Kapsul angkasa lepas, Soyuz MS-07 buatan Rusia yang membawa angkasawan Rusia, Anton Shkaplerov, Norishige Kanai dari Jepun dan astronaut Amerika Syarikat, Scott Tingle mendarat dengan dibantu payung terjun di satu lokasi di Zhezkazgan, Kazakhstan pada pukul 6.40 petang, tiga jam selepas berpisah daripada ISS pada 3 Jun lalu.

Ketiga-tiga angkasawan tersebut berada di makmal orbit sejak pertengahan Disember lalu dengan Shkaplerov, 46, berkhidmat sebagai komander misi sejak Februari lepas sehingga beliau melepaskan tugas tersebut kepada angkasawan AS, Drew Feustel pada Sabtu minggu lalu.

“(Pendaratan) seperti roller coaster. Saya dapat rasakan tubuh saya berat dan merasa tekanan graviti,” cerita Kanai kepada pemberita sebaik dibawa keluar daripada kapsul angkasa lepas itu.

Kanai, 41, menarik perhatian antarabangsa apabila mendakwa dalam Twitter bahawa ketinggiannya meningkat sembilan sentimeter selepas tiga minggu berada di ISS akibat ketiadaan graviti.

Namun kemudian dia menyatakan anggarannya itu silap sebaliknya mendakwa ketinggiannya hanya meningkat dua sentimeter.

Shkaplerov yang mula-mula dibawa keluar daripada kapsul angkasa itu pula menceritakan: “Kami rasa sedikit letih tetapi gembira kerana dapat menamatkan misi dan berjaya pulang ke Bumi. Kami gembira keadaan cuaca panas,” katanya.

Selepas menjalani pemeriksaan perubatan, Shkaplerov dibawa ke Moscow sambil membawa bola sepak yang akan digunakan pada temasya Piala Dunia 2018 Russia bermula 14 Jun ini.

Krew angkasawan itu menjalankan ratusan eksperimen ketika berada di ISS termasuk mengkaji kesan mirkograviti terhadap tulang sumsum dan kajian tentang pertumbuhan tanaman di angkasa. – Agensi/AP