Pada usia 25 tahun, Syed Saddiq berjaya membuktikan dirinya memiliki kelebihan selepas memenangi kerusi Parlimen Muar menewaskan penyandangnya daripada Barisan Nasional, Datuk Seri Razali Ibrahim dan

 

calon Pas, Abdul Aziz Talib dengan majoriti 6,953.

Pernah dikritik dan diejek dengan panggilan seperti ‘anak kucing’ serta budak hingusan kerana dianggap terlalu muda untuk menerima sepak terajang dunia politik, Syed Saddiq berjaya memecahkan tembok skeptikal itu.

Wartawan Jurnal berkongsi aspirasi dan cita-cita Syed Saddiq yang kini menjadi suara anak muda di Parlimen dalam satu wawancara eksklusif di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur baru-baru ini.

JURNAL: Golongan belia berusia bawah 39 tahun membentuk seramai 7.09 juta pengundi daripada keseluruhan 14.8 juta pemilih dalam PRU-14 lalu sekali gus memperlihatkan kuasa anak muda dalam amalan demokrasi di negara ini. Sebagai salah seorang pemimpin muda, bagaimana saudara melihat situasi ini?

SYED SADDIQ: Saya suka melihat anak muda pada hari ini yang tidak fanatik atau taasub kepada mana-mana parti politik. Ini mungkin dilihat oleh sesetengah ahli politik sebagai perkara tidak baik tetapi saya tengok dari sudut positif kerana ia bermaksud anak muda lebih memfokuskan kepada pendekatan dan dasar yang dibawa berbanding parti atau siapa yang diundi kerana perkara tersebut boleh berubah bila-bila masa. Ia juga bermaksud golongan belia merupakan kuasa yang berpengaruh besar dalam landskap politik negara. Dengan kuasa yang ada di tangan mereka, parti dan ahli politik akan takut kepada kuasa itu. Pada hari ini, mereka boleh sokong, tetapi kalau kamu mengkhianati janji, mereka boleh tarik balik sokongan itu bila-bila masa kerana tiada ketaasuban politik.

Sebagai antara pemimpin muda yang menang di Parlimen masing-masing atas keyakinan yang diberi rakyat, saudara perlu menggalas tanggungjawab besar. Bagaimanapun, ada yang berpendapat faktor umur menjadi penghalang untuk Saddiq melaksanakan tugas dengan baik. Apakah respons saudara?

SYED SADDIQ: Saya melihat kritikan tersebut sebagai cabaran. Saya masih ingat dua tahun lepas sewaktu pembabitan awal saya dalam dunia politik, ada seorang ahli politik pernah menyuarakan kenyataan bahawa untuk berhujah dengannya, saya perlu masuk ke Parlimen dahulu dan saya berjaya berbuat demikian. Bagi saya, cara terbaik untuk menjawab cemuhan seseorang itu adalah dengan mencipta kejayaan diri sendiri. Ini kerana apabila ada pihak mempersoalkan kemampuan, pengalaman dan kematangan, kita boleh tunjukkan kepada mereka bahawa ia tidak boleh diukur hanya dengan menggunakan faktor usia. Kritikan dan hujah mereka juga tidak berdasarkan fakta tetapi berlandaskan faktor umur yang bagi mereka merupakan garis kematangan seseorang itu sedangkan ia salah. Saya yakin dengan kemenangan ini, ia akan memecahkan tembok-tembok tanggapan negatif bahawa anak muda ini tidak mampu.

Saudara dianggap sebagai suara golongan belia di Parlimen. Apakah antara isu-isu orang muda yang mendapat perhatian saudara?

SYED SADDIQ: Pertama sekali, kita mahu memastikan kerajaan hari ini dapat menurunkan kadar pengangguran belia iaitu kira-kira empat kali ganda kadar pengangguran nasional buat masa ini selain mencipta peluang pekerjaan dengan pelaburan yang lebih banyak khusus buat anak muda di negara ini. Pada masa sama, kita mahu memastikan ada rombakan dalam sistem pendidikan supaya tidak terlalu fokus kepada akademik sebaliknya turut menekankan aspek jati diri, pembangunan sahsiah dan pembangunan teknologi sebagai persediaan menghadapi revolusi industri 4.0. Isu perumahan mampu milik buat golongan muda juga menarik perhatian saya. Selain itu, kita mahu lebih banyak hab belia diwujudkan di seluruh negara bertujuan untuk mengasah dan meningkatkan kemahiran. Saya juga berhasrat untuk menubuhkan pusat pemikir yang memfokuskan dasar-dasar negara dan polisi awam yang statusnya sama seperti Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) iaitu dikenali di seluruh Asia Tenggara.

Apakah harapan saudara terhadap kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan dalam tempoh 100 hari pertama ini dan masa akan datang?

SYED SADDIQ: Saya berpendapat kerajaan hari ini perlu sentiasa berwaspada dan tidak pernah lupa diri. Jangan jadi bongkak dan sombong kerana kuasa sudah diberikan kepada kita, sebaliknya perlu sentiasa ingat bahawa kita merupakan hamba kepada rakyat dan tanpa sokongan padu daripada mereka, kita tidak akan ada di sini menjadi kerajaan. Selain itu, saya berharap isu-isu yang dekat dengan anak muda seperti pengangguran, rumah mampu milik, kos sara hidup dan pengangkutan awam efisien perlu dikendalikan secepat mungkin. Saya juga menyimpan hasrat untuk melihat lebih banyak pandangan anak muda diambil kira oleh setiap lapisan pentadbiran negara.

Bagaimana saudara melihat diri dalam masa 10 tahun dari sekarang?

SYED SADDIQ: Sebagai individu yang lahir dalam keluarga pendidik, saya mahu terus mengajar. Ia salah satu bentuk atau cara berkhidmat kepada rakyat. Seperti yang saya katakan, kalau saya menubuhkan pusat pemikir, ia merupakan satu inisiatif yang diusahakan untuk rakyat. Bagi saya, jawatan dan pangkat hanya bersifat sementara tetapi yang berkekalan adalah idealisme dalam sesuatu perkara. Saya juga tidak pernah meletakkan sasaran untuk memegang jawatan lebih tinggi daripada apa yang saya ada sekarang. Saya fikir jika penanda aras sesuatu kejayaan diukur menggunakan jawatan, kita akan hilang pendirian dan identiti. Sekarang ini saya jadi ahli Parlimen pun, saya berkhidmat untuk rakyat kerana saya ada suara dalam Parlimen dan ia suara yang agak besar bagi mewakili rakyat di luar sana.

Apakah yang saudara gemar lakukan untuk mengurangkan tekanan?

SYED SADDIQ: Saya suka membaca dan pengisian sehari-hari dimanfaatkan dengan membaca portal-portal berita tempatan dan luar negara seperti BBC dan Al Jazeera. Kalau saya berjoging sekali pun, saya akan dengar versi audio majalah The Economist. Dari segi riadah pula, saya akan melakukan 100 kali tekan tubi, 100 kali bangkit tubi dan 100 kali dumbel selama 10 minit empat kali sehari. Di samping itu, saya suka mengajar jika ada kelapangan. Dalam tempoh empat tahun ini, saya sudah menjelajah lebih 25 buah negara untuk mengajar debat dan pengucapan awam.