Kemenangan PH sememangnya satu kejayaan besar yang jelas membuktikan kuasa rakyat dan pilihan mereka terhadap parti yang akan menerajui hala tuju dan masa depan negara.

Dalam Buku Harapan: Membina Negara Memenuhi Harapan, PH berjanji melaksanakan strategi serampang dua mata iaitu membersihkan Malaysia daripada amalan rasuah dan kleptokrasi serta memacu pertumbuhan ekonomi mampan yang manfaatnya dikongsi semua.

Teras 2 dalam buku tersebut adalah mereformasikan institusi pentadbiran dan politik, yang mana salah satu daripada janjinya adalah untuk menjadikan pentadbiran semua syarikat milik kerajaan (GLC) setaraf dengan piawaian antarabangsa.

Baru-baru ini, enam ketua-ketua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang telah mengadakan mesyuarat tertutup dengan Majlis Penasihat Kerajaan dimaklumkan bahawa kerajaan akan mengkaji semula dan mungkin mengubah pelantikan ahli politik dalam lembaga pengarah syarikat-syarikat berkaitan.

“Ini kerana Ketua Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin tidak mahu syarikat-syarikat GLC dan GLIC mendapat campur tangan tidak wajar daripada ahli-ahli politik mahupun pihak luar,” jelasnya.

Justeru, langkah berani yang diambil Tan Sri Shahrir Abdul Samad untuk melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Felda pada 14 Mei lalu menunjukkan kredibilliti beliau dalam mematuhi kehendak kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Memandangkan saya dilantik sebagai Pengerusi Felda oleh kerajaan sebelum ini, adalah wajar untuk saya melepaskan jawatan dalam institusi yang diterajui kerajaan baharu,” katanya yang tewas ketika bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Johor Bahru dalam PRU-14.

Sementara itu, Ketua Pegawai Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti Bhd. (MSWG), Devanesan Evanson berkata, pihaknya sentiasa berpendirian bahawa ahli politik tidak seharusnya berada dalam ahli lembaga pengarah syarikat-syarikat tersenarai umum di Malaysia bagi mengelakkan konflik kepentingan.

“Sejak dahulu kami telah menyatakan kebimbangan dengan syarikat tersenarai awam yang mempunyai ahli politik aktif dalam lembaga pengarahnya disebabkan potensi penguasaan terhadap lembaga serta keupayaan mereka untuk menghabiskan masa kepada syarikat terbabit.

“Jadi kami memberi sokongan penuh bahawa pelantikan lembaga pengarah seharusya berdasarkan merit dan profesionalisme, bukan berasaskan politik,” katanya kepada Kosmo! melalui e-mel semalam.

Devanesan menambah, langkah itu akan mengurangkan risiko pengaruh politik di peringkat lembaga pengarah.

“Sebelum ini terdapat segelintir syarikat tersenarai awam yang menerima kesan ekoran pengaruh politik di peringkat tertinggi itu,” katanya.

Menurutnya, MSWG juga ingin melihat pelantikan lembaga pengarah mematuhi amalan tadbir urus korporat yang baik sebagaimana yang disyorkan di bawah Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia.

Melihat kepada peletakan jawatan beberapa orang pengerusi dan pengarah sejak pertukaran kerajaan pada 9 Mei lalu, Devanesan menyatakan, kerajaan baharu seharusnya mempunyai polisi teguh dalam menangani isu berkaitan pelantikan ahli politik dalam GLC mahupun GLIC.

“Kami berharap amalan tadbir urus korporat yang baik yang diterapkan dalam Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia diterima bukan sahaja daripada syarikat tersenarai awam tetapi juga institusi kerajaan,” ujarnya.