Sejak sekian lama dunia Islam menyambut 1 Syawal tidak secara serentak walaupun Allah menciptakan Bumi ini dengan bulan yang satu. Malah, di negara seperti India dan Indonesia, penduduknya ada yang beraya dahulu manakala yang lain lewat sehari disebabkan berpegang pada pandangan yang berbeza dalam menentukan permulaan bulan Hijriah. 

Di Indonesia selain pemerintah, tarikh hari raya ditetapkan oleh dua pertubuhan Islam terbesar iaitu Nahdatul Ulama dan Muhammadiyah. Indonesia menggunakan kaedah rukyah dan hisab namun kedua-dua pertubuhan tersebut mempunyai kriteria rukyah yang berbeza. Kaedah hisab Muhammadiyah menggunakan kriteria ketinggian bulan 0 darjah manakala Nahdatul Ulama memakai  kriteria ketinggian minimum bulan 2 darjah.

Bagaimanapun, pada tahun ini penduduk republik itu dijangka menyambut hari raya serentak pada 15 Jun. Ketua Lembaga Penerbangan dan Angkasa Lepas Nasional Indonesia, Thomas Djamaluddin berkata, sambutan serentak tersebut mungkin berlanjutan sehingga 2021 disebabkan anak bulan di wilayah negara itu berada pada ketinggian lebih 2 darjah pada hari rukyah.

Sememangnya umat Islam sering dilanda dilema apabila munculnya bulan Ramadan dan Syawal. Hanya pada tahun 2015 umat Islam dilaporkan buat pertama kali menyambut Ramadan dan Syawal secara serentak di seluruh dunia.

Kaedah penetapan awal bulan yang berlainan mengikut kawasan menyebabkan terjadinya perbezaan permulaan puasa dan hari raya di setiap negara. Pada hari ini, kaedah yang digunakan di semua negara di seluruh dunia adalah berdasarkan rukyah atau hisab atau kedua-duanya sekali.

Sebagai contoh, merukyah anak bulan di Malaysia agak sukar dilakukan kerana langit di sekitar ufuk sering dilindungi awan tebal. Namun, bagi negara-negara di Asia Barat, anak bulan lebih mudah kelihatan kerana ia berada lebih tinggi di garisan ufuk. 

Kalendar 
Dalam konteks yang lebih luas, rukyah dan hisab merupakan sebahagian daripada sistem kalendar Islam yang ternyata berbeza daripada sistem kalendar Gregorian. Kalendar Islam yang dikenali juga sebagai takwim
Hijriah berpandukan peredaran bulan mengelilingi Bumi manakala kalendar Gregorian atau Masihi berasaskan peredaran matahari. Pengiraan hari dalam takwim Hijriah bermula dari waktu matahari terbenam. Ini berbeza dengan kalendar Gregorian yang hitungan harinya bermula pada pukul 12 tengah malam. 

Menurut Siddiq Bazarwala. penulis buku Q&A with an Islamophobe, dalam setahun takwim Hijriah mempunyai 354.36 hari, berbeza 10 atau 11 hari daripada jumlah hari dalam kalendar Gregorian. 

Katanya, hasilnya setiap tahun hari-hari kebesaran Islam dirayakan dalam musim yang berlainan. Ia akan kembali ke musim asal setiap 33 tahun. Tahun baru Hijriah iaitu 1 Muharam disambut pada musim berlainan iaitu ia berganjak sebanyak 10 atau 11 hari lebih awal setiap tahun.

“Sebagai contoh, jika Ramadan pada bulan Julai sahaja, tentu kita tidak akan melalui keindahan berpuasa pada musim sejuk. Begitu juga sebaliknya, jika kita tetapkan puasa Ramadan pada Disember saja, tentu kita tidak akan berasa betapa beratnya berpuasa pada musim panas,” katanya.

Kitaran bulan juga menyebabkan tempoh masa berpuasa yang berbeza-beza mengikut negara. Di Malaysia, tempoh berpuasa adalah lebih kurang selama 13 hingga 14 jam. Tempoh berpuasa paling pendek pada tahun ini adalah bagi umat Islam di Argentina dan New Zealand yang hanya berpuasa selama kira-kira 11 jam. Namun, ada penduduk Islam di sesetengah negara lain perlu menjalani ibadah puasa antara 20 hingga 21 jam iaitu di Iceland dan Norway.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berpendapat takwim Hijriah memainkan peranan penting dalam pengurusan kehidupan manusia. “Ia merupakan sistem masa yang berkait rapat dengan aktiviti sosial dan keagamaan serta urusan seharian manusia yang bergantung kepadanya,” ujarnya. 

Menurut beliau, dalam hal ini Allah SWT berfirman dalam surah al-Isra’ ayat 12 yang bermaksud: “Dan kami jadikan malam dan siang itu dua tanda (yang membuktikan kekuasaan kami), maka kami hapuskan tanda malam itu (sehingga menjadi gelap gelita), dan kami jadikan tanda siang itu terang-benderang, supaya kamu mudah mencari rezeki daripada limpah kurnia Tuhan kamu, dan supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan hitungan hisab (bulan dan hari); Dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu (yang kamu perlukan untuk dunia dan agama kamu), kami telah terangkannya satu persatu (dalam al-Quran) dengan sejelas-jelasnya.”