Penulis beranggapan komponen terpenting dalam IR 4.0 adalah AI atau dalam erti kata terkini adalah manusia robot. Kenapa penulis beranggapan sedemikian?

Selepas mengenal pasti masalah dan isu utama yang sering dibangkit dan dibahaskan dalam Industri 3.0, penulis percaya pembangunan AI mesti diutamakan sekiranya kita mahu berjaya dalam IR 4.0.

Penulis juga suka membawa kepada satu fenomena pada 19 April lalu. Pada hari tersebut, Forum Ekonomi Dunia (WEF) mengeluarkan satu laporan bertajuk The 5 Core Principles to Keep Artificial Intelligence Ethical. 

Laporan Elon Musk, Pengasas SpaceX dan Tesla yang dilakukan bersama Mustafa Suleyman, salah seorang pengasas DeepMind menyatakan beliau telah menghasilkan lebih 100 robot berasaskan teknologi pintar yang dibangunkan secara rahsia.

Musk menjadi terkenal kerana cadangannya untuk membangunkan kehidupan di Planet Mars dengan menyatakan mesin pintar itu adalah robot askar pembunuh dilengkapi dengan senjata berautonomi yang mampu melakukan kemusnahan pada skala besar.

Surat beliau kepada Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menegaskan bahawa robot askar itu dapat melaksanakan sesuatu di luar kemampuan manusia pada bila-bila masa. 

Beliau memberi amaran sekiranya Kotak Pandora (kotak kawalan utama mesin pintar) ini dibuka, ia amat sukar untuk ditutup. Namun, penulis percaya aspek AI di Malaysia harus berunsurkan orientasi holistik.

Laporan WEF itu menyatakan cadangan Musk bertentangan dengan kemanusiaan dan kesejahteraan alam semula jadi. Laporan tersebut juga menyenaraikan lima etika yang perlu dipatuhi jurutera dan saintis atau sesiapa sahaja yang terlibat dalam penyelidikan serta pembangunan teknologi pintar AI.

Sistem AI atau robot yang dibangunkan perlu mematuhi enam kod etika dan peraturan. Objektif kepelbagaian penggunaan adalah untuk kebaikan dan kesejahteraan manusia dan alam. 

Ia juga harus berasaskan kecerdasan dan keadilan selain berupaya melindungi keseluruhan data terkandung terutama dari perspektif keselamatan dan perlindungan undang-undang sejagat.

Pada masa yang sama, ia membolehkan semua orang diberi peluang dan hak untuk dididik serta dapat dimanfaatkan demi perkembangan mental, jati diri, emosi dan ekonomi bersama sistem.


Reka bentuk
Seterusnya, penulis percaya organisasi yang terlibat perlu mengadakan sidang kemuncak secara global di peringkat kerajaan, akademik dan industri untuk menetapkan norma antarabangsa dari perspektif reka bentuk, pembangunan, pengawalan, penggunaan dan pengaplikasian sistem dan sesiapa yang terlibat di dalam pembangunan AI ini perlu dipertanggungjawabkan terhadap kesan dan akibatnya.

Buku panduan rujukan etika yang telah dikeluarkan oleh Persatuan Jurutera Profesional Kebangsaan (NSPE) pada 1954 bertajuk Code of Ethics for Engineers yang diguna pakai sehingga ke hari ini menyatakan kejuruteraan adalah satu profesion yang penting dan perlu dipelajari. 

Sebagai seorang ahli profesion ini, jurutera dijangka mempamerkan tahap kejujuran dan integriti yang tinggi.

Ia menyatakan bahawa kejuruteraan mempunyai kesan langsung yang penting terhadap kualiti hidup untuk semua orang. 

Sehubungan itu, perkhidmatan yang disediakan oleh jurutera memerlukan kejujuran, kesaksamaan, keadilan dan ekuiti yang seimbang. 

Ini harus didedikasikan untuk melindungi kesihatan, menjaga keselamatan dan kebajikan awam. Jurutera mesti mematuhi prinsip etika paling tinggi yang bertaraf profesional kepada masyarakat.

Kenyataan buku panduan NSPE ini adalah bertepatan dengan nasihat daripada sepotong hadis tentang sifat kejujuran dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab. Hadis riwayat Bukhari, daripada Abdullah bin Mas’ud
RA berkata: “Rasulullah SAW bersabda, Hendaklah mereka selalu berlaku jujur, kerana kejujuran akan membawa seseorang itu kepada kebaikan, dan kebaikan membawa seseorang itu ke syurga. Dan apabila
seseorang itu selalu berlaku jujur dan tetap memilih jujur, maka akan dicatat oleh Allah SWT sebagai orang yang jujur. Dan jauhilah kalian daripada berbuat dusta, kerana dusta itu akan membawa seseorang kepada kejahatan, dan kejahatan akan menghantar seseorang itu ke neraka. Dan jika seseorang itu sentiasa berdusta dan memilih kedustaan, maka ia akan dicatat oleh Allah SWT sebagai pendusta.”

Dengan berpandukan kepada hadis ini, penulis berkeyakinan penuh bahawa seseorang jurutera atau penyelidik itu perlu mempunyai prinsip etika sebagai seorang profesional, di samping bijaksana dan mahir dalam disiplin kejuruteraan masing-masing serta bertanggungjawab terhadap apa-apa yang dilaksanakan.

Sebagai seorang jurutera yang berilmu dan bertanggungjawab kepada masyarakat, perkara ini tidak boleh disangkal lagi ketika mana kita merujuk kepada surah al-Fushshilat, ayat 35 hingga 35: “Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh dan berkata: “Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri. Dan tidak sama (darjat) kebaikan dan tidak (darjat) kejahatan. Tolaklah dengan (cara) yang lebih baik. Maka tiba-tiba orang yang di antaramu dan dia ada permusuhan itu, (jadilah) seolah-olah ia sahabat yang rapat. Dan tidak diberikan (sifat) itu melainkan kepada orang orang yang sabar; dan tidak diberikan sifat itu melainkan kepada orang yang mempunyai kebahagian yang besar.”


Kemahiran
Ayat ini menegaskan bahawa tidak ada orang yang lebih baik darjatnya di sisi Allah SWT dan masyarakat daripada orang-orang yang melaksanakan kebaikan terhadap orang yang memerlukan bantuan. 

Allah SWT juga menyarankan supaya kita bertanggungjawab terhadap ilmu dan kemahiran yang telah dikurniakan kepada kita dan memberi keyakinan bahawa kita akan merasa bahagia, walaupun kebaikan yang dilaksanakan itu kepada musuh kita kerana kelak mereka akan berubah menjadi sahabat. Yakinlah bahawasanya Allah SWT tidak akan memungkiri janji-janji-Nya.

Kesimpulannya, penulis menegaskan bahawa jurutera perlu mempunyai akhlak yang tinggi dan bersikap jujur dalam pembangunan AI dan penjanaan idea dalam IR 4.O. 

Sekiranya perkara ini tidak dipatuhi sebagaimana yang telah digariskan dalam Engineer’s Code of Conduct yang bersandarkan kepada al-Quran dan hadis, ia akan meruntuhkan profesionalisme institusi kejuruteraan, dan seterusnyaakan memberi kesan buruk kepada masyarakat.