya.

Hakikatnya, PRU-14 merupakan pilihan raya yang paling sengit dalam sejarah sehingga digelar sebagai ‘bapa’ segala pilihan raya di Malaysia.

Biarpun BN berjaya membentuk kerajaan selepas PRU-13, namun penguasaan BN dilihat sedikit merosot dengan penurunan penguasaan jumlah kerusi pada peringkat Parlimen dan DUN.

Misalnya, daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen, BN sekadar meraih sebanyak 133 kerusi berbanding 89 kerusi oleh pembangkang manakala daripada keseluruhan 505 kerusi DUN pula, BN sekadar  memenangi 275 kerusi dan selebihnya adalah milik pembangkang.

Keputusan itu menyebabkan BN gagal mendapat majoriti dua pertiga kerusi Parlimen selain gagal menawan kembali Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor.

Selain itu, tiga DUN iaitu di Perak, Terengganu dan Kedah dilihat berisiko tinggi pada PRU-14 kerana hanya dimenangi BN dengan majoriti mudah.

Geostrategis dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Azmi Hassan berkata, beliau percaya setiap parti sudah mempunyai strategi tersendiri bagi meraih sokongan pengundi.

Mengambil contoh BN, katanya, terdapat pelbagai khabar gembira yang diumumkan sejak beberapa minggu lalu bagi meraih sokongan kakitangan kerajaan di seluruh negara.

“Misalnya, kenaikan elaun Jabatan Sukarelawan Malaysia, sukarelawan Polis Diraja Malaysia, Askar Wataniah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan terbaharu pelbagai insentif kepada golongan penjawat awam dan pesara.

“Itu belum lagi program sedia ada seperti perumahan mampu milik, bantuan sara hidup dan sebagainya bertujuan meringankan beban kumpulan sasaran.

“Saya percaya manifesto BN yang diumumkan hari ini akan menjadi kunci dalam meraih sokongan pengundi secara keseluruhan,” katanya.

Ditanya mengenai strategi pembangkang pada PRU-14, Azmi memberitahu, ia lebih berkisar kepada isu 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), keadaan ekonomi semasa, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), rasuah dan kenaikan kos sara hidup rakyat.

“Selain itu, wujud kebimbangan terhadap penularan berita palsu atau berita yang telah dimanipulasikan bertujuan mencemar imej BN.

“Biarpun terdapat undang-undang baharu mengenainya namun penularan berita sebegini terutama dalam media sosial sukar dikawal kerana dilakukan secara licik dan terancang.

“Kini, semuanya terletak kepada kebijaksanaan BN dalam mematahkan serangan tersebut serta pengundi sendiri untuk menilai sama ada berita yang ditularkan itu sahih atau sebaliknya,” jelasnya.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya Dr. Sivamurugan Pandian berkata, sentimen semasa menunjukkan BN akan kekal sebagai kerajaan selepas PRU-14.

Biarpun begitu, katanya, BN akan menerima saingan sengit di beberapa negeri seperti di Sabah, Kedah, Perak, Terengganu selain tekanan untuk merampas semula Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.

“BN akan mengekalkan status quo, cuma persoalannya sama ada ia mampu memperoleh majoriti mudah atau dua pertiga.

“Banyak faktor yang dilihat memberi kelebihan kepada BN seperti ketiadaan Pas dalam PH yang bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru selain isu persempadanan semula,” katanya.

Jelasnya, kebimbangan BN ketika ini kemungkinan isu sabotaj yang dilihat mampu mencemar imej dan reputasi kalangan pemimpin dan parti secara keseluruhan.

“Perkara ini perlu dipandang serius oleh pemimpin tertinggi BN dan perlu diselesaikan secara baik bagi mengelak undi protes atau isu boikot calon yang mana akan merugikan parti,” katanya.