Menurut ILO, kira-kira 137 juta pekerja bersamaan 56 peratus tenaga buruh bergaji di Kemboja, Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam termasuk dalam kategori tersebut.

Organisasi itu berkata, pada masa akan datang, kadar gaji rendah bukan lagi satu tarikan dan tidak mencukupi untuk menarik pelaburan asing terdiri daripada syarikat-syarikat antarabangsa.

Menurut agensi berita Reuters, Asia Tenggara mempunyai lebih 630 juta penduduk dan merupakan hab kepada beberapa sektor perkilangan termasuk tekstil, kenderaan dan cakera keras komputer.

Situasi serupa turut diramalkan melanda Amerika Syarikat (AS). Agensi penyelidikan Forrester menyatakan, 47 peratus daripada keseluruhan pekerjaan di AS, ataupun puluhan juta pekerja, berisiko menganggur berikutan kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI) menjelang tahun 2021.

Satu kajian oleh Universiti Ball State mendapati automasi menjadi dorongan utama kehilangan pekerjaan pada alaf ini. Kajian itu mendapati tempoh satu dekad antara tahun 2000 hingga 2010 menandakan pengurangan terbesar pekerjaan dalam sektor perkilangan dalam sejarah AS.

Namun, pengeluaran sektor itu pula mencatat pertambahan.

Usaha untuk menyediakan pekerjaan kepada rakyat merupakan cabaran yang dihadapi setiap negara. Ramalan suram itu bukan sesuatu yang boleh dipandang remeh. Kerajaan mana-mana negara sekali pun lazimnya berusaha untuk menyediakan sebanyak mana peluang kerajaan kepada rakyat yang juga merupakan salah satu daripada penanda aras prestasinya.

Mempunyai rakyat yang bekerja dan berpendapatan mendatangkan banyak manfaat lain seperti keharmonian masyarakat di samping menyumbang kepada kemakmuran ekonomi.

Pandangan berbeza

Namun, natijahnya tidak begitu kepada organisasi perniagaan seperti syarikat antarabangsa. Mereka mempunyai matlamat berbeza dan membuka seberapa banyak peluang pekerjaan bukan salah satu daripadanya.

Antara matlamat utama organisasi perniagaan adalah untuk memaksimumkan keuntungan, manakala kecanggihan teknologi automasi dan AI membantu memenuhi objektif tersebut dengan meminimumkan kos gaji yang perlu dibayar kepada pekerja.

Namun, sebilangan pakar ekonomi tidak bersetuju dengan pendapat mengatakan bahawa teknologi automasi dan AI akan merampas pekerjaan manusia.

Mereka sebaliknya melihat automasi sebagai katalis kepada peluang pekerjaan baharu yang menawarkan gaji ataupun ganjaran lebih besar kepada sektor pekerjaan,

Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas bersama firma teknologi Entefy, Alston Ghafourifar menyatakan, lewat tahun lalu bahawa kajian oleh firma perunding Deloitte di Britain mendapati 800,000 pekerja berkemahiran rendah hilang pekerjaan di negara itu kesan daripada automasi dan AI.

Namun, teknologi tersebut pula membuka 3.5 juta peluang pekerjaan baharu dengan purata gaji tahunan AS$13,000 (RM50,876) lebih tinggi daripada pekerjaan yang hilang tersebut.

Bagaimanapun, sama ada jawatan baharu itu diisi oleh bakat baharu yang berkemahiran lebih tinggi dan nasib pekerja yang dipecat tersebut tidak dapat dipastikan.

Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Steve Mnuchin juga menolak prospek AI dan automasi melenyapkan tenaga buruh dalam satu wawancara dengan laman berita AS, Axios pada Mac 2017.

“Ia bukan sesuatu yang kami (pentadbiran Presiden Donald Trump) fikirkan. Mungkin 50 hingga 100 tahun lagi. Saya langsung tidak bimbang mengenai robot menggantikan manusia pada masa hadapan.

“Sebenarnya, saya optimistik,” katanya.

Revolusi industri baharu

Teknologi automasi dan AI menandakan revolusi industri yang keempat selepas revolusi industri pertama sekitar tahun 1800.

Suka ataupun tidak, revolusi industri ini tidak dapat dielakkan oleh negara-negara di dunia termasuk negara membangun. Menurut laporan Institut Pekerjaan Global IBA, kemajuan AI akan membawa kepada definisi semula model perkhidmatan dan produk, manakala automasi pula mendorong sektor pengeluaran yang lebih efisien.

Teknologi AI dan automasi belum sampai ke kemuncaknya dan negara-negara masih mempunyai masa untuk melakukan persediaan menghadapinya dalam pelbagai aspek termasuk pendidikan.

“Kami tahu bahawa pasaran pekerjaan berubah dan daripada cuba menahannya iaitu perbuatan sia-sia, kami memberikan tumpuan kepada membiayai penyelidikan dan inovasi seperti dalam AI dan komputer kuantum. Itulah yang akan membantu mengetuai perubahan di sini (Kanada). Ketika kami melakukan semua itu, kami mempersiapkan rakyat Kanada untuk mencari pekerjaan yang baik menerusi pelaburan dalam pendidikan dan latihan,” kata Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau pada tahun lalu mengenai persiapan Kanada berdepan revolusi industri baharu.

Dapat dirumuskan daripada kenyataan Trudeau bahawa pendidikan masih memainkan peranan utama dalam mempersiapkan modal insan bagi menghadapi perubahan tersebut.

Dalam erti kata lain, kira-kira 7.4 bilion penduduk dunia ini tidak dapat lari daripada impak AI dan automasi sama ada baik ataupun buruk.

Apa yang mereka dan kerajaan di dunia boleh lakukan adalah mempersiapkan diri dan generasi seterusnya untuk menghadapi era yang lebih mencabar itu terutamanya melalui pelaburan dalam bidang pendidikan.