LIMA tahun lalu, satu unit Bitcoin cuma bernilai AS$13 (RM50) namun semalam, nilai mata wang kripto itu mencecah AS$8,300 (RM32,000) seunit. Kenaikan nilai secara ketara itu menggambarkan betapa kegilaan terhadap mata wang digital semakin bertambah. Malah, ia sudah diterima pakai oleh sebahagian penduduk dunia. 

Bitcoin dikenali sebagai mata wang digital atau mata wang kripto kerana teknologi utama yang digunakan di sebalik mata wang ini ialah satu kod kriptografi yang boleh dikenal pasti dan diselia melalui jaringan internet. 

Ia merupakan revolusi baharu mata wang yang bukan sahaja memberi impak kepada cara amalan kewangan dan transaksi perniagaan semasa malah memerlukan pencerahan dari segi hukum Islam. 

Mufti Besar Mesir, Dr. Shawki Allam pada awal Januari lalu mengeluarkan fatwa mengharamkan dagangan menggunakan Bitcoin kerana mata wang maya itu memberi banyak risiko kepada orang ramai, boleh menyebabkan penipuan atau pemalsuan nilainya.
Beliau menegaskan bahawa mata wang itu tidak disokong oleh aset yang ketara dan diterbitkan tanpa kawalan, serta tidak bergantung kepada mana-mana pihak berkuasa atau bank pusat.

“Ia tidak dikawal oleh mana-mana institusi kewangan kerana dagangannya menggunakan internet tanpa kawalan dan ini memberi risiko kepada orang ramai,” katanya.

Beliau turut mengingatkan umat Islam agar tidak terbabit dalam dagangan yang meragukan semata-mata untuk mendapat wang segera atau memperoleh keuntungan yang cepat. 

“Bitcoin bukan satu daripada konsep kewangan Islam,” jelas beliau. Sebelum ini, Arab Saudi turut mengharamkan Bitcoin.

Bitcoin mula diperkenalkan sekitar tahun 2008 oleh Satoshi Nakamoto, individu yang identitinya masih misteri sehingga sekarang.

Sejak itu, kata Pakar Kewangan Islam, Dr. Zaharuddin Abdul Rahman semakin ramai peniaga yang menerima pembayaran menggunakan Bitcoin di samping mata wang kripto yang lain. Namun, katanya, disebabkan tiada pemantauan menyebabkan ada individu melakukan urus niaga jenayah menggunakan Bitcoin. 

“Kalau menggunakan duit kertas, mereka sukar melakukan transaksi dalam jumlah yang banyak. Di Malaysia, seseorang yang memasukkan wang sekurang-kurangnya RM50,000 ke dalam akaun peribadi di mana-mana bank berisiko disiasat oleh Bank Negara Malaysia kerana dikhuatiri melakukan pengubahan wang haram,” katanya.

Tambah beliau, agak sukar untuk menjelaskan hukum urus niaga Bitcoin memandangkan ia tidak dikawal selia oleh sesiapa. “Oleh sebab itu berlaku ‘gharar’ iaitu keadaan tidak menentu dalam urus niaga Bitcoin. Dalam Islam, perkara gharar seelok-eloknya perlu dijauhi,” jelas beliau.

Fatwa

Di Malaysia, belum ada fatwa yang dikeluarkan berkaitan mata wang kripto seperti Bitcoin. Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Othman berkata, keputusan sama ada menghukumkan haram atau tidak terhadap penggunaan mata wang kripto tidak boleh dibuat secara terburu-buru sebaliknya memerlukan kajian menyeluruh.

“Perkara berkenaan memerlukan satu kajian menyeluruh oleh pakar sebelum dibentangkan dan diputuskan di peringkat Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan,” ujarnya.

Berbeza dengan mata wang kertas, Bitcoin adalah mata wang elektronik sepenuhnya yang tidak datang dalam bentuk fizikal. Bitcoin juga tidak dikawal selia oleh mana-mana badan atau institusi sebagaimana mata wang biasa. 

Disebabkan tiada kawalan daripada mana-mana badan berautoriti, banyak transaksi Bitcoin yang dijalankan oleh pengguna dilaporkan gagal sekali gus menyebabkan kerugian terhadap pengguna. Bahkan ada kajian menunjukkan bahawa 40 peratus daripada transaksi pertukaran Bitcoin tidak berjaya dan membawa kerugian kepada penggunanya.

Dari sudut ekonomi Islam pula, walaupun Bitcoin dikatakan sebagai satu mata wang tetapi ia sebenarnya tidak berasaskan kepada apa-apa aset sebagai dasar. 

Justeru, ia begitu terdedah kepada spekulasi. Bitcoin pernah mengalami kenaikan antara lima hingga 10 peratus dalam sehari. Begitupun, nilainya boleh turun secara mendadak. 

Dari perspektif ekonomi Islam, antara ciri mata wang ialah ia mestilah stabil dan boleh dijadikan ukuran untuk aset-aset lain.

Buat masa ini, Bank Negara Malaysia tidak melarang pelaburan mata wang kripto, sebaliknya membiarkan pasaran membuat keputusan mengenainya.

Gabenornya, Tan Sri Muhammad Ibrahim pada Februari lalu bagaimanapun menegaskan, wang kripto kekal tidak diiktiraf sebagai mata wang sah diperlakukan.

Beliau berkata, mereka yang melabur dalam mata wang kripto mesti tahu ia berisiko tinggi.

“Orang ramai mesti tahu apa yang mereka sertai (pelaburan mata wang kripto), yang pertama ia bukan wang fiat dan kita tidak mengiktirafnya sebagai mata wang yang sah diperlakukan. Jika mereka melabur dalam kripto, mereka mesti tahu risikonya,” katanya.

Apa pun, kebanyakan para sarjana dan agensi syariah di seluruh dunia termasuk Malaysia masih lagi melakukan kajian terhadap kedudukan mata wang kripto dalam kerangka pemikiran serta minda syariah walaupun ia sudah wujud lebih 10 tahun lalu. 

Keputusan sama ada untuk menghalalkan atau mengharamkan mata wang tersebut di Malaysia nampaknya bergantung kepada kajian tersebut.

Meskipun terdapat kecenderungan sesetengah pemikir Islam untuk mengikut jejak langkah Mesir dan Arab Saudi, setakat ini Bitcoin bukanlah mata wang terlarang dan dihukum haram di Malaysia.