Pemisahan diri atas alasan ekonomi ini ditakrifkan oleh Dukheim sebagai anomi. Istilah ini bermaksud kacau dan tidak teratur. Boleh juga disebut sebagai krisis nilai atau perbezaan antara ketidakpedulian dan pelanggaran terhadap kesepakatan sosial dalam sesebuah masyarakat atas nama komersial.

Istilah ini juga merujuk kepada satu sistem kehidupan yang tidak memiliki pegangan nilai dan moral yang kuat, tiada peraturan, struktur dan sikap untuk mendidik individu lain ke arah yang lebih baik. Sebaliknya ia lebih cenderung kepada kepentingan peribadi dalam aspek ekonomi, politik dan sosial.

Dukheim menggunakan istilah ini untuk menghuraikan sebab-sebab bunuh diri yang berlaku dalam sesebuah masyarakat. Beliau mentafsirkan kekacauan moral pada individu menyebabkan mereka melakukan perbuatan itu terutama disebabkan oleh masalah-masalah  besar dalam ekonomi. 

Hari ini, unsur anomi merupakan fenomena besar yang melanda masyarakat dunia, termasuk di Malaysia, merangkumi banyak aspek. Antaranya, kesenian yang ditandai dengan kelahiran karya-karya sastera, drama dan filem yang anarkis, kacau dan caca-marba sebagai simbol anomi masyarakat.

Kesan daripada anomi ini, munculnya lambakan karya-karya picisan yang kemudiannya difilem atau didramakan. Ia disiarkan secara meluas di kaca-kaca televisyen atau pawagam. Tidak cukup dengan itu, pelbagai karya picisan Thailand, Indonesia, Korea, Filipina dan sebagainya yang turut menjadi santapan masyarakat.

Filem-filem dan karya-karya sastera ini, terutama genre novel ditulis dengan menggunakan bahasa yang mencampur aduk antara bahasa Malaysia dan bahasa asing, penggunaan bahasa pasar yang meluas, selain tema penceritaan yang terlalu picisan serta struktur dramatik yang boleh memberi impak negatif kepada penonton.

Tersirat
“Dalam bahasa yang kita gunakan, tersirat suatu orientasi hidup yang bukan saja merangkumi konsep yang kita ikuti mengenai persekitaran, tetapi juga perasaan, nilai, pemikiran dan kebudayaan. Bahasa amat penting yang menentukan hubungan dan pergaulan dalam masyarakat,” kata Ludwig Wittgenstein, ahli falsafah bahasa dari Austria.

Tanpa disedari atau mungkin tidak difahami oleh generasi muda kita hari ini, melalui bahasa kita dapat menyembunyikan dan mengungkap pemikiran, dengan bahasa pula kita mencipta dan menamatkan sebuah konflik.
Kerana bahasa, kita menyerahkan cinta dan dengannya pula kita mengumumkan perang.

Ringkasnya, bahasa adalah petunjuk kehidupan dan gambaran dunia kita. Padanya ditemukan analisis objektif kehidupan masyarakat, bangsa dan negara. Namun, hakikatnya kita berhadapan dengan anomi dan krisis dalam bahasa, sastera dan filem.

Segelintir individu membangun suatu sistem nilai individual dan di sisi lain menenggelamkan sistem lama yang lahir daripada kesepakatan sosial. Dalam sebahagian besar novel-novel remaja, picisan dan indie serta drama-drama popular Malaysia mutakhir, misalnya, unsur-unsur pendidikan dan pembinaan sosial bukan lagi objektif utama.

Sebaliknya fokus bertumpu kepada aspek komersial dan hiburan semata-mata. Atas nama komersialisme, lahirlah filem-filem seram, tahyul, mistik dan kisah cinta remaja. Alasan penerbit dan pembikinnya ialah hanya genre seperti itu yang dapat ‘dijual’ dan menjamin keuntungan.

Begitu juga genre-genre sastera. Karya-karya picisan dengan penggunaan bahasa rojak justeru mendapat sambutan berbanding tulisan-tulisan serius. Fenomena anomi dalam bahasa, sastera dan filem Malaysia mutakhir ini mengingatkan kita kepada novel The Stranger (1942) karya Albert Camus. Watak protagonisnya, Mersault berkonflik untuk membangun suatu sistem nilai individual baharu dengan menolak sistem ortodoks lama. 

Beliau cuba menilai kembali struktur nilai dan moral seperti yang ditetapkan dalam agama Kristian, atas nama kebebasan dan hak.

Anomi dalam karya-karya sastera dan seni moden termasuk filem di Malaysia jika dilihat secara mendalam mempunyai hubungan erat dengan kuasa iklan, perkembangan budaya popular, konsumerisme dan persaingan hingga memaksa seseorang mencari kelainan dalam produk-produk mereka.

Budaya
Budaya popular dapat ditakrif secara umum sebagai budaya yang dihasilkan untuk tujuan komersial dan berorientasikan kosumersisme. Sebagai contoh, seseorang pembikin filem atau penggiat seni tidak meletakkan
budaya dan nilai-nilai moral pada tempat teratas.  Sebaliknya, meletakkan keuntungan daripada pelaburan modal mereka di tempat tersebut. 

Penafsiran tentang kebudayaan moden oleh QD Lewis dan Mattew Arnold dalam Cultural Studies: Theory and Practice (2003) cukup menarik dalam memperkatakan isu tersebut. Kedua-dua sarjana itu bertitik tolak di atas kajian budaya.

Mereka menyimpulkan bahawa abad ke-20 merupakan era budaya popular yang akan mengikis budaya tinggi sesuatu masyarakat. 

Alasan yang dikemukakan oleh Lewis dan Arnold ialah budaya popular tidak lagi mementingkan estetika, dan nilai-nilai asal dalam masyarakat kerana asas perkembangannya ialah kapitalisme dan konsumerisme.

Berdasarkan perkembangan ini, anomi dalam kesusasteraan dan kesenian kita perlu dibendung dan disekat melalui pelbagai mekanisme sama ada sistem perundangan atau pendidikan. Jika tidak, ia dikhuatiri menjadi medium kepada pihak tertentu untuk menyuntik elemen-elemen  negatif kepada masyarakat.

Pada masa yang sama turut dikhuatiri anomi dalam karya-karya sastera dan filem ini akan menjadi ancaman kepada bahasa Malaysia baku, di samping akan memunculkan generasi  yang tidak tahu menggunakan bahasa ini dengan tepat dan betul. 

Seperti kata pengarang dan cendekiawan Britain, Herbert George Wells (1866-1946): “Sejarah terbentuk hasil daripada pertembungan antara pendidikan dan malapetaka. Kalau pendidikan kalah, malapetakalah yang akan menimpa”.