Barangkali Tunku sendiri tidak menyangka, kata-kata yang terpacul daripada mulutnya ketika persidangan tergempar UMNO (susulan permintaannya untuk bertemu dengan Setiausaha Tanah Jajahan British, Oliver Littleton ditolak) di Dewan Meng Seng, Jalan Bendahara, Melaka pada 18 April 1954 membuatkan ribuan hati hadirin tersentuh.

Tanpa disangka, muncul seorang wanita yang dikenali sebagai Siti Rahmah Kasim yang berumur 23 tahun mendekati Tunku lalu menghulurkan gelang emas yang dipakainya kepada pemimpin itu. Katanya, dengan nilai emas tersebut, dia mahu menolong Tunku membiayai tambang ke London untuk memujuk British membebaskan Tanah Melayu daripada terus ditakluk.

Semangat wanita itu dengan pantas menjalar kepada kaum ibu lain. Mereka tanpa dipaksa menanggalkan barang kemas berupa subang, rantai, kerongsang, pin baju dan cincin yang dipakai ketika itu lalu dikumpulkan ke dalam selendang merah milik Siti Rahmah.

Dalam sekelip mata, derma yang diberikan oleh wakil-wakil dan pemerhati semakin mencurah-curah. Seperti yang diceritakan oleh Ibrahim Mahmood dalam bukunya bertajuk Sejarah Perjuangan Bangsa Melayu pada tahun 1981, hadirin yang duduk di tingkat atas dewan telah ‘menggugurkan’ wang kertas bernilai RM1 hingga 10 sen demi membantu Tunku.

Bukan itu sahaja, ada yang menderma tiket loteri. Tidak kurang juga yang menonjolkan semangat patriotisme dengan merelakan cincin, jam emas, wang dan tongkat berkepala emas digadaikan bagi menampung perjalanan Tunku bersama ahli rombongan lain demi sebuah kemerdekaan.

Cerita ‘derma merdeka’ di Melaka itu kemudiannya telah tersebar pantas ke seluruh Tanah Melayu. Tanpa ada sebarang paksaan atau kempen keterlaluan, rakyat jelata yang miskin emas telah memberi apa sahaja harta yang ada seperti padi, buah-buahan, pakaian, getah keping yang kemudiannya dijual untuk disumbangkan pada tabung Derma Merdeka.

Bayangkan, pada era sebelum merdeka, tiada siapa bergelar jutawan. Penduduk rata-ratanya dihambat kemiskinan. Namun, demi kemerdekaan tanah air tercinta, rakyat pelbagai kaum sanggup bergolok-bergadai kerana sudah serik dicengkam penjajah. Sesungguhnya, semangat cintakan negara mengatasi segalanya.

Kisah kesempitan wang rombongan kemerdekaan itu turut sampai ke pengetahuan istana. Seperti yang diceritakan Tunku dalam buku Political Awakening, beliau telah menerima sumbangan berupa gelang tangan daripada Permaisuri Agong pertama, Tuanku Kurshiah Tuanku Besar Burhanuddin. Katanya, sumbangan daripada semua dermawan termasuk Tuanku Kurshiah telah memberi perangsang dan menyuntik keberaniannya untuk segera bertemu Setiausaha Tanah Jajahan British di Lancaster House, London.

Sejarah berulang

Apabila diimbau kembali, perjalanan menuntut kemerdekaan yang direntas pemimpin terdahulu penuh pancaroba. Bukan sekadar anak tempatan dipandang enteng kerana dianggap tidak mampu mentadbir negara sendiri malah wang juga menjadi perintang utama.

Namun, atas semangat setia kawan antara rakyat dan pemimpin, dengan wang yang didermakan, akhirnya pada 21 April 1954, rombongan kemerdekaan berangkat ke London dengan kapal terbang dari Singapura. Selepas tiga minggu berunding, akhirnya kerajaan British bersetuju memberi kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu.

Tempoh 62 tahun telah berlalu. Tiada siapa menduga, kisah klasik ‘derma rakyat’ kembali berulang. Selepas mengumumkan negara dibebani hutang mencecah RM1 trilion, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengambil langkah yang barangkali tidak terfikir oleh rakyat iaitu mewujudkan Tabung Harapan Malaysia.

Jika pada zaman dahulu, derma adalah bertujuan untuk mencari kemerdekaan, kali ini rakyat diminta membantu meringankan beban hutang negara. Kalau dihitung, bebanan piutang itu hanya mampu dibayar dalam tempoh 2,739 tahun (jika dibayar RM1 juta sehari) untuk selesai.

Seperti diduga, pengumuman itu mencetuskan pelbagai reaksi. Ramai yang menyokong, tidak kurang juga yang begitu skeptikal. Namun, bila difikirkan semula, wang yang didermakan meskipun dalam jumlah sedikit, ia sebenarnya adalah simbolik pengorbanan kita untuk menyelamatkan negara. Ingatlah, Malaysia ini didirikan daripada sumbangan derma penduduk Tanah Melayu yang hidup lebih enam dekad lalu.

Sebenarnya, kempen mengutip derma ini juga merupakan formula yang diguna pakai di United Kingdom (UK) dan Korea Selatan. Di UK, misalnya, Perang Dunia Pertama telah menyebabkan negara itu terbeban dengan kerugian yang maksimum. Apa yang dilakukan oleh Setiausaha Perbendaharaan British, Standley Baldwin ketika itu ialah memohon agar orang kaya di negara itu menyumbang membantu UK.

Plot cerita berbeza namun masalah sama juga berlaku di Korea Selatan. Republik itu dilaporkan berhutang dengan Dana Kewangan Antarabangsa. Bagi menyelamatkan negara itu daripada tergadai, rakyatnya telah bersatu hati menderma emas untuk melangsaikan semua hutang pada tahun 2001.

Justeru, jangan perlekeh usaha pemimpin kita mahu menyelamatkan negara. Jika rakyat Korea Selatan berbangga dapat membantu negara mereka daripada kepompong kesusahan, mengapa tidak kita? Malaysia adalah milik kita semua dan bukannya milik para pemimpin politik semata. Terbitkanlah rasa prihatin dalam jiwa raga dan belajarlah untuk berkorban demi Malaysia yang disayangi.