Google telah menelusuri tentang hampir keseluruhan aspek dalam kehidupan manusia secara digital, yang bermakna ia mengetahui banyak perkara mengenai kira-kira 1.17 bilion penggunanya di serata dunia.

Terkini, konglomerat teknologi itu telah memperkenalkan sistem komputer yang dahagakan data tentang informasi kesihatan manusia dan berkebolehan meramalkan kadar kematian, khususnya dalam kalangan pesakit yang terlantar di hospital.

Sebuah unit kumpulan di bawah Google dikenali sebagai Medical Brain telah diberi tanggungjawab bagi mengendalikan AI Google iaitu projek yang mengaplikasi algoritma kecerdasan pintar atau artificial intelligence (AI) baharu yang diusahakan sekumpulan penyelidik dari University of Chicago, University of Stanford dan UC San Francisco, Amerika Syarikat.

AI Google berfungsi sebagai mesin pintar yang mampu meramalkan kematian dan tempoh masa yang diambil oleh pesakit sebelum meninggal dunia dengan ketepatan ramalan mencecah sehingga 95 peratus.

Ia beroperasi dengan mengumpulkan data maklumat kesihatan pesakit seperti umur, jantina dan etnik yang kemudiannya digabungkan dengan informasi daripada rekod hospital yang diperoleh daripada hasil diagnosis serta ujian makmal bagi mendapatkan perincian yang tepat mengenai ramalan kematian yang akan dibuat terhadap seseorang pesakit.

Menurut paparan jurnal Digital Medicine edisi Mei 2018, sebagai permulaan, data seramai 26,221 pesakit telah dikumpulkan daripada dua buah hospital di AS yang tidak disebutkan namanya.

Peluang pemulihan 
Hasilnya didapati ketepatan ramalan terhadap kematian pesakit di hospital pertama ialah 95 peratus dan 93 peratus di hospital yang kedua terbabit dalam projek tersebut.

Dalam satu kes kajian, AI Google yang telah diaplikasikan ke atas seorang pesakit wanita yang menghidap penyakit barah payudara dengan mengumpul sebanyak 175,639 data berdasarkan rekod perubatannya menyatakan bahawa pesakit itu memiliki sebanyak 19.9 peratus peluang untuk meninggal dunia.

Ia adalah angka yang lebih tinggi ditunjukkan berbanding sebanyak 9.3 peratus peluang untuk wanita itu meninggal dunia yang dinyatakan tanpa menggunakan AI Google. 

Ironinya, dua minggu selepas hasil ramalan AI Google dikeluarkan, pesakit wanita tersebut meninggal dunia.

Menurut profesor bersekutu University of Stanford yang turut bekerjasama dengan Google untuk projek tersebut, Nigam Shah, sekiranya AI Google diimplementasi di hospital-hospital, ia dijangka mampu menjimatkan
kos selain sumber dan kelengkapan boleh digunakan dengan lebih efisien sehingga mampu meningkatkan bilangan nyawa pesakit yang dapat diselamatkan.

“Ini kerana AI Google bukan sekadar mampu meramalkan kematian pesakit tetapi ia juga boleh melakukan pengiraan  tempoh pesakit ditempatkan di hospital dan kemungkinan mereka dimasukkan semula untuk kembali mendapatkan rawatan di situ.

“Justeru, AI Google boleh membantu doktor dan hospital bagi menentukan siapakah dalam kalangan pesakit yang mempunyai peluang terbaik untuk pemulihan,” ujarnya.