Dalam rangka Akal Budi Melayu yang berasaskan kepada falsafah dan agama; pemikiran; pelakuan; emosi dan gaya hidup, penggunaan bahasa yang baik adalah bertolak daripada nilai-nilai murni dalam lima elemen penting tersebut.

Elemen falsafah dan agama dalam masyarakat Melayu, apatah lagi penganut agama Islam, menuntut kita menjelmakan nilai hormat-menghormati, sopan, maaruf, bemanfaat dan kasih sayang dalam percakapan kita melalui bahasa.

Setiap ucapan biarlah disampaikan dalam bahasa yang baik dan betul serta membawa kebaikan kepada orang yang mendengar. Adakalanya adalah lebih baik kita diam daripada berkata-kata jika perkara disampaikan itu adalah melalaikan, menjijikkan atau menyakitkan hati.

Pemikiran yang baik berputik daripada nilai-nilai murni yang datang menerusi falsafah dan agama. Tiada agama yang mengajar penganutnya melakukan kejahatan atau bercakap dalam bahasa yang kotor dan kesat. Pemikiran yang baik membawa kepada pelakuan yang baik.

Dalam proses interaksi sesama manusia, kemampuan mengawal dan mengimbangkan emosi adalah suatu yang amat mencabar. Bersabar, merendah diri serta bertolak ansur akan membawa kita untuk mengawal dan mengimbangi emosi apabila kita mendengar bahasa yang tidak sopan atau kurang ajar, bahasa yang cacamarba dan bahasa yang berbaur hinaan atau ejek-mengejek.

Lantaran jika kita mengamalkan sikap yang baik dan betul berasaskan falsafah dan agama, pemikiran, pelakuan dan emosi yang stabil secara berterusan, maka ia akan menjadi alah bisa tegal biasa. Apabila kita beristiqamah dengan nilai-nilai yang baik dalam Akal Budi Melayu, maka kita akan dapat ‘betulkan yang biasa, biasakan yang betul’.

Hari ini media sosial termasuk Twitter, WhatsApp, Telegram, WeChat, Viber, Instagram, Facebook dan YouTube membuka ruang seluasnya kepada ahli masyarakat di seluruh dunia berinteraksi dan berkomunikasi dalam bahasa pertuturan dan penulisan.

Kotor

Malangnya penggunaan bahasa yang kotor, kesat dan jijik sudah banyak membanjiri media sosial. Begitu juga penggunaan bahasa yang melanggar tatabahasa, memperkenalkan kosa kata baharu, ungkapan baharu dan ejaan baharu yang kesemuanya boleh merosakkan bahasa dan merendahkan martabat diri penuturnya.

Tiada badan penguat kuasa yang boleh mengawal penggunaan bahasa yang salah dan melampau dalam media sosial melainkan diri sendiri. Apabila sesuatu kosa kata dan ungkapan yang ‘salah’ mula mendapat tempat dalam media sosial, maka ia menjadi satu konvension dan mula digunakan secara meluas.

Misalnya, ungkapan seperti ‘janganlah nak banglakan aku’; ‘bangang melantun-lantun’; ‘makcik bawang’ dan ‘mulut longkang’ adalah contoh ungkapan bahasa yang boleh dikategorikan sebagai bahasa kelas bawah walaupun kelihatan semacam ada kreativiti dan inovasi dalam penggunaaan ungkapan itu.

Ungkapan seperti ini sebenarnya bercanggah dengan Akal Budi Melayu. Seterusnya kita melihat penggunaan kosa kata yang ‘haram’ atau ‘pantang’ digunakan secara terbuka dalam komunikasi harian termasuk di media sosial. Misalnya, perkataan yang ada kaitan dengan anggota aurat atau anggota sulit atau apa-apa yang keluar daripada anggota berkenaan atau yang berkaitan dengannya.

Contoh seterusnya ialah berak, kencing, tahi, ketiak dan seumpamanya yang seharusnya tidak disebut secara terbuka dalam media sosial. Terdapat juga penggunaan bahasa orang remaja dalam media sosial yang mencipta ejaan baharu apabila berbahasa sesama mereka. Antaranya:

“Apew nk kcoh2 nih… ”

“K pew… gmat krdt nk taip pjg2...”

“Ala dowg leh phm nyew…”

“Ko igt mendew nih x siyes kew?”

“Sonok kew tulih cmni?”

Apabila pengunaan bahasa yang disampaikan tulisan begini menjadi satu kelaziman dalam media sosial, maka ia akan menjadi budaya yang akan diamalkan seluasnya. Tidak ada siapa yang dapat membendung semua ini daripada terus berlaku.

Jika tulisan atau pertuturan dalam bahasa yang salah dan tidak sopan terjelma di hadapan guru di dalam kelas atau dalam tugasan pelajar, maka guru boleh menegur dan membetulkan bahasa pelajar.

Namun, dalam media sosial, tiada badan pemantau dan penguat kuasa yang boleh menghalang fenomena bahasa yang tidak baik dan tidak sopan daripada terus menular. Lebih parah apabila ada kecenderungan pengguna media sosial yang mempopularkan ungkapan Inggeris yang dimelayukan.Misalnya:

• I love you = Ilebiu

• Keep it up = Kipidap

• Don’t give up = Dongibap

• Don’t know why = Donowai

• Don’t know what = Donowat

• You can do it = Yukenbduit

• I know you can = Aoinoyuken

• Just do it = Jasduit

Perkosa jati diri

Pelakuan ‘memelayukan’ perkataan Inggeris melalui ejaan ‘baharu’ dan kemudian menggunakannya dalam media sosial secara terbuka dan meluas adalah umpama memperkosa jati diri bahasa Melayu. Penciptaan kosa kata baharu ini ada juga diperkenalkan oleh orang dewasa dan menjadikan remaja hari ini suka kepada perkataan yang dilabelkan sebagai menarik, kreatif, unik dan berbeza daripada yang lazim.

Sebagai kesimpulan, media sosial hari ini benar-benar mencabar Akal Budi Melayu dalam kalangan penutur bahasa Melayu. Media sosial tiada sempadan, tiada polis, tiada pemantau dan tiada penguat kuasa yang boleh mengawal dan menghalang penggunaan bahasa yang kotor, kesat, jijik serta melanggar nahu dan laras bahasa.

Semua pengguna media seharusnya merasa terpanggil untuk menggunakan bahasa yang betul dan baik seterusnya menegur pihak yang menggunakan bahasa yang melanggar tatasusila sopan santun masyarakat kita di alam Melayu ini. Kita juga harus berusaha membetulkan pengunaan nahu dan kosa kata yang disalah guna. Orang dewasa lebih bertanggungjawab memikul amanah ini demi memulihara maruah dan jati diri bangsa melalui pengunaan bahasa Melayu yang baik dan betul.

Konsep Akal Budi Melayu harus dididik dan ditanam dalam diri anak-anak muda agar penggunaan bahasa Melayu itu jelas mencerminkan tamadun yang tinggi. Benarlah ‘bahasa jiwa bangsa’.