Dalam konteks Malaysia, penyatuan dan keseragaman masyarakat dalam mengamalkan dasar perpaduan mengikut acuan Rukun Negara merupakan suatu platform yang telah menentukan hala tuju pendemokrasian sejak mencapai kemerdekaan.

Penyesuaian dasar-dasar negara dalam mereka bentuk arah perpaduan masyarakat sering menjadi agenda dan perbualan tokoh-tokoh politik, akademik serta anggota masyarakat itu sendiri.

Hakikatnya, perpaduan masyarakat yang berasaskan sentimen agama dan bangsa tidak dapat diterima di Malaysia, apatah lagi jika terdapat unsur-unsur yang berkeupayaan merobek sentuhan perpaduan dalam kalangan kaum.

Persoalan yang timbul daripada pelaksanaan dasar-dasar perpaduan seperti ketidaksamaan pengagihan kekayaan, pendemokrasian pendidikan dan dasar-dasar sosial secara terbuka semakin lantang dikemukakan oleh pelbagai pertubuhan bukan kerajaan atau pertubuhan-pertubuhan sukarela.

Justeru, penggubalan dasar-dasar perpaduan seumpama ini disifatkan sebagai satu pendekatan yang perlu dihayati dan dikemas kini dari semasa ke semasa dalam menentukan kesempurnaan pembangunan perpaduan masyarakat berbilang kaum.

Kerajaan Malaysia telah menggubal Dasar Perpaduan Nasional yang merangkumi penyeragaman dan pembangunan institusi sosial masyarakat secara menyeluruh dan berimbang.

Ia boleh disifatkan sebagai pemangkin hala tuju perpaduan nasional yang dilaksanakan oleh kerajaan pada hari ini.

Penyesuaian unsur-unsur perpaduan dalam masyarakat seperti kebebasan hak asasi individu atau kumpulan, pendidikan, kebebasan beragama serta hak mendapatkan keadilan adalah perkara-perkara yang menjadi asas kepada penentuan pembangunan masyarakat liberal, berdaya saing dan berkarisma mengikut acuan Wawasan 2020.

Proses globalisasi yang berlaku sekarang juga dianggap sebagai suatu gerakan peralihan budaya konvensional kepada suatu persekitaran yang menyatukan segala pemikiran, falsafah, ideologi dan pegangan masyarakat.

Ia telah mewujudkan suatu perubahan drastik terhadap pemikiran, perlakuan dan tingkah laku individu untuk menghasilkan identiti baharu yang bertentangan dengan nilai atau norma masyarakat sedia ada.

Peningkatan dalam teknologi maklumat menyebabkan masyarakat terdorong untuk mengubah budaya yang mereka amalkan kepada suatu konsep budaya baharu yang dikatakan dapat memenuhi perkembangan era teknologi maklumat tersebut.

Menjadi kebimbangan kita apabila perkembangan pesat dunia globalisasi hari ini yang akan menyukarkan kemuafakatan masyarakat dari segi identiti serta budaya masyarakat kita.

Malaysia tidak terlepas daripada menghadapi dilema ini. Dasar liberalisasi kerajaan terhadap kandungan internet menyebabkan masyarakat cenderung untuk meneroka budaya baharu yang ditonjolkan oleh negara-negara Barat dalam usaha memperluaskan pengaruh mereka.

Kebebasan mendapatkan maklumat tanpa penyeliaan, pemantauan atau kekangan menerusi mekanisme tertentu ini memberikan gambaran bahawa proses imperialisme media Barat terhadap pengembangan budaya Timur telah berlaku.

Dalam erti kata lain, penjajahan budaya Barat ke atas masyarakat Timur akan mengubahkan persepsi masyarakat mengenai peradaban yang mereka amalkan sebelum ini.

Peraturan kuno

Masyarakat dilihat tidak lagi akan menganggap pengamalan budaya Timur yang mereka pertahankan selama ini masih relevan.

Peraturan-peraturan yang dianggap ‘kuno’ atau menyekat kebebasan peribadi tidak lagi dilihat sebagai suatu bentuk pengawalan yang sempurna buat diri mereka.

Ia bukan sahaja mendatangkan masalah tetapi dianggap tidak memberi peluang kepada mereka untuk mengecapi ketelusan maklumat pada zaman ini.

Justeru, penguasaan teknologi berdasarkan ilmu teras yang tinggi dan dinamik dilihat sebagai satu langkah yang boleh dilaksanakan menerusi kejayaan sistem sosial dalam masyarakat bagi memelihara serta memantapkan agenda sosial agar berdaya saing dengan masyarakat global.

Ia boleh dicapai menerusi kesepaduan ikatan dan kerjasama masyarakat tanpa mengikut ras, kaum dan agama. Kerjasama yang dimaksudkan ini boleh meliputi unsur-unsur seperti:

1. Kesederhanaan dalam pemikiran terutamanya melibatkan peranan dan tuntutan masyarakat mengikut kaum serta agama.

2. Perkongsian ilmu dan kemahiran dalam profesion yang dapat mengimbangi status ekonomi setiap unit dalam masyarakat.

3. Penentuan bentuk tumpuan dan pendekatan dalam sistem pendidikan masyarakat supaya keseimbangan dalam penguasaan ilmu dapat dicapai.

Bagaimanapun, penaklukan teknologi maklumat ini memerlukan keseimbangan dari segi percambahan ilmu dasar dan peradaban masyarakat supaya kesan ancaman daripada penggunaan serta penaklukan teknologi tersebut tidak meledak, menggugat dan seterusnya menghancurkan agenda sosial yang kita pertahankan selama ini.

Terdapat beberapa pendekatan rasional yang boleh dilaksanakan dalam menentukan kesepaduan masyarakat perlu diberi tumpuan secara serius seperti:

1. Pelaksanaan agenda pendidikan nasional yang dapat memperkasakan budaya dan teknologi. Masyarakat harus dibimbing berdasarkan acuan ‘Pengurusan Bakat’ atau ‘Talent Management’ dan tidak bergantung semata-mata kepada desakan material atau perlumbaan kerjaya.

2. Penguasaan dan peluasan dasar-dasar sosial yang berupaya mengemudi arah pembentukan masyarakat bertamadun, berdaya saing dan berwawasan mengikut acuan Rukun Negara. Ia termasuk memberi kebebasan kepada masyarakat menyuarakan pandangan dalam pelbagai cara tetapi haruslah mengikut peradaban negara kita.

3. Pengukuhan budaya ilmu dalam agenda sosial dengan menentukan suatu reka bentuk kurikulum pendidikan, pemikiran dan pengamalan tingkah laku masyarakat yang menggambarkan aspirasi bangsa dan negara terutamanya melibatkan semangat patriotisme serta kenegaraan generasi muda.

Dr. Syed Agil Alsagoff ialah pensyarah kanan di Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.