Beliau yang merupakan anak kelahiran Pontian, Johor, dilantik menggantikan Datuk Seri Mohamad Azmin Ali yang menyertai Kabinet kerajaan Persekutuan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi pada 21 Mei lalu.

Upacara angkat sumpah jawatan, ikrar dan aku janji itu berlangsung di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, Klang.

Selaku tokoh muda dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR), beliau bukan sahaja mempunyai hubungan rapat dengan Mohamad Azmin malah berpengalaman luas dalam pentadbiran negeri kerana pernah menjadi Exco sebelum ini.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara, Dr. Iskandar Hasan Tan Abdullah berkata, walaupun Amirudin lebih muda berbanding calon lain namun ia bukan satu halangan untuk beliau dilantik ke jawatan tersebut.

Katanya, sebelum ini bekas ADUN Sungai Panjang daripada Barisan Nasional (BN), Dr. Mohamad Khir Toyo juga pernah menjadi Menteri Besar ketika berusia 35 tahun.

Mengejutkan
“Pelantikan beliau (Amirudin) bukan sesuatu yang mengejutkan kerana beliau antara calon yang diramal menjadi Menteri Besar memandangkan kekananan dalam pentadbiran dan pernah menyandang jawatan Exco kerajaan negeri.

“Selain itu, beliau dilihat sebagai antara pemimpin muda dalam PKR yang menyerlah di Selangor selain mempunyai latar belakang pendidikan yang baik serta dikenali sebagai aktivis sosial dan masyarakat,” katanya ketika dihubungi Jurnal baru-baru ini.

Menyusuri karier politik Amirudin, ia bermula pada 2004 selepas beliau dilantik sebagai Exco Angkatan Muda Keadilan. 

Seterusnya, beliau menjadi Naib Presiden Angkatan Muda Keadilan dan Setiausaha Eksekutif PKR antara tahun 2007 hingga 2009. 

Pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12), Amirudin yang berusia 28 tahun ketika itu telah bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Caves (sekarang dikenali sebagai DUN Sungai Tua).

Walaupun tanpa pengalaman politik yang luas, beliau mampu memenangi kepercayaan rakyat dengan mendapat majoriti sebanyak 3,369 undi mengalahkan calon BN, Datuk T. Mohan dan Azmi Hussain daripada Pas.

Amirudin berjaya mempertahankan DUN tersebut pada PRU-13 dan mengulangi kejayaan buat kali ketiga pada PRU-14 lalu. 

Selain itu, beliau juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Generasi Muda dan Sukan, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi Selangor sejak 2014.

Menurut Iskandar Hasan, berdasarkan reputasi dan pengalaman yang dimiliki, tidak hairanlah Amirudin mendapat sokongan dan restu pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan pihak istana untuk menggalas jawatan berkenaan.

Apatah lagi penyandangnya, Mohamad Azmin dilihat cemerlang mentadbir Selangor sejak mengambil alih pentadbiran negeri itu pada 2014.

“Di bawah pentadbiran beliau (Mohamad Azmin), Selangor berjaya mencatatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 22.6 peratus pada 2015 selain tersenarai antara lima negeri teratas di Malaysia yang mempunyai prestasi ekonomi terbaik pada 2017.

“Malah, beliau memperkenalkan banyak dasar popular sebelum ini yang menyebabkan kepimpinan beliau disukai rakyat Selangor seperti kemenangan besar yang diterjemahkan pada PRU-14 lalu.

“Ini merupakan satu cabaran kepada Amirudin terutama untuk lari daripada bayang-bayang Mohamad Azmin namun sebagai pemimpin muda yang dinamik, berinovasi dan berwawasan, beliau berupaya memikul tanggungjawab tersebut dengan baik,” ujarnya. 

Cabaran 
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Muhamad Nadzri Mohamed Noor berkata, sebagai Menteri Besar yang baharu dan muda, Amirudin bakal berhadapan dengan pelbagai cabaran di Selangor.

Pertama, katanya, bagaimana untuk beliau membawa Selangor ke arah sistem kerajaan yang lebih baik berbanding pentadbiran Mohamad Azmin dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Justeru, usaha yang penuh hikmah dan pragmatik perlu dilakukan oleh beliau untuk mencapai kualiti setanding kedua-dua tokoh berkenaan yang berpengalaman luas sebelum menjadi Menteri Besar Selangor,” katanya.

Keduanya, kata Muhamad Nadzri, adalah bagaimana untuk merealisasikan manifesto PH dengan lebih berkesan kerana PKR pada masa ini bukan parti pembangkang di peringkat Persekutuan seperti mana pentadbiran lalu.

“Kini perhatian tertumpu bagaimana beliau mahu merencana dan melaksanakan manifesto tersebut khususnya dalam membantu memperbaiki taraf hidup rakyat ke tahap yang lebih tinggi, selesa serta saksama.

“Ketiga pula, meskipun mempunyai pengalaman politik tetapi pengalaman Amirudin dari sudut pentadbiran negeri adalah terhad dan beliau memerlukan masa untuk memperlihatkan kualiti dan ketokohannya,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Muhamad Nadzri, di sebalik cabaran tersebut wujud juga ruang dan peluang kepada Amirudin.

“Misalnya, kekurangan pengalaman beliau boleh dibantu dengan melantik Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penasihat ekonomi Selangor seperti yang diamalkan oleh pentadbiran Abdul Khalid. 

“Selangor juga mempunyai simpanan kewangan yang mencukupi dan jika diuruskan secara berhemah khasnya dalam projek pelaburan sosial, ia mampu meningkatkan taraf hidup rakyat. 

“Pada masa sama, projek pembangunan bersifat kemanusiaan perlu diutamakan berbanding projek pembangunan materialistik yang cenderung menguntungkan segelintir pihak sahaja,” katanya.