Masih jelas tergambar bagaimana Anwar berucap di tengah lautan manusia di pekarangan Masjid Negara, Kuala Lumpur. Gema laungan ‘Mahathir mesti undur segera” disambut penuh gempita oleh penyokong-penyokongnya.

Beliau terkenal dengan retorik pidato yang mampu membangkitkan semangat sekali gus membina karismanya sebagai penggerak sebuah gerakan politik baharu.

Pilihan Raya Umum 1999 memberikan kejutan kepada Barisan Nasional (BN) apabila kesan arus perlawanan Anwar berjaya mengalih undi orang Melayu kepada parti pembangkang yang diasaskannya iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bergabung bersama Pas dan DAP. Kuasa politik pembangkang menerima nafas baharu di bawah pengaruh Anwar. Malah Anwar mendapat dukungan kuat daripada Pas yang ketika itu dipimpin kenalannya dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Allahyarham Datuk Fadhil Noor.

Biarpun dakwaan yang terpalit terhadapnya cukup berat, ia tidak memudarkan semangat pendukung dan kader-kader partinya. Meskipun ada satu ketika bebanan politik yang ditangung Anwar itu seakan membantut perjalanan mereka selain krisis dalaman parti menyebabkan ramai tokoh asal PKR keluar memilih haluan lain. Selepas Fadhil Noor, Anwar muncul sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen yang terus memanaskan gelojak politik tanah air dan hanya tunggu masa untuk memuntahkan laharnya.

Reformasi

Namun ketika agenda reformasi cuba dilaksanakan di bawah kerajaan Pakatan Rakyat selepas gabungan parti pembangkang berjaya menguasai Selangor selepas 2008 dan 2013, Anwar dilihat telah mengeruhkan iklim politik di negeri paling maju itu apabila Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ditendang keluar dalam misi Langkah Kajang pada 2014.

Ramai yang tidak memahami mengapa harus Abdul Khalid yang mempunyai trek rekod bersih itu difitnah pemimpin politik PKR sendiri dalam usaha melantik Anwar menggantikan tokoh korporat itu? Hasrat itu tidak menjadi apabila Anwar disumbat sekali lagi ke Penjara Sungai Buloh. Bermula dari situlah bibit perpecahan melanda parti pembangkang sehingga akhirnya Pas meninggalkan Pakatan Rakyat. Dengan keadaan Anwar di penjara, PKR dan DAP menghadapi masalah membentuk satu pakatan yang kuat tanpa Pas.

Kemunculan Parti Amanah Negara (Amanah) ekoran keluarnya sekumpulan pemimpin kanan Pas pada 2015 masih belum mampu mengatasi kekuatan akar umbi Pas terutama di Kelantan dan Terengganu serta kawasan majoriti Melayu/Islam.

Sehinggalah munculnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diketuai oleh seteru lama Anwar dan parti pembangkang iaitu Dr. Mahathir bersama bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2016 memberikan nafas baharu dalam menghadapi kekuatan Barisan Nasional (BN) di bawah Datuk Seri Najib Tun Razak.

Agenda reformasi tidak terlaksana di tangan Anwar sebaliknya kemunculan Mahathir ternyata menjadi tonik berkesan melonjakkan prestasi pembangkang sekali gus berjaya menumbangkan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang penuh dramatik.

Mahathir menunaikan janji untuk menyegerakan proses pengampunan diraja terhadap Anwar. Detik 16 Mei lalu, atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, Anwar bukan sahaja dapat menghirup udara kebebasan malah segala rekod lampaunya terpadam. Beliau kini bebas kembali ke dunia politik tanpa sebarang sekatan.

Ketika Mahathir sedang berusaha melunaskan agenda-agenda reformasi terutamanya membanteras rasuah, kehadiran Anwar mampu membuat gandingan dua seteru lama itu berubah menjadikan spektrum politik negara lebih menarik.

Kata, dia mungkin masih terpaksa meringkuk dalam penjara jika tidak kerana keputusan PRU-14 lalu. Pilihan raya umum itu jelas menunjukkan rakyat memberikan mesej penolakan terhadap Najib.

Kata Anwar; “Sekarang adalah era baharu Malaysia. Seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama, mereka berdiri di atas prinsip demokrasi dan kebebasan.”

Pada malam pertama selepas keluar daripada penjara, Anwar memberikan tazkirah Ramadan di kediamannya di Bukit Segambut Dalam dengan dihadiri khalayak pendukung tegarnya termasuk beberapa orang ulama. Beliau kekal dengan kata-kata yang melambangkan politik berasaskan idealisme. Bagaimana harus politik baharu dapat memastikan pelaksanaan Islam terus maju berdasarkan demografi Malaysia yang multi ras dan agama menjadi antara topik diskusi itu.

Gopoh

Ramai yang berpendapat, Anwar tidak seharusnya gopoh untuk menggantikan teraju negara daripada Mahathir. Biarkan Mahathir melaksanakan agenda reformasi bagi membina semula negara seperti yang menjadi slogan Pakatan Harapan.

Sekarang Anwar perlu mengendalikan partinya, PKR. Banyak pihak gelisah dengan fraksi dalam PKR yang mula menonjolkan diri.

Sebelum ini Pakatan Rakyat dipecahkan dengan memastikan Pas atau DAP keluar daripada pakatan itu. Setakat ini, hubungan DAP dan Amanah begitu baik. Begitu juga PPBM apabila Mahathir sendiri memuji Amanah yang banyak membantu menyelesaikan soal pembahagian kerusi bagi PRU-14.

Menjadi tanggungjawab Anwar memastikan PKR dan PPBM dapat terus mengukuhkan Pakatan Harapan yang kini sudah menjadi kerajaan memerintah.