Sepanjang tempoh itu, kepimpinan PH yang menggabungkan beberapa parti politik seperti DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Amanah tidak sunyi daripada kritikan dan kontroversi.

Antara yang sering diperkatakan pelbagai pihak khususnya pembangkang ialah senarai barisan Kabinet yang masih belum lengkap ketika ini.

Biarpun begitu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kelihatan tenang dalam berhadapan isu tersebut. Semasa sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di Putrajaya baru-baru ini, beliau memberitahu senarai penuh barisan Kabinet akan diumum minggu depan.

Pengumuman itu kedengaran sedikit melegakan. Apatah lagi, dengan kapasiti hanya 13 menteri yang dilantik sejak 21 Mei lalu dilihat sukar bagi melaksanakan keseluruhan operasi kerajaan.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara Kelantan, Dr. Iskandar Hasan Tan Abdullah berkata, ketiadaan senarai Kabinet lengkap akan memberi kesukaran kepada
kerajaan untuk melaksanakan dasar-dasar ditetapkan.

Katanya, antara yang dilihat kritikal ketika ini adalah membabitkan perkara berkaitan perdagangan dan hal ehwal pengguna, perundangan serta hal ehwal Islam.

“Umum mengetahui Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sudah dimansuhkan dan sudah pastinya ia memerlukan penguatkuasaan menyeluruh bagi memastikan harga barang dapat diturunkan terutama menjelang musim perayaan.

“Begitu juga isu-isu membabitkan akta dan undang-undang serta berkaitan hal ehwal Islam, ia perlu diberi penekanan segera. 

“Menteri perlu dilantik bagi menetapkan hala tuju jabatan atau kementerian terlibat bagi memastikan ia mampu memberi kebaikan kepada rakyat dan negara,” katanya ketika dihubungi Jurnal baru-baru ini.

Tambah Iskandar Hasan, ketiadaan menteri di sesetengah kementerian akan menyebabkan pelbagai projek atau program yang dilaksanakan terbantut.

Jelasnya, biarpun terdapat Ketua Setiausaha (KSU) kementerian yang mengetuai sesebuah kementerian namun kuasanya agak terbatas.

“Hakikatnya, KSU merupakan penjawat awam yang dilantik ke jawatan tersebut dan lazim bertindak mengikut prosedur standard yang ditetapkan.

“Ini berbeza berbanding menteri yang dipilih oleh rakyat dan pandangan mereka terhadap sesuatu isu dilihat dari kaca mata mereka,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Pengajian Teras, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr. Mohd. Azmir Mohd. Nizah berkata, kelewatan pembentukan Kabinet berkemungkinan disebabkan PH tidak menjangka dapat membentuk kerajaan.

Katanya, ia berbeza ketika pembangkang bergabung di bawah Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum lalu kerana mempunyai barisan Kabinet bayangan.

“Kali ini PH tak ada strategi tersebut dan sebab itu apabila berjaya membentuk kerajaan Persekutuan sekali gus memerlukan masa untuk mencari calon sesuai dan berkaliber.

“Lagi pun, Perdana Menteri perlu mengenali calon atau nama-nama yang dicadangkan secara peribadi sebelum membuat sebarang keputusan bagi mengelak implikasi negatif pada masa hadapan,” katanya.

Pertindihan tugas
Ditanya mengenai senarai Kabinet penuh yang diumumkan kelak, Mohd. Azmir menjangkakan ia tidak melebihi 30 orang seperti yang dinyatakan Perdana Menteri sebelum ini.

Katanya, pengecilan tersebut berkemungkinan bagi mengurangkan beban kewangan kerajaan di samping untuk mengelak pertindihan tugas di antara kementerian terlibat.

“Sebagai contoh, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pendidikan kini telah digabungkan dan kini hanya mempunyai seorang menteri.

“Ini bukan sahaja dapat menjimatkan perbelanjaan, mengurangkan campur tangan politik dan pada masa sama dapat memperkasakan fungsi pegawai tinggi kerajaan sedia ada di kementerian,” ujarnya.

Apa pun, katanya, keputusan pembentukan Kabinet merupakan hak keistimewaan subjektif dan pilihan Mahathir sebagai ketua eksekutif.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara, Prof. Madya Dr. C. Sara berkata, kerajaan PH masih baharu untuk dinilai dan perlu diberi ruang dan peluang untuk melaksanakan transformasi dalam pentadbiran negara.

Katanya, beliau berpendapat Perdana Menteri masih dalam proses membersihkan sebarang anasir dan penyelewengan dalam kerajaan terdahulu kerana ia merupakan fokus utama manifesto PH.

“Berhubung soal lantikan Kabinet pula, ia telah dilaksanakan secara beransur-ansur kerana segala keputusan perlu mendapatkan persetujuan bersama bagi memastikan tiada parti yang terpinggir.

“Lagi pun, PH berada di pihak pembangkang sebelum ini dan ini pastinya memberi cabaran setiap parti untuk memilih calon-calon yang sesuai dan berkaliber dalam Kabinet penuh yang diumumkan nanti,” katanya.

Jelasnya, kelewatan yang berlaku pada dasarnya tidak memberi masalah kepada pentadbiran kerajaan secara keseluruhan.

“Ini kerana setiap minggu ada mesyuarat Kabinet dan semua menteri kena berikan laporan prestasi mereka kepada Perdana Menteri untuk dinilai atau diambil tindakan,” katanya.