Matlamat penubuhan organisasi media yang sudah berusia 72 tahun itu seperti yang dizahirkan dalam halaman web RTM adalah untuk menjadi peneraju negara bangsa menerusi perkhidmatan penyiaran berteraskan cita-cita kerajaan melalui pelbagai program radio dan TV, faktual dan bukan faktual. 
Semasa kerajaan Barisan Nasional berkuasa di Putrajaya, paksi pembinaan negara bangsa RTM adalah gagasan 1Malaysia. Di bawah pentadbiran baharu Pakatan Harapan slogan yang bakal dijunjung oleh RTM masih belum dimuktamadkan lagi.
Tetapi apa-apa juga slogan yang dipilih kelak, komitmen RTM untuk menyebarkan maklumat yang sahih, tepat dan mutakhir selain untuk menghiburkan khalayak menerusi kandungan bukan faktualnya (meliputi hiburan) tentulah akan diteruskan. 
Tetapi kali ini tugas tersebut akan dilakukan dengan persekitaran baharu yang hala tujunya telah pun dilakarkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo. 
Dalam arahan sulungnya kepada pengurusan RTM, selepas mengadakan lawatan rasminya ke Angkasapuri pada 28 Mei lalu, beliau mahu RTM berubah dengan menonjolkan imej baharu dalam usaha menarik lebih ramai penonton yang sebelum ini tidak diberi penekanan sangat oleh kepimpinan Jabatan Penyiaran Malaysia. Tempoh enam bulan diberikan untuk tampil dengan wajah baharu tersebut.

Stesen berita

Menurut Gorbind, perubahan itu bagi memastikan RTM yang dianggapnya sebagai ‘stesen berita paling utama’ mampu bersaing atau lebih baik berbanding stesen TV swasta tempatan yang lain dan juga saluran TV antarabangsa yang boleh ditonton di negara ini.  
Antara lain, dalam membuat perubahan imej yang diingini, Gorbind meminta pengurusan RTM belajar daripada stesen TV luar negara seperti CNN dan Al-Jazeera yang menyediakan bahan yang menarik untuk penonton kerana, menurut hemat beliau, dalam dunia penyiaran “kalau orang tak lihat program kita, maka program kita tidak berjaya.”
Bolehkah arahan untuk RTM berwajah baharu dalam masa enam bulan itu dicapai? Apakah hasrat untuk meletakkan RTM sebaris dengan CNN dan Al-Jazeera sesuatu yang realistik memandangkan ketiga-tiga badan penyiaran tersebut lahir dan membesar dalam acuan dan ideologi yang berbeza, adakalanya bak bumi dengan langit?
Seperti kita tahu, RTM adalah sebuah jabatan kerajaan yang terikat dengan pelbagai peraturan dan kekangan sumber kewangan dan bukan kewangan. Untuk bersaing dengan stesen TV swasta dalam negara pun, RTM adakalanya terkial-kial kerana terikat dengan objektif penubuhannya, inikan pula untuk berenang dalam lautan yang sama dengan CNN dan Al-Jazeera.
CNN adalah sebuah stesen swasta yang dilanggan oleh banyak orang, bukan sahaja di Amerika Syarikat di mana ia dilahirkan pada 1980, tetapi juga di seluruh dunia. 
Begitu juga dengan Al-Jazeera yang dibiayai oleh kekayaan Emir Qatar. Tidak kurang daripada RM500 juta setahun dibelanjakan untuk lima tahun pertama penubuhannya sebelum Al-Jazeera tampil sebagai saluran berita antarabangsa yang berwibawa.
Dalam perspektif itu, tidak mungkin RTM dapat bersaing dengan kedua-dua badan penyiaran antarabangsa itu kecuali jika tiada halangan pada pihak kerajaan untuk menyediakan peruntukan kewangan besar yang diperlukan olehnya untuk menyediakan kandungan-kandungan bermutu tinggi seperti yang berjaya dilakukan oleh CNN dan Al-Jazeera.
Menghasilkan kandungan dan program TV kelas pertama sebenarnya bukan murah kerana RTM, seperti yang dilakukan oleh CNN dan Al-Jazeera, perlu mendapat perkhidmatan bakat siaran terbaik. Mereka tidak akan menjual program kepada RTM jika bayaran yang diberi kepada mereka tidak setimpal dengan kebolehan dan kemahiran bakat siaran yang ada pada mereka. 
Tentulah Gobind sedar akan hal ini. Jika tidak, beliau tidak akan menyediakan kompas baharu kepada RTM di bawah kepimpinan beliau.  Barangkali setelah menyediakan hala tuju baharu, beliau menunggu maklum balas daripada pengurusan RTM mengenai butiran terperinci mengenai apa-apa yang perlu dilakukan untuk membawa RTM ke sasaran baharu yang ditetapkan.

Perubahan

Sekiranya RTM baharu yang diingini itu memerlukan perubahan struktur bukan sekadar superfisial, maka Gobind barangkali bersedia untuk melaksanakannya. Ini termasuklah untuk mengubah status RTM daripada sebuah jabatan kerajaan pada waktu ini kepada sekurang-kurangnya menjadi sebuah perbadanan penyiaran bebas yang dikendalikan secara profesional oleh para penyiar dan bakat siaran yang berwibawa dan tidak terikat dengan peraturan awam dan birokrasi kerajaan serta bebas daripada sebarang campur tangan dan kongkongan politik.
Untuk tujuan itu, RTM boleh dibangunkan sebagai entiti penyiaran awam menggunakan model British Broadcasting Corporation (BBC) yang bebas daripada ketiak kerajaan. Atau dijadikan entiti swasta menyerupai Media Corp di Singapura tetapi dikawal secara tidak langsung oleh pemerintah melalui syarikat milik kerajaan, Temasek Holdings.
Pada peringkat awalnya, peruntukan dana negara secukupnya hendaklah disalurkan kepada RTM. Peruntukan yang besar untuk RTM melakukan perubahan ini penting kerana Menteri Komunikasi dan Multimedia itu tahu bahawa untuk membeli program-program yang digemari khalayak, bukanlah murah.
 Misalnya, untuk RTM menyiarkan siaran langsung perlawanan bola sepak Piala Dunia di Rusia sepanjang Jun 2018, kerajaan perlu membelanjakan sehingga RM40 juta untuk membeli hak penyiaran.
Percayalah sekiranya lebih banyak program-program popular tempatan dan luar negara serupa itu disiarkan oleh stesen TV RTM saban malam, matlamatnya untuk menarik penonton akan segera tercapai.